MY FOLLOWERS

Monday, September 27, 2010

Artikel - Awas! Saman Trafik

Credits to:


Gambar hiasan - dari Yahoo


Salam...

Hari ini 27.9.2010 jam 11.47 pagi, ketika dalam perjalanan ke Chendering untuk urusan kerja, kereta saya ditahan di satu sekatan jalan raya dalam operasi yang diadakan oleh pihak Cawangan Trafik Kuala Terengganu. Sekatan jalan raya diadakan di jalan sebelum lampu isyarat menghala ke Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung selepas melalui kawasan sekolah menengah berdekatan. Setelah memeriksa kad pengenalan dan lesen memandu, saya dikenakan denda RM80 kerana tidak memakai tali pinggang keledar. Resit saman turut diberikan oleh pegawai yang bertugas.

Setelah urusan kerja selesai, saya terus ke Ibu Pejabat Cawangan Trafik Kuala Terengganu untuk membayar denda berkenaan. Penjelasan diberikan oleh pegawai di kaunter bayaran berkenaan merungkai sedikit kekeliruan sebelum ini. Sekiranya ditahan oleh polis trafik, bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, denda RM80 dikenakan ke atas pemandu manakala denda RM300 pula bagi penumpang di belakang. Tidak perlu berurusan di mahkamah, hanya dengan cawangan trafik sahaja.

Dijelaskan lagi oleh pegawai berkenaan, berkuatkuasa 14.5.2010 semua jumlah denda adalah muktamad dan tidak boleh dikurangkan kecuali yang berjumlah RM300. Itupun hanya dikurangkan RM100 sahaja (RM300-RM100 = RM200 perlu dibayar). Segala rayuan dan permohonan daripada pesalah trafik untuk mengurangkan denda akan dihantar dahulu ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ia diluluskan. Segala keputusan rayuan akan dipertimbangkan oleh pihak Bukit Aman.

Berbanding operasi dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi kesalahan yang sama dendanya adalah sebanyak RM300 ke atas pemandu dan sekiranya ingin denda dikurangkan, pesalah yang disaman JPJ perlu membuat rayuan di mahkamah. Maklumat ini diperolehi sendiri daripada pegawai JPJ yang bertugas. Tempoh pembayaran saman dan tarikh untuk hadir ke mahkamah adalah sebagaimana dicatatkan di atas kertas saman yang diberikan oleh pegawai JPJ berkenaan.


Peringatan buat semua

Segala peraturan disusun untuk diikuti demi kebaikan semua. Sebagaimana di sekolah, di tempat awam, atau dalam sebarang pekerjaan yang dilakukan, denda adalah sebagai peringatan agar kesalahan yang sama tidak berulang.



Sunday, September 26, 2010

Artikel - Keselamatan Daripada Kilat: Antara Mitos dan Kebenaran

Credits to: -




Salam...

Mungkin keselamatan diri anda akan terancam dan anda berhadapan dengan bahaya yang sangat serius jika tidak mengetahui dan membezakan di antara MITOS dan KEBENARAN bila berada dalam situasi kilat. Ya, pada hemat saya sekalipun yang masih bersekolah tahu apa itu 'kilat'. Manakala yang belajar mengenai elektrik tahu persamaan di antara kilat dan elektrik. Sejauh mana kita semua mengetahui yang manakah MITOS dan KEBENARAN mengenai kilat? Di sini saya kongsikan bersama anda sedikit maklumat yang saya perolehi daripada laman web yang berkaitan.


Petunjuk:                   MERAH - MITOS          HIJAU - KEBENARAN






Kilat tidak akan menyambar tempat yang sama dua kali
Kebiasaannya, kilat boleh menyambar tempat yang sama berulang kali, terutama tempat-tempat tinggi, tirus serta terpencil. Contohnya Bangunan Empire State pernah disambar kilat hampir 25 kali setahun.


Sekiranya tidak berlaku hujan atau tiada awan di atas langit, anda akan selamat daripada disambar kilat.
Kilat selalunya menyambar melebihi 3 batu dari kawasan pusat ribut petir, jauh ke luar dari kawasan hujan atau awan ribut petir. Serangan baut (bolt) boleh mencapai sejauh 10-15 batu dari kawasan ribut petir.


