MY FOLLOWERS

Monday, February 14, 2011

V-Day Special - Bercinta dan Berpasangan: Etika, Hukum-hakam Yang Terlibat, Fatwa, Syubhah dan Fenomena Masa Kini (Bhgn 5)

Credits to: KOL, Yahoo
Gambar ihsan: Family, Yahoo Images


Salam....



Syubhat dan Jawapan Yang Sebenar

Pengharaman berpasangan/bercinta itu lebih jelas dari matahari di siang hari. Namun begitu, masih ada yang berusaha menolaknya walaupun dengan dalil yang sangat rapuh.

Tidak boleh dikatakan semua cara berpasangan itu haram, kerana mungkin ada orang yang berpasangan mengikut landasan Islam dan tanpa melanggar syariat. Jawabnya: "Istilah berpasangan berlandaskan Islam itu cuma ada dalam khayalan dan tidak pernah wujud. Anggap sahaja mereka boleh menghindari khalwat, menyentuh serta menutup aurat, tetapi tetap tidak akan boleh menghindari daripada saling memandang atau saling membayangkan kekasihnya dari semasa ke semasa, yang mana hal itu jelas haram berdasarkan dalil yang kukuh."

Biasanya sebelum seseorang itu memasuki alam perkahwinan, mereka pelu untuk mengenal terlebih dahulu calon pasangan hidupnya, karakter, yang mana hal itu tidak akan boleh dilakukan tanpa berpasangan kerana bagaimanapun juga kegagalan sebelum menikah akan jauh lebih ringan daripada kalau terjadi setelah menikah. Jawabnya: "Memang, mengenal fizikal dan karakter calon isteri mahupun suami merupakan satu hal yang diperlukan sebelum memasuki alamperkahwinan agar tidak ada penyesalan di kemudian hari. Namun, tujuan ini tidak boleh digunakan untuk menghalalkan sesuatu yang telah sedia haramnya."

Ditambah lagi, bahawa orang yang sedang jatuh cinta akan berusaha bertanyakan segala yang baik dengan menutupi kekurangannya di hadapan kekasihnya. Juga orang yang sedang jatuh cinta akan menjadi buta dan tuli terhadap perbuatan kekasihnya, sehingga akan melihat semua yang dilakukannya adalah kebaikan tanpa cacat. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Darda, "Cintamu pada sesuatu membuatmu buta dan tuli."


Fenomena Pasangan/Couple

Dalam situasi terkini, fenomena pergaulan bebas dan pengabaian nilai-nilai murni Islam berlaku pada tahap yang amat membimbangkan. Kebanyakan umat Islam hari ini tidak lagi menitik beratkan nilai-nilai dan adab-adab sopan yang dianjurkan oleh Islam melalui al-Quran dan sunnah Rasul-Nya. Mereka bukan setakat mengabaikannya dan menganggap perkara itu tidak penting, bahkan mereka menganggapnya sebagai satu perkara yang menyusahkan aktiviti mereka yang menurutkan nafsu dan perasaan semata-mata. Nauzubillah....

Justeru, marilah kita sama-sama menjauhi perkara seumpama itu dan menjauhi hal-hal yang telah dilarang (haram). Tegakkanlah segala yang benar dan katakanlah salah kepada yang batil. Janganlah sekali-kali berhujah untuk membenarkan perkara yang telah terang haramnya di sisi Allah.




Rujukan:
  1. 300 Hadis Bimbingan, Ustaz Zahazan Mohamad & Ahmad Hasan Mohd Nazam, Telaga Biru Sdn Bhd., Cetakan Pertama Januari 2007.
  2. Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Terbitan Yayasan Restu, Cetakan Kedua 2006.

V-Day Special - Bercinta dan Berpasangan: Etika, Hukum-hakam Yang Terlibat, Fatwa, Syubhah dan Fenomena Masa Kini (Bhgn 4)

Credits to: KOL, Yahoo
Gambar ihsan: Family, Yahoo Images


Salam...


