Kredit kepada: KOL
Gambar ihsan: Quran.com
Assalamualaikum......
Allah telah mengurniakan beberapa keistimewaan kepada makhlukNya yang dipanggil manusia. Keistimewaan ini ialah grand design dan menjadi rahsia Allah yang tidak diceritakan kepada makhluk-makhlukNya yang lain, termasuklah para malaikat. Apabila malaikat menyoal Allah, adakah kemungkinan manusia akan membuat kerosakan di muka bumi, Allah menjelaskan bahawa kejadian manusia adalah untuk menjadi khalifahNya di muka bumi ini. Memang beruntung makhluk yang bernama manusia ini.
Buktinya dapat dilihat dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud "Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Lalu para malaikat bertanya, 'Apakah Engkau hendak menjadikan di muka bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami sentiasa bertasbih dan memuji Engkau?’ Allah menjelaskan; ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui'."
Walau bagaimanapun, rahsia kejadian manusia itu Allah ceritakan dalam kalamNya yang teragung, iaitu al-Quran dan al-Hadis yang Mulia.
Rahsia Pertama – Allah sendiri memuliakan manusia
Allah sendiri telah memuliakan makhluk yang bernama manusia ini. Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Isra ayat 70 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah memuliakan Bani Adam (manusia) dan Kami tempatkan mereka di bumi dan di lautan serta Kami berikan kepada mereka dari jenis yang baik-baik. Dan Kami berikan mereka banyak kelebihan daripada makhluk-makhluk lain yang Kami jadikan."
(Makna makhluk lain di sini ialah tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang, jin-jin, syaitan-syaitan dan yang lain daripada manusia)
Rahsia Kedua – Manusia dijadikan dengan sebaik-baik kejadian
Allah berfirman dalam surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud "Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian."
Sebaik-baik kejadian manusia termasuk dijadikan hati/perasaan/naluri dan akal fikiran dan pancaindera yang boleh membina tamadun bumi ini. Makhluk lain tidak diberikan kelebihan akal ini. Kalau tidak, sudah lama nelayan susah untuk menangkap ikan. Andainya ikan-ikan bijak berfikir, maka akan susahlah nelayan menangkapnya untuk dimakan.
Rahsia Ketiga – Manusia diberikan akal fikiran
Kemuliaan manusia kerana diberikan akal daripada Allah. Itulah kelebihan yang nyata manusia berbanding makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain.
Rasulullah SAW pernah bersabda, yang bermaksud "makhluk yang mula-mula sekali dijadikan Allah ialah akal". Maka Allah berfirman kepadanya; ‘Menghadaplah kepadaKu’. Akal pun menghadap. Kemudian firmanNya lagi; ‘Membelakangilah Aku’. Lalu akal membelakang. Allah berfirman lagi mengenai akal; "Demi kemuliaan dan kebesaran Aku, tidak Aku jadikan makhluk yang lebih mulia daripada engkau. Dengan engkau Aku mengambil dan dengan engkau Aku memberi. Dengan engkau Aku memberi pahala dan dengan engkau Aku menyeksa."
(Riwayat Tabrani dari Abi Umamah).
Gunalah akal kita sebaik-baiknya untuk mencari rezeki Allah Taala. Nescaya kita boleh kaya raya tapi jangan lupakan Allah SubhanAllah Wa Taala yang menciptakanNya. Bersyukurlah sentiasa.
Akal ialah makhluk yang mula-mula dijadikan dan termulia daripada makhluk lain. Dengan akal juga, manusia menjadikannya sebagai panduan dan neraca dalam hidup untuk mendapatkan pahala atau dosa. Di samping itu, dengan akal, iman, agama dan akhlak manusia akan menjadi sempurna. Mana-mana manusia yang menjadikan akal sebagai alat untuk mendapatkan petunjuk, mendapatkan iman, membina akhlak dan panduan dalam hidup, maka manusia itulah yang mendapat martabat mulia dan tinggi di sisi Allah serta makhluk lain.
Tetapi jika sebaliknya, maka tergolonglah manusia itu ke dalam golongan yang disebutkan Allah di dalam Al-Quran sebagai yang lebih hina daripada haiwan.
Firman Allah SubhanAllah Wa Taala;
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. Kedatangan azab Allah kepada orang-orang yang mendustakan ayat-ayatNya dengan cara istidraj [584] ".
[584] Istidraj iaitu: dengan membiarkan orang itu bergelumang dalam dunianya yang penuh dengan kesesatan dan dosaNya , hingga orang itu tidak sedar bahwa dia didekatkan secara beransur-angsur kepada kebinasaan yakni nyawanya dicabut dalam dia tidak sedar bahawa mati bertemu Allah SubhanAllah Wa Taala. itu adalah BENAR .