Tayar getah daripada kenderaan boleh melindungi anda daripada kilat dan bertindak sebagai penebat di antara anda dengan bumi (ground).
Kebanyakan kenderaan selamat daripada kilat, tetapi bukan tayar getah yang bertindak melindungi anda. Sebaliknya adalah bahagian besi pada bumbung dan tepi kenderaan itu sendiri. Sebarang kenderaan jenis tanpa bumbung seperti motorsikal, basikal, kenderaan untuk rekreasi, dan kereta yang dilengkapi gentian fiber tidak akan melindungi anda daripada disambar kilat.


Badan mangsa yang disambar kilat dipenuhi dengan elektrik. Sesiapa yang menyentuh mangsa yang disambar kilat akan turut disambar.
Badan manusia tidak menyimpan arus elektrik. Anda selamat sepenuhnya untuk menyentuh mangsa supaya bantuan kecemasan dapat diberikan. Cubalah anda bayangkan jika seseorang mati kerana anda takut memberikan bantuan CPR hanya disebabkan takut turut disambar!




Sekiranya anda berada di luar ketika ribut petir, anda perlu berlindung di bawah pokok supaya kekal kering.
Berada di bawah pokok akan lebih mendedahkan anda untuk disambar kilat. Punca kedua kemalangan akibat disambar kilat adalah kerana berada di bawah pokok. ELAKKAN!!


Sekiranya anda berada di dalam rumah, anda selamat daripada disambar kilat.
Sememangnya berada di dalam rumah adalah tempat paling selamat berlindung daripada kilat selagi mana anda mengelakkan diri daripada menyentuh sebarang perkakasan yang mengalirkan elektrik seperti talian telefon, peralatan elektrik, wayar, kabel TV, komputer, paip, besi pada pintu dan tingkap.


Sekiranya ribut petir bakal melanda ketika sedang bermain di luar, adalah tidak mengapa menamatkan permainan dahulu sebelum mencari tempat berlindung.
Kebanyakan korban kemalangan berpunca daripada kilat terjadi kerana tidak mencari tempat berlindung lebih awal. Tidak berbaloi meneruskan permainan jika hanya akan mendatangkan kesan kematian atau kecederaan yang parah. Dapatkan tempat perlindungan seberapa segera jika anda mendengar bunyi petir. Semua orang dewasa bertanggungjawab ke atas keselamatan kanak-kanak.


Struktur dengan bahagian besi seperti barang kemas, telefon bimbit, pemain MP3, jam, dan seumpamanya boleh mengalir kilat.
Ketinggian, bentuk runcing dan terpencil adalah faktor yang dominan yang mengawal arus kilat menyambar. Tiada bezanya sekiranya terdapat bahagian besi sekalipun pada sesuatu struktur kerana ia tidak menentukan ke mana kilat akan menyambar. Gunung-gunung yang terdiri daripada unsur batu-bata tetap disambar kilat berulang-ulang kali dalam setahun. Apabila terdapat ancaman kilat, segera ambil langkah berjaga-jaga dengan mencari tempat perlindungan yang selamat. Jangan buang masa anda untuk membuang bahagian besi berkenaan. Sekalipun besi tidak menarik kilat, ia tetap mampu mengalirkannya. Jadi, jauhkan diri daripada pagar besi, rel, atau sebarang struktur yang mengandungi bahagian besi.


Sekiranya terperangkap di luar dan ketika kilat akan menyambar, anda seharusnya berbaring di atas tanah.
Berbaring di atas tanah akan meningkatkan peluang anda TERKENA ARUS BUMI (GROUND CURRENT)! Sekiranya anda terperangkap dalam keadaan ribut petir sedemikian, teruskan bergerak ke arah tempat perlindungan.


Sekadar hiasan - Ini adalah untuk hiburan


Sumber artikel asal: Lightning Safety Myths and Truths

Monday, September 20, 2010

Artikel - Hero dan Superhero: Antara Contoh Yang Baik & Tidak Baik

Credits to: Yahoo! Movies, blog Aqil Hayy



Salam...