Hukum Berpasangan

Setelah memerhatikan beberapa ayat dan hadis sebelum ini, maka tidak diragukan lagi bahawa berpasangan itu HARAM di atas sebab-sebab berikut:
  1. Orang yang bercinta tidak mungkin menundukkan pandangan terhadap kekasihnya.
  2. Orang yang bercinta tidak boleh menjaga hijab.
  3. Orang yang bercinta biasanya sering berdua-duaan dengan pasangan kekasihnya, baik di dalam rumah atau di luar rumah.
  4. Wanita akan bersikap manja dan mendayukan suaranya saat bersama kekasihnya.
  5. Bercinta identik dengan saling menyentuh antara lelaki dan wanita, meskipun itu hanya berjabat tangan.
  6. Orang yang bercinta boleh dipastikan selalu membayangkan orang yng dicintainya.

Dalam kamus berpasangan, hal-hal tersebut adalah lumrah untuk dilakukan, padahal satu hal sahaja sudah cukup untuk mengharamkannya, lalu apatah lagi kesemuanya atau yang lain-lainnya lagi?


Fatwa Ulama

Syaikh Muhammad bin Shaleh al-Utsaimin ditanya tentang hubungan cinta sebelum nikah. Jawab beliau, "Jika hubungan itu sebelum nikah, baik sudah lamaran atau belum, maka hukumnya adalah haram kerana tidak boleh seseorang untuk bersenang-senang dengan wanita asing (bukan mahramnya) baik melalui ucapan, memandang atau berdua-duaan." Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan sorang wanita kecuali ada bersama-sama mahramnya, dan janganlah seseorang wanita berpergian kecuali bersama mahramnya."

Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin ditanya: "Jika ada seseorang lelaki yang berkoresponden dengan seorang wanita yang bukan mahramnya, yang pada akhirnya saling mencintai, apakah perbuatan itu haram?" Jawab beliau, "Perbuatan itu tidak diperbolehkan, kerana boleh menimbulkan syahwat di antara keduanya, serta mendorongnya untuk bertemu dan berhubungan yang mana koresponden (orang yang berutus surat, penulis surat) semacam itu banyak menimbulkan fitnah dan menanamkan dalam hati seseorang untuk mencintai penzinaan yang akan menjerumuskan seseorang pada perbuatan yang keji. Maka dinasihatkan kepada setiap orang yang menginginkan kebaikan bagi dirinya untuk menghindari surat-suratan, pembicaraan melalui telefon, serta perbuatan seumpamanya demi menjaga agama dan kehormatan dirinya."

Syaikh Jibrin juga ditanya; "Apa hukumnya kalau ada seorang pemuda yang belum menikah menelefon gadis yang juga belum menikah?" Jawab beliau: "Tidak boleh berbicara dengan wanita asing (bukan mahram) dengan pembicaraan yang boleh menimbulkan syahwat, seperti rayuan, atau mendayukan suara (baik menerusi telefon atau lainnya)." Sebagaimana firman Allah s.w.t:

"..... dan janganlah kamu berkata-kata dengan suara lunak (yang boleh menambat hati semasa bercakap dengan lelaki asing) sehingga boleh menimbulkan keinginan orang yang berpenyakit dalam hatinya (yang menyimpan niat buruk terhadap kamu), ........"
- Surah al-ahzab: ayat 32.

Adapun kalau pembicaraan itu untuk sesuatu keperluan, maka hal itu tidak mengapa apabila selaamt daripada fitnah, akan tetapi ia sekadar keperluan.

bersambung...


Rujukan:
  1. 300 Hadis Bimbingan, Ustaz Zahazan Mohamad & Ahmad Hasan Mohd Nazam, Telaga Biru Sdn Bhd., Cetakan Pertama Januari 2007.
  2. Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Terbitan Yayasan Restu, Cetakan Kedua 2006.

Sunday, February 13, 2011

V-Day Special - Sempena 14 Februari: Haram Menyambut Hari Kekasih

Credits to: KOL, Yahoo
Gambar ihsan: Family, Yahoo Images


Salam...



Ini adalah salah satu artikel yang terdapat dalam koleksi saya. Tarikh 14 Februari setiap tahun, seluruh dunia tidak kiralah dunia Islam mahupun Barat pasti akan menyambut perayaan Hari Kekasih. Setiap tahun juga kita diingatkan bahawa sambutan itu HARAM dan boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam. Nauzubillah... Mari kita hayati apa yang pernah disiarkan oleh Utusan Malaysia yang berkenaan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Perak ketika itu.


