MY FOLLOWERS

Sunday, September 19, 2010

Sekadar Luahan - Kenangan Bulan Ramadhan 2010

Kredit kepada: Bersama Mazidul    
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum... 
 







Salam Aidilfitri...Membaca post di blog Bersama Mazidul membuatkan saya tergerak hati untuk turut berkongsi kisah-kisah di bulan Ramadhan dan Syawal ketika di zaman budak-budak dahulu. Setiap kali tiba bulan Ramadhan, selalu juga teringat kisah-kisah kegembiraan ketika di zaman sekolah bermain mercun dan bersama kawan-kawan berbuka puasa di masjid Taman Paroi Jaya, Seremban. Pada waktu itu saya sekeluarga tinggal di Negeri Sembilan. Biasalah, waktu itu belum pernah lagi terdengar istilah 'bazar Ramadhan' apatah lagi kewujudannya. Jadi, tidak kelihatanlah suasana sibuk setiap petang Ramadhan, makcik-makcik jiran ataupun mak ayah kita pulang ke rumah dengan beg plastik penuh dengan bermacam-macam menu berbuka. Bila berbuka puasa di rumah, biasanya ibu saya akan masak sendiri. Sempat sangatlah untuk buat persediaan berbuka dengan apa-apa yang patut, maklumlah kerja sebagai cikgu sesi pagi. Kalau kerja sesi petang, mungkin kalut sedikit.


Bulan Ramadhan di surau

Pada tahun sekitar 1990 atau 1991 (kalau tidak silap la), masjid Taman Paroi Jaya dan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi belum ada lagi. Peminat bola sepak tengok perlawanan masa itu di mana pun saya tak tahu. Lagipun, masa itu saya masih budak sekolah berseluar biru lagi. Bila tidak berbuka di rumah, saya akan ikut ayah atau kawan-kawan berbuka di surau berhampiran. Surau pun di hujung jalan kawasan perumahan kami, saya hanya berjalan kaki untuk sampai. Menu berbuka tidak dihidangkan atas meja kerana kawasan yang agak terhad. Jadi, para tetamu yang datang akan duduk bersila untuk makan. Teringat juga, sebelah surau tu sebenarnya rumah kawan baik saya. Kalau ikut pintu pagar kecil belakang rumahnya terus sampai ke surau ini.





Biasanya kalau malas nak tunggu Isyak, saya akan terus pulang ke rumah selepas berbuka puasa dan bersolat Maghrib. Kadang-kadang ikut mood juga. Kalau ada kawan-kawan, saya akan pulang selepas habis solat terawih dan sesudah moreh (jamuan makan lepas solat). Masa itu, adik-adik pun masih kecil. Jadi, rasa selamat la juga sebab tiada sesiapa akan jadi spy untuk beri maklumat kepada mak ayah berkenaan kenakalan kita waktu di surau apatah lagi di luar rumah... Kiranya saya agak nakal juga sewaktu budak-budak dulu...hehehe..Cuma kenakalan di surau agak terbatas setakat dalam surau sahaja kerana faktor kawasan surau berkenaan. Kalau keluar dari pintu pagar surau, boleh ke rumah jiran sebelah dan seberang jalan. Kenderaan yang lalu-lalang di jalan menyukarkan kami bermain-main di jalanan. Memang sesekali terdengar juga bunyi bising kawan-kawan yang bermain bunga api dan mercun, ia cuma di tepi jalan. Masa itu bunga api dan mercun belum diharamkan lagi seperti hari ini, jadi bolehlah didapati di kedai-kedai runcit dengan mudah.

Teringat saya, kerana kenakalan saya dalam surau, pernah saya dijentik telinga oleh seorang pakcik. Masa itu semua budak termasuk saya tahu yang pakcik ini selalu ada di surau (macam orang masjid la)..Biasanya kalau nampak sahaja pakcik ni, kami akan terus cabut lari. Dia memang pantang kalau nampak budak-budak macam kami berlegar-legar atau bermain-main dalam surau. Ada yang kena tangkap mesti akan kena sound dengan pakcik ni. Tapi biasalah, bila sudah namanya pun budak-budak, semestinya tiada istilah 'serik' dalam kepala. Apalagi, lepas kena sound dengan pakcik tu berkali-kali pun, pasti perkara sama akan dibuat. Ada yang seakan memberontak atau cuba 'balas dendam', mereka akan 'booo' dan mengejek-ejek gaya percakapannya dan perbuatan pakcik ni bila ternampak kelibatnya meskipun dari jauh atau secara sorok-sorok. Selepas itu kami sama-sama akan ketawa.. Kami memang tidak menyukainya sebab muka pun nampak garang. Budak-budak manalah yang suka orang tua yang garang-garang, pasti akan cari juga jalan untuk lepaskan diri dan memberontak. Bila tiada yang mengawal, pastinya akan berasa puas bila bergembira..Bak kata pepatah - When the cat is away, the mice will play...hehehe......