Surah Al-A’raf, Ayat 179
Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud, "Orang yang paling sempurna akalnya di antara kamu ialah orang yang paling takutkan Allah dan amat mengambil berat mengenai perintah dan larangan Allah walaupun dia melakukan amalan sunat sedikit." (Riwayat Ibnu Mahbar).
Bagi orang yang menggunakan akalnya untuk berfikir, merenung, merancang dan menghasilkan sesuatu yang berguna, maka faedah pahalanya melebihi ibadah sunat setahun!
Rahsia Keempat – Manusia dilantik Allah sebagai khalifah
Maksud khalifah ialah wakil atau pengganti. Apabila manusia dilantik menjadi khalifah di bumi ini, bermakna dia dilantik sebagai wakil bagi pihak Allah untuk mengurus dan mentadbir muka bumi mengikut peraturan yang telah ditetapkanNya, yakni mengikut al-Quran dan al-Hadis.
Jawatan ini hanya diserahkan kepada manusia, yang menunjukkan bahawa manusia memang makhluk Allah yang mempunyai darjat dan kedudukan tinggi pada pandangan Allah.
Pentauliahan ini jelas diterangkan dalan al-Quran, surah al-An’am, ayat 165 yang bermaksud “Dan Dialah yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di muka bumi ini.”
Rahsia Kelima – Manusia diatur keturunan dengan baik.
Manusia sahaja yang diberi peraturan dan panduan dalam kekeluargaan. Perlu ada ikatan perkahwinan dan zuriat yang dilahirkan berbin kan si bapanya. Hal ini bagi menjaga kerukunan hidup manusia itu sendiri.
Rahsia Keenam – Manusia mempunyai tempat tinggal yang khusus dan indah
Kita sebenarnya diciptakan Allah dengan memiliki sifat kreatif. Kita mampu mempelbagaikan bentuk dan jenis tempat tinggal yang kita ingini (tidak perlu ambil kursus senibina pun). Manusia juga kreatif membuat pelbagai kerja untuk tujuan mencari nafkah.
Tidak seperti binatang yang tidak ada tempat tinggal dan tidak kreatif membuat pelbagai jenis kerja. Maka tidak hairanlah manusia tinggal di rumah yang cantik, indah dan dihiasi pelbagai jenis perhiasan, perabot dan lain-lain. Bidang pekerjaan untuk mencari nafkah terlalu banyak. Contohnya petani, tukang masak, guru, doktor, jurutera, pelukis dan lain-lain.
Keadaan ini wujud hanya bagi manusia.
Rahsia Ketujuh – Manusia makhluk bermasyarakat
Manusia dijadikan dalam pelbagai bangsa dan bersuku. Mereka boleh berkenalan, hidup rukun dan aman, malah suka membantu. Dengan kata lain, manusia boleh membentuk masyarakat. Kalau kita tidak hidup dalam bermasyarakat, kita digelarkan orang yang SOMBONG. Allah SubhanAllah Wa Taala sangat benci pada hamba-hambaNya yang sombong dan lagi bongkak dan membangga diri. (Minta berlindung kita dari Allah SubhanAllah Wa Taala dari demikian ini)
Firman Allah SubhanAllah Wa Taala;
"Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat(Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mau menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai dari padanya."
(Surah Al-Araaf: ayat 146)
Rahsia Kelapan – Manusia diberi kuasa memilih
Manusia diberi keisitmewaan untuk memilih jalan hidupnya, sama ada untuk hidup bahagia atau terseksa, sama ada di dunia atau akhirat. Manusia tidak pernah dipaksa. Al-Quran dan hadis telah ada, tidak mengapa jika tidak mahu baca dan amalkannya kerana Allah SubhanAllah Wa Taala tidak kerugian apa-apa.
Mereka memilih sendiri jalan hidup dan akan bertanggungjawab terhadap jalan hidup yang dipilihnya. Agama adalah pegangan hidup bagi manusia yang beriman yang sesuai dengan fitrah dan sifat semulajadinya.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Tidak ada paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah jelas dan nyata jalan kebenaran dan jalan kesesatan. Siapa yang menolak jalan taghut (Sembahan lain daripada Allah SubhanAllah Wa Taala) dan memilih jalan beriman kepada Allah sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali Allah yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
(Surah Al-Baqarah: ayat 256)
Rahsia Kesembilan – Kemuliaan manusia kerana berakhlak
Manusia menjadi makhluk yang termulia di sisi Allah adalah kerana Allah telah menyempurnakan akhlak manusia itu. Ini merupakan kemuncak tertinggi dalam diri manusia.
Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia." (Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).
Akhlak mulia adalah akhlak Rasulullah s.a.w., kita perlu mencontohi semua akhlak Baginda s.a.w. barulah akhlak kita dijamin mulia dan merupakan hasil daripada ibadah yang khusyuk dan cara hidup orang Islam dan beriman.
Setiap orang akan dinilai dari segi akhlaknya. Kalau baik akhlaknya, maka ia akan dianggap baik dan juga sebaliknya.
Rasulullah juga menegaskan bahawa akhlak mulia itu adalah tandanya keimanan kita dan cinta kita pada agama (cara hidup). Sabda baginda s.a.w. yang bermaksud: "Bermula agama itu ialah budi pekerti mulia." (Riwayat Muhammad bin Nasyur)
Pernah seorang sahabat datang memberitahu Rasulullah bahawa terdapat seorang wanita ahli ibadah, yang bersolat dan siang berpuasa sunat, tetapi mempunyai akhlak yang buruk dan suka menganggu serta menyakiti hati jiran dengan lidahnya.
Maka Nabi s.a.w. dengan tegasnya bersabda yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan pada wanita itu dan dia termasuk ahli neraka" (Riwayat Ahmad dan Hakim)
Kalau kita rasa kita ada akhlak baik tapi tidak solat kita termasuk ahli neraka juga.
Firman Allah SubhanAllah Wa Taala:
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat (yaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." (Surah Al-Ma'un: ayat 4-5)
Lalai tidak solat dan Lalai dengan makna tidak khusyuk yakni solatnya tak membawa diriNya menjadi orang yang baik dan berakhlak mulia.
Sebab itu berkata seorang yang Alim,
"Sekiranya aku berkawan dengan orang derhaka yakni tidak solat, lebih baik bagi aku berkawan dengan seorang ahli ibadah yang berakhlak buruk"
(Al-A'lamah Al-iman Fudhail)
Kesempurnaan akhlak seseorang itu juga berkait rapat dengan kesempurnaan akalnya. Ini bermakna akal dan akhlak tidak terpisah. Itulah nilai martabat makhluk selaku manusia.
Mulia atau hinanya bangsa itu bukan terletak pada kekuatan senjata dan kekayaan harta tetapi lebih banyak terletak pada akhlak mulia.
Untuk mengembalikan kekuatan, kemuliaan dan keagungan umat Islam, tidak cukup dengan hanya membina kekuatan ekonomi, politik dan senjata tanpa akhlak mulia. Akhlak mulia ialah asas kekuatan umat Islam. Selagi umat Islam berakhlak mulia, selama itu akan disegani dan dihormati oleh semua bangsa. Kekuatan zahir hanya dijadikan sebagai kekuatan tambahan.
Rahsia Kesepuluh – Manusia mampu mengendali dan meningkatkan maqam nafsunya
Malaikat berjiwa suci, tapi tiada nafsu. Binatang pula diberi nafsu tanpa akal. Manusia pula diberikan akal dan nafsu serta perasaan. Nafsu sebenarnya dapat dipecahkan kepada beberapa jenis. Antaranya:
- Ammarah
- Lawwamah
- Mulhimah
- Mutmainnah
- Radhiah
- Mardhiah
- Kamilah
Nafsu sentiasa mengajak kepada kejahatan adalah nafsu ammarah. Walau bagaimanapun, Allah telah memberikan kemampuan dan kekuatan untuk manusia mengendalikan nafsu sehingga menjadi baik dan boleh didorong kepada kebaikan.
Nafsu yang terdidik menjadi baik iaitu nafsu mutmainnah. Nafsu ini adalah nafsu ahli syurga.
Nafsu ada yang baik dan ada yang jahat. Kedua-duanya wujud dalam diri manusia. Sesiapa yang dikuasai salah satu daripadanya, dia akan bersifat dengan pilihannya itu.
DAN untuk menentukan antara nafsu itu yang menjadi sifat manusia, ia bergantung sejauh mana akal manusia itu berusaha mengendalikan dan mengawal serta berusaha untuk mencapai nafsu yang baik.
Nafsu jahat boleh dikalahkan dan nafsu baik boleh ditingkatkan dengan beberapa latihan, melalui 4 cara iaitu kurangkan makan, kurangkan tidur, bercakap sekadar perlu dan sabar dengan ujian yang menimpa.
Kenalilah diri kita semoga kita berjaya di dunia dan akhirat.
1 comment:
subhanallah ^_^
Post a Comment