Petikan UM Februari 2004 - Murtad Sambut Hari Kekasih Mirip Agama Kristian

KUALA LUMPUR, 11 Feb. 2004 - Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa: "Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maa ia turut termasuk bersama golongan tersebut." 

Beliau berkata, perbuatan merayakan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperi mengikut sejarah purba Rom.

"Kita sebagai umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini." katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama.

Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yng dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II. Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerahkan untuk menjadi tentera.

Hari ini, budaya Valentine menganjurkan orang ramai menghantar kad ucapan Valentine kepada buah hati mereka, teman karib dan orang-orang yang mereka sayangi sebagai simbolik dalam menyatakan cinta terhadap mereka. Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis menganggap 14 Februari sebagai 'hari burung-burung mencari pasangan mereka.'

Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada hari tersebut. Masing-masing akan mengucapkan 'Selamat Hari Valentine' sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos yang menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan mempeingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis 'From Your Valentine' kepada kekasihnya, soerang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara. Harussani turut menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asng dan ternyata bercanggah itu apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan. 

"Mengapa kita perlu mengamalkannya sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara se-Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti lebih baik," kata beliau.

Menurut Harussani, Islam turut menggalakkan umatnya mengasihi sesama mereka secara ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka. Berkasih sayang bagi islam juga tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia, kata beliau.

-------------------------

Artikel dari blog lain berkaitan isu ini:

Nasihat JAKIM Untuk Umat Islam - TPM
Hukum orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day
Fakta Tentang Hari Asmara dan Cinta


Saturday, February 12, 2011

V-Day Special - Bercinta dan Berpasangan: Etika, Hukum-hakam Yang Terlibat, Fatwa, Syubhah dan Fenomena Masa Kini (Bhgn 3)

Credits to: KOL, Yahoo
Gambar ihsan: Family


Salam...


Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis

Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata: "Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi, itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginya." (Hadis Hasan, Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)

Berkata Syaikh al-Abani rahimahullah: "Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (Ash-Shohihah 1/448)

Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aisyah berkata: "Demi Allah, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat." (Hadis Riwayat Bukhari)



Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya sahaja akan menjadi dosa zina baginya. Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah menetapkan untuk anak Adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji akan membenarkan atau mendustakan semuanya." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Padahal Allah s.w.t. telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana firman-Nya:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)."
- Surah al-Isra': ayat 32


bersambung...


Rujukan:
  1. 300 Hadis Bimbingan, Ustaz Zahazan Mohamad & Ahmad Hasan Mohd Nazam, Telaga Biru Sdn Bhd., Cetakan Pertama Januari 2007.
  2. Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Terbitan Yayasan Restu, Cetakan Kedua 2006.

V-Day Special - Bercinta dan Berpasangan: Etika, Hukum-hakam Yang Terlibat, Fatwa, Syubhah dan Fenomena Masa Kini (Bhgn 2)

Credits to: KOL, Yahoo
Gambar ihsan: Yahoo Images


Salam...



Etika Pergaulan dan Batas Antara Lelaki dan Perempuan Menurut Islam

Menundukkan Pandangan

Allah memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-Nya:
"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram). Demikian itu lebih suci (lebih baik) bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan (melalui penglihatan dan kemaluan mereka);"
- Surah an-Nur: ayat 30

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita yang beriman, Allah berfirman:
"Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram) dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (wajah dan kedua-dua tapak tangan) dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka .... "
- Surah an-Nur: ayat 31



Menutup Aurat

Sebagaimana Allah berfirman dalam Surah an-Nur ayat 31, Allah juga berfirman:
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
- Surah al-Ahzab: ayat 59

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi sesama jantina. Dari Abu Said al-Khudri r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita."