Pendahuluan

Setiap cerita dalam setiap zaman pastinya dan perlunya ada wira atau hero yang kita harapkan mampu memberikan contoh tauladan yang baik untuk diikuti. Secara ringkasnya, siapakah wira yang kita seharusnya kita harapkan untuk tunjukkan tauladan yang baik seperti yang kita harapkan? Bagi kita umat Islam, Rasulullah adalah contoh ikutan paling baik dalam semua aspek kehidupan - Ketua negara, bapa, suami, sahabat, peniaga, panglima perang, apa sahaja yang berkaitan dengan diri Rasulullah itu sentiasa menjadi contoh dan ikutan terbaik umatnya sehingga ke akhir zaman. Bukan sahaja umat Islam, bahkan seluruh dunia bukan Islam juga mengakui kehebatan dan kredibiliti Rasulullah. Hebat, kan? Al-Quran turut membenarkan hakikat ini:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat." (Surah al-Ahzab: ayat 21)

Rujukan: Blog Aqil Hayy




Perlukah wira dalam kehidupan? 

Bagaimana pula di kalangan manusia hari ini? Berapa ramaikah yang mampu menjadi contoh dan ikutan yang baik untuk generasi muda? Ya, kita tidak maksum seperti Rasulullah dan memang tiada siapa yang mampu menjadi sebaik Rasulullah tetapi sekurang-kurangnya mengikut ajaran yang dibawa Rasulullah dan diikuti oleh generasi muda yang lain. Berapa ramai yang mampu melakukan sedemikian? Bagi saya, perlunya kewujudan wira atau hero sebegini dalam sesebuah negara atau komuniti sekurang-kurangnya adalah agar dapat menjadi tempat rujukan ilmu, menjadi inspirasi serta memimpin masyarakat ke arah hidup yang lebih mendapat keberkatan dariNya.



 Gambar hiasan - X-Men: The Last Stand
 

Bagaimana pula dengan adiwira (superhero)?

:-D Sejujurnya, sehingga ke hari ini saya perhatikan sekalipun superhero, ia masih tidak lari daripada konsep/konteks wira itu sendiri. Bersifat penyelamat, pemberi motivasi dan contoh kepada masyarakat di sekelilingnya, cuma ia dilebih-lebihkan (exaggerate) melalui filem-filem keluarannya dengan sifat-sifat fizikal berbentuk kekuatan, kepintaran, kecekapan, pakaian yang khusus (costume), kenderaan serta kelengkapan (gadgets) yang hebat. Tidak lupa juga beberapa orang pembantu yang setia bersama dalam perjuangannya menjaga keamanan masyarakat dan komuniti mereka. :-) Musuh-musuh juga dicipta setanding dengan adiwira berkenaan. Filem-filem Hollywood banyak menyajikan contoh, jika ingin diperhatikan. Mungkin jika ditanya orang lain, masing-masing akan memberikan tanggapan yang berbeza.




Kenapa saya bangkitkan persoalan ini?
Hari ini, di zaman ini kita dididik melalui subjek Sejarah dan subjek-subjek berkaitan dengannya mengenai wujudnya wira-wira negara di masa silam yang bangkit sebagai penyelamat dan penentang penjajahan di tempat masing-masing. Banyak macam kisahnya. Semuanya adalah kisah dan perjuangan yang sebenar (real). Contohnya Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan ramai lagi. Sebagai tambahan kepada sumber didikan sedia ada, kita turut 'dididik' dengan kewujudan tokoh-tokoh ciptaan seperti yang terdapat di media-media cetak dan elektronik serta dari filem-filem keluaran Hollywood, yang menggambarkan wira-wira tersebut sebagai penyelamat keadaan dan pemberi inspirasi kepada masyarakat di sekitarnya. Persoalannya, sejauh mana wira-wira ciptaan ini mampu menjadi ikutan atau role model seperti yang kita harapkan? Atau memang tidak boleh diharapkan langsung? 


Saya ada membaca satu artikel Yahoo! Movies bertarikh 17.8.2010 menyatakan ada sebahagian adiwira atau superhero hari ini adalah contoh yang tidak baik kepada generasi muda kini. Ia digambarkan dari sudut satu kajian berkenaan adiwira zaman moden yang dijalankan oleh Sharon Lamb dari Universiti Massachusetts-Boston yang menjelaskan: "Adiwira hari ini sudah melampau dan tidak ubah seperti wira filem aksi yang terlibat dengan keganasan tanpa henti, bersifat agresif, sarkastik, jarang menunjukkan nilai murni dalam melakukan kebaikan kepada masyarakat. Apa tidak mengenakan costume, mereka menunjukkan satu identiti yang jauh berbeza, seperti Iron Man, mengeksploitasi perempuan, dan menunjuk-nunjuk kelelakian dengan senjata berkuasa tinggi."

