MY FOLLOWERS

Wednesday, December 14, 2011

Artikel - Jadilah Sedikit Selektif.....

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Yahoo Images


Assalamualaikum.....


Dalam mencari pekerjaan, terutama bagi yang masih menganggur atau bertukar kerjaya, mungkin sebilangan berfikir tidak salah untuk kerja apa pun, asalkan halal. Tidak kisah sekalipun bidang yang dipohon itu lari jauh daripada bidang asal yang diceburi. Dari satu sudut, nampak seperti seseorang itu fleksibel untuk kerja apa sahaja.

Pada pendapat saya, dari sudut lain, dari kaca mata penemuduga misalnya, ada kriteria yang dipertimbangkan sebelum mereka mengambil seseorang itu bekerja. Jika berada dalam industri pembinaan, calon yang memohon juga perlu berada dalam bidang dan latar belakang berkaitan. Mereka tidak akan ambil sesuka hati. Jika dilihat dari sudut calon pula, sesetengahnya berfikir apa salahnya mohon sahaja, mana tahu kalau dapat. Asalkan keluar sahaja iklan jawatan kosong, terus diisi segala macam borang yang perlu dan dihantar. Maknanya tidak selektif dalam bidang yang diingini. 

Bagi mana-mana syarikat atau tempat kerja yang tidak meletakkan sebarang syarat kelulusan untuk sesuatu pengambilan, inilah peluang untuk anda menghantar permohonan.

Sebenarnya, adalah perlu bagi seseorang individu itu bersikap sedikit selektif dalam memohon sesuatu pekerjaan. Apabila keluar sahaja sebarang iklan, pertimbangkanlah dahulu syarat-syaratnya, apa yang dikehendaki dan orang dalam bidang apa yang diperlukan. Tanya dahulu pada diri, "Saya berada dalam bidang berkenaan, adakah jawatan yang diiklankan sesuai dengan kelulusan dan bidang yang saya ambil/ceburi?" Jika ya, teruskanlah menghantar permohonan dan jika tidak, lihat pula pada iklan lain jika ada sehingga anda temui mana yang sesuai untuk anda pohon.