Adanya Pembatas Antara Lelaki dan Wanita

Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-Nya: "..... Apabila kamu meminta sesuatu yang harus daripada isteri-isteri Nabi, maka mintalah dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. ....."
- Surah al-Ahzab: ayat 53


Tidak Berdua-duaan Di Antara Lelaki dan Perempuan

Dari Ibnu Abbas r.a. berkata, "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi yang ketiganya." (Hadis Riwayat Ahamad dan Tirmizi dengan sanad yang sahih)


Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan)

Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman Allah s.w.t.: "Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana wanita yang lain, jika kamu tetap bertaqwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan suara lunak (yang boleh menambat hati semasa bercakap dengan lelaki asing) sehingga boleh menimbulkan keinginan orang yang berpenyakit dalam hatinya (yang menyimpan niat buruk terhadap kamu), dan ucaplah perkataan yang baik (sopan)."
- Surah al-Ahzab: ayat 32

Berkata Imam Ibnu Kathir: "Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh Allah kepada para isteri Rasulullah s.a.w. serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya." (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)


bersambung...


Rujukan:
  1. 300 Hadis Bimbingan, Ustaz Zahazan Mohamad & Ahmad Hasan Mohd Nazam, Telaga Biru Sdn Bhd., Cetakan Pertama Januari 2007.
  2. Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Terbitan Yayasan Restu, Cetakan Kedua 2006.

V-Day Special - Bercinta dan Berpasangan: Etika, Hukum-hakam Yang Terlibat, Fatwa, Syubhah dan Fenomena Masa Kini

Credits to: KOL, Pengantin, Family
Gambar ihsan: Family


Salam...



Berpasangan atau dalam perkataan lain yang biasa kita dengar - COUPLE. Setiap kali kita mendengarnya, pasti akan terlintas di fikiran mengenai sepasang insan yang sedang mabuk cinta dan dilamun asmara. Saling mengungkap kata-kata sayang serta rindu, kemudiannya akan memasuki alam perkahwinan. Lalu kenapa harus dipersalahkan? Bukankah cinta itu suatu fitrah bagi setiap anak Adam? Bukankah setiap orang memerlukan masa penyesuaian sebelum pernikahan?




CINTA - fitrah bagi setiap manusia yang dicipta oleh Allah s.w.t. dengan membawa fitrah (instinct) untuk mencintai lawan sejenisnya. Sebagaimana firman Allah s.w.t:

"Dijadikan indah pada (pasangan) manusia, kecintaan kepada syahwat (perkara yang diingini nafsu), iaitu wanita-wanita, anak-pinak dan harta benda yang banyak yang melimpah-limpah berupa emas, perak, kuda-kuda yang dipelihara yang bertanda baik, binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Demikian itu merupakan kesenangan hidup di dunia. (Ingatlah) Di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)."
- Surah Ali Imran: ayat 14

Berkata Imam Qurthubi: "Allah s.w.t. memulai dengan wanita kerana kebanyakan manusia menginginkannya., juga kerana mereka merupakan jerat-jerat syaitan yang menjadi fitnah bagi kaum lelaki, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tiadalah aku tinggalkan setelahku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada wanita."
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah)

Dalam hadis lain turut disebut peringatan yang sama.

Hadis no. 278 (Godaan wanita)
Daripada Usamah bin Zaid r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aku tidak meninggalkan selepasku suatu ujian yang lebih dahsyat daripada terpedayanya kaum lelaki terhadap kaum wanita."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Oleh kerana cinta merupakan fitnah bagi manusia, maka Allah s.w.t. menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan nikmat yang dijanjikan bagi orang-orang yang beriman di syurga dengan bidadarinya.

Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah." (Riwayat Muslim, Nasal, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi).

Allah berfirman: "Di dalam kedua-dua syurga itu juga terdapat bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik rupa parasnya."
- Surah al-Rahman: ayat 70


Namun, Islam tidak membiarkan ftnah itu mengembara tanpa batasannya. Islam telah mengatur dengan tegasnya bagaimanakah cara untuk menyalurkan cinta, juga bagaimana batasan pergaulan antara dua insan yang berlawanan jenis sebelum nikah, agar semuanya tetap berada pada landasan etika dan norma yang sesuai dengan syariat.


bersambung...


Rujukan:
  1. 300 Hadis Bimbingan, Ustaz Zahazan Mohamad & Ahmad Hasan Mohd Nazam, Telaga Biru Sdn Bhd., Cetakan Pertama Januari 2007.
  2. Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Terbitan Yayasan Restu, Cetakan Kedua 2006.