Sharon Lamb memetik komik Iron Man isu nombor 39 bertajuk "Tales of Suspense" sebagai contoh, yang menceritakan Tony Stark (identiti Iron Man) berjuang melawan alkoholisme. Sebahagian jalan cerita ini kemudiannya diadaptasikan ke dalam dua filem "Iron Man".

Kajiannya turut mendapati kanak-kanak yang tiada contoh ikutan (role model) dalam kehidupan sebenar akan mencari idola daripada filem bagi mengimbangi kekurangan dalam panduan hidup mereka. Dalam kehidupan sebenar, tiada manusia biasa yang akan digigit labah-labah radioaktif atau mendapat kuasa mutant. Daripada kajiannya turut mengetahui keadaan ini membawa kepada masalah lain apabila bahagian pemasaran filem 'mengambil kesempatan ke atas keperluan kanak-kanak dalam membentuk identiti mereka menjadi remaja dan menjualkan kepada mereka bentuk kejantanan dalam versi yang sempit'.



Sumber asal artikel:  Study: Superheroes Might Not Be Such Super Role Models




Gambar hiasan: Batman: The Dark Knight



Sunday, September 19, 2010

Sekadar Luahan - Kenangan Bulan Ramadhan 2010

Kredit kepada: Bersama Mazidul    
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum... 
 







Salam Aidilfitri...Membaca post di blog Bersama Mazidul membuatkan saya tergerak hati untuk turut berkongsi kisah-kisah di bulan Ramadhan dan Syawal ketika di zaman budak-budak dahulu. Setiap kali tiba bulan Ramadhan, selalu juga teringat kisah-kisah kegembiraan ketika di zaman sekolah bermain mercun dan bersama kawan-kawan berbuka puasa di masjid Taman Paroi Jaya, Seremban. Pada waktu itu saya sekeluarga tinggal di Negeri Sembilan. Biasalah, waktu itu belum pernah lagi terdengar istilah 'bazar Ramadhan' apatah lagi kewujudannya. Jadi, tidak kelihatanlah suasana sibuk setiap petang Ramadhan, makcik-makcik jiran ataupun mak ayah kita pulang ke rumah dengan beg plastik penuh dengan bermacam-macam menu berbuka. Bila berbuka puasa di rumah, biasanya ibu saya akan masak sendiri. Sempat sangatlah untuk buat persediaan berbuka dengan apa-apa yang patut, maklumlah kerja sebagai cikgu sesi pagi. Kalau kerja sesi petang, mungkin kalut sedikit.


Bulan Ramadhan di surau

Pada tahun sekitar 1990 atau 1991 (kalau tidak silap la), masjid Taman Paroi Jaya dan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi belum ada lagi. Peminat bola sepak tengok perlawanan masa itu di mana pun saya tak tahu. Lagipun, masa itu saya masih budak sekolah berseluar biru lagi. Bila tidak berbuka di rumah, saya akan ikut ayah atau kawan-kawan berbuka di surau berhampiran. Surau pun di hujung jalan kawasan perumahan kami, saya hanya berjalan kaki untuk sampai. Menu berbuka tidak dihidangkan atas meja kerana kawasan yang agak terhad. Jadi, para tetamu yang datang akan duduk bersila untuk makan. Teringat juga, sebelah surau tu sebenarnya rumah kawan baik saya. Kalau ikut pintu pagar kecil belakang rumahnya terus sampai ke surau ini.





Biasanya kalau malas nak tunggu Isyak, saya akan terus pulang ke rumah selepas berbuka puasa dan bersolat Maghrib. Kadang-kadang ikut mood juga. Kalau ada kawan-kawan, saya akan pulang selepas habis solat terawih dan sesudah moreh (jamuan makan lepas solat). Masa itu, adik-adik pun masih kecil. Jadi, rasa selamat la juga sebab tiada sesiapa akan jadi spy untuk beri maklumat kepada mak ayah berkenaan kenakalan kita waktu di surau apatah lagi di luar rumah... Kiranya saya agak nakal juga sewaktu budak-budak dulu...hehehe..Cuma kenakalan di surau agak terbatas setakat dalam surau sahaja kerana faktor kawasan surau berkenaan. Kalau keluar dari pintu pagar surau, boleh ke rumah jiran sebelah dan seberang jalan. Kenderaan yang lalu-lalang di jalan menyukarkan kami bermain-main di jalanan. Memang sesekali terdengar juga bunyi bising kawan-kawan yang bermain bunga api dan mercun, ia cuma di tepi jalan. Masa itu bunga api dan mercun belum diharamkan lagi seperti hari ini, jadi bolehlah didapati di kedai-kedai runcit dengan mudah.