Kalau budak perempuan? Pada masa ini, belum lagi. Usia masih mentah, semestinya tajuk 'lelaki dan perempuan suka sama suka' itu belum wujud lagi.


Tarawikh

Bukanlah setiap malam saya akan bertindak nakal bersama kawan-kawan, ada juga waktunya saya mengikut para jemaah bersolat terawih. Barangkali juga berasa bosan kerana ada sebilangan kawan-kawan tidak turut serta untuk diajak bermain. Pada waktu itu, belum pun mengenal erti khusyuk, bahkan lebih kepada ikut-ikutan semata-mata. Mengaji pun baru sahaja mengenal alif, ba, ta.. Lebih banyak bermain daripada serius. Belum mengerti apa-apa.

Menyebut perihal khusyuk, teringat pula peristiwa satu malam ketika berterawih. Pada mulanya tidaklah disedari sehinggalah pada waktu semua jemaah di witir yang terakhir dan sebelum pulang. Ada beberapa kawan melintas di hadapan saya sambil ketawa. Bila ditanya, kawan-kawan menunjuk pada seorang 'brader' yang sedang sujud di barisan belakang sebaris dengan barisan kanak-kanak. Rupa-rupanya dia sudah sujud agak lama dan belum bangun lagi sejak dari rakaat sebelumnya (rasanyalah)!! Bila dilihat lebih dekat, rupanya dia sudah tertidur! Keadaannya seperti sujud cuma dengan kepala tertoleh ke tepi dengan mata terpejam dan mulut sudah ternganga! 




Seingat saya, dia adalah anak seorang ustaz di kawasan kediaman kami yang juga orang kuat surau. Dia antara yang kami kurang senang kerana suka membuli kanak-kanak lain dan saya juga tidak terlepas daripada menjadi mangsanya sebelum itu. Ketika semua jemaah sudah beransur-ansur keluar sesudah berwirid (lepas witir), dia masih lagi tertidur. Sesekali ada juga kedengaran tawa daripada hadirin yang sudah mula keluar. Ada juga yang tersenyum sinis kerana geli hati melihat 'kekhusyukan'nya. Saya tidak tahu pula bila dia dikejutkan oleh jemaah kerana saya sudahpun keluar bersama jemaah lain sebelum dia bangun. Saya juga mendapat tahu yang brader ini ke surau ketika Subuh pagi tadi. Barangkali dia tertidur ketika sujud itu kerana bangun awal untuk solat Subuh di surau berkenaan. Jadi, pada malam dia tertidur ketika sujud itulah kami berpeluang ketawakannya sepuasnya..


Bulan Syawal

Bagi kami sekeluarga yang tinggal di Negeri Sembilan waktu itu, istilah 'balik kampung' adalah sesuatu yang boleh disifatkan lumrah setiap kali tibanya cuti persekolahan. Cuti sempena Aidilfitri tidak terkecuali. Maka selama seminggu itulah kami tiada di rumah. Pastinya selepas pulang, ole-ole akan turut dibawa pulang bersama-sama. Biasanya keropok keping dan keropok lekor yang dibeli dalam jumlah yang agak banyak.



Bersambung...


3 comments:

rammyd said...

wah.. terasa rindu pula bulan ramadhan.. :)

Unknown said...

eh! puasa dah hbis blade tpa ok gak ko cte ni... best jgk.. terkenang masa zaman aku dulu jgk...

nabilah_2908 said...

kenangan zmn kanak2..mmg seronok bila dikenang semula.. ;)

jom ke APA KATA HATI pulak ;
TIPS KEMBALIKAN MOOD BEKERJA