Teringat saya, kerana kenakalan saya dalam surau, pernah saya dijentik telinga oleh seorang pakcik. Masa itu semua budak termasuk saya tahu yang pakcik ini selalu ada di surau (macam orang masjid la)..Biasanya kalau nampak sahaja pakcik ni, kami akan terus cabut lari. Dia memang pantang kalau nampak budak-budak macam kami berlegar-legar atau bermain-main dalam surau. Ada yang kena tangkap mesti akan kena sound dengan pakcik ni. Tapi biasalah, bila sudah namanya pun budak-budak, semestinya tiada istilah 'serik' dalam kepala. Apalagi, lepas kena sound dengan pakcik tu berkali-kali pun, pasti perkara sama akan dibuat. Ada yang seakan memberontak atau cuba 'balas dendam', mereka akan 'booo' dan mengejek-ejek gaya percakapannya dan perbuatan pakcik ni bila ternampak kelibatnya meskipun dari jauh atau secara sorok-sorok. Selepas itu kami sama-sama akan ketawa.. Kami memang tidak menyukainya sebab muka pun nampak garang. Budak-budak manalah yang suka orang tua yang garang-garang, pasti akan cari juga jalan untuk lepaskan diri dan memberontak. Bila tiada yang mengawal, pastinya akan berasa puas bila bergembira..Bak kata pepatah - When the cat is away, the mice will play...hehehe......

Kalau budak perempuan? Pada masa ini, belum lagi. Usia masih mentah, semestinya tajuk 'lelaki dan perempuan suka sama suka' itu belum wujud lagi.


Tarawikh

Bukanlah setiap malam saya akan bertindak nakal bersama kawan-kawan, ada juga waktunya saya mengikut para jemaah bersolat terawih. Barangkali juga berasa bosan kerana ada sebilangan kawan-kawan tidak turut serta untuk diajak bermain. Pada waktu itu, belum pun mengenal erti khusyuk, bahkan lebih kepada ikut-ikutan semata-mata. Mengaji pun baru sahaja mengenal alif, ba, ta.. Lebih banyak bermain daripada serius. Belum mengerti apa-apa.

Menyebut perihal khusyuk, teringat pula peristiwa satu malam ketika berterawih. Pada mulanya tidaklah disedari sehinggalah pada waktu semua jemaah di witir yang terakhir dan sebelum pulang. Ada beberapa kawan melintas di hadapan saya sambil ketawa. Bila ditanya, kawan-kawan menunjuk pada seorang 'brader' yang sedang sujud di barisan belakang sebaris dengan barisan kanak-kanak. Rupa-rupanya dia sudah sujud agak lama dan belum bangun lagi sejak dari rakaat sebelumnya (rasanyalah)!! Bila dilihat lebih dekat, rupanya dia sudah tertidur! Keadaannya seperti sujud cuma dengan kepala tertoleh ke tepi dengan mata terpejam dan mulut sudah ternganga! 




Seingat saya, dia adalah anak seorang ustaz di kawasan kediaman kami yang juga orang kuat surau. Dia antara yang kami kurang senang kerana suka membuli kanak-kanak lain dan saya juga tidak terlepas daripada menjadi mangsanya sebelum itu. Ketika semua jemaah sudah beransur-ansur keluar sesudah berwirid (lepas witir), dia masih lagi tertidur. Sesekali ada juga kedengaran tawa daripada hadirin yang sudah mula keluar. Ada juga yang tersenyum sinis kerana geli hati melihat 'kekhusyukan'nya. Saya tidak tahu pula bila dia dikejutkan oleh jemaah kerana saya sudahpun keluar bersama jemaah lain sebelum dia bangun. Saya juga mendapat tahu yang brader ini ke surau ketika Subuh pagi tadi. Barangkali dia tertidur ketika sujud itu kerana bangun awal untuk solat Subuh di surau berkenaan. Jadi, pada malam dia tertidur ketika sujud itulah kami berpeluang ketawakannya sepuasnya..


Bulan Syawal

Bagi kami sekeluarga yang tinggal di Negeri Sembilan waktu itu, istilah 'balik kampung' adalah sesuatu yang boleh disifatkan lumrah setiap kali tibanya cuti persekolahan. Cuti sempena Aidilfitri tidak terkecuali. Maka selama seminggu itulah kami tiada di rumah. Pastinya selepas pulang, ole-ole akan turut dibawa pulang bersama-sama. Biasanya keropok keping dan keropok lekor yang dibeli dalam jumlah yang agak banyak.



Bersambung...


Tuesday, September 7, 2010

Artikel - Seksaan Bagi Orang-orang Yang Meninggalkan Solat

Credits to: - 




Orang yang tidak sembahyang akan diseksa dengan 15 seksa; 6 daripadanya akan diterima di dunia, 3 seksa tatkala hendak mati, 3 seksa lagi ketika berada di alam kubur dan 3 seksa lagi di hari kiamat.


Enam seksaan semasa hidup di dunia:
  1. Ditinggalkan berkat pada umurnya.
  2. Allah akan menghapuskan tanda-tanda orang salih daripada mukanya.
  3. Tiap-tiap amal yang dikerjakan tiada diberikan pahala kepadanya.
  4. Segala doanya tiada diperkenankan oleh Allah.
  5. Dia dimarahi dan dibenci oleh segala makhluk di dunia.
  6. Tidak ada baginya bahagian daripada doa orang-orang salih.

Tiga seksaan tatkala hendak mati:
  1. Dia mati dalam kehinaan.
  2. Mati dalam keadaan yang sangat lapar.
  3. Mati dalam keadaan yang sangat haus, sehinggakan jika dituangkan kepadanya sekalian air laut di dunia ini, dia tetap merasa tidak puas.

Tiga seksaan ketika di alam kubur:
  1. Disempitkan kuburnya.
  2. Dinyalakan api, di mana dia akan membalik-balikkan dirinya di dalam bara api itu.
  3. Allah mengarahkan ular yang paling besar untuk menyebat mayat itu, yang mana dinamakan ular itu 'SHAJKUL AKRAK' dan ular itu akan berkata, "Sesungguhnya aku telah disuruh oleh Tuhanku untuk memukul engkau dari Subuh hingga ke Zuhur, dipukul pula hingga ke Asar dengan sebab engkau sia-siakan waktu Zuhur." Begitulah seterusnya tiap-tiap hari dan malam sehingga hari kiamat.

Tiga seksa di hari kiamat:
  1. Allah memerintahkan malaikat azab agar menghela orang yang tidak sembahyang itu ke dalam neraka.
  2. Allah menilik pada orang yang tidak sembahyang itu dengan tilikan yang murka. 
  3. Allah akan mengira orang yang tidak sembahyang itu dengan kiraannya yang paling berat dan terus disumbatkan ke dalam neraka, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Apa yang membawa kamu ke neraka?" Mereka menjawab, "Kami tidak sembahyang."

Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang fardu, seksanya umpama:-
  1. Subuh:  Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka jahanam selama 60 tahun.
  2. Zuhur:  Dosanya seperti membunuh seribu orang Islam.
  3. Asar:  Dosanya seperti meruntuhkan Kaabah.
  4. Maghrib:  Dosanya seperti berzina dengan ibu atau bapanya sendiri.
  5. Isyak:  Allah berseru kepada mereka, "Hai orang yang meninggalkan solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi reda engkau tinggal di bumi-Ku dan menggunakan nikmat-nikmat-Ku." Segala gerak-gerinya seperti pakai, makan, tidur adalah berdosa kepada Allah.








Wallahualam....

Artikel - 10 Jenis Solat Yang Tidak Diterima Allah s.w.t.

Credits to: - 




Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." 
(Tabyinul Mahaarim)


Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa: "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah s.w.t., antaranya:
  1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
  2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
  3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
  4. Orang lelaki yang melarikan diri.
  5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (taubat).
  6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
  7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
  8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
  9. Orang-orang yang suka makan riba'.
  10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar." 



 

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah." 




Hassan r.a. berkata: "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."


Wallahualam..