MY FOLLOWERS

Wednesday, September 1, 2010

Artikel - Manusia Diberi Pilihan

Kredit kepada:
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum...



Sememangnya dalam setiap aspek kehidupan kita hanya Allah menentukan keputusannya, tetapi kita selaku manusia dan juga umatNya diberi akal dan tubuh badan ini untuk berusaha dan membuat pilihan, untuk memilih manakah yang lebih baik, antara dunia dan akhirat.

Bukan orang lain tetapi kitalah sendiri yang akan mencorakkan hidup kita. Apa yang orang lain boleh buat hanyalah membantu supaya kita tidak tersalah dalam membuat pilihan. Ilmu pengetahuan, pengalaman, cara berfikir malahan perspektif yang berbeza-beza antara setiap individu semestinya membantu kita dalam mempertimbangkan setiap pilihan yang tersedia secara hampir 360 darjah. Dengan kata lain, kita dapat melihat gambaran berkaitan pilihan-pilihan yang kita ada, memahaminya sebelum membuat keputusan.

Kenapa harus mengikut nafsu sedangkan kita sudah diberi akal yang waras? Sedarkah kita setiap yang disukai nafsu itu tempatnya hanyalah di neraka. Memberontak, mengamuk tidak tentu hala, memeras ugut, membunuh, vandalisme, berlaku zalim terhadap orang lain semuanya mendatangkan kerosakan dan dosa yang akan mengheret manusia ke neraka. Segala bentuk kebaikan walau sekecil semut dikira pahala - sedekah jariah, mengajar ilmu, membantu insan lain yang kesusahan, semuanya akan dibalas dengan kebaikan berlipat ganda di akhirat dan segala kebaikan itu tempatnya hanyalah di syurga. Maka buatlah pilihan - mahu ke syurga atau ke neraka.


Mintalah pertolongan orang-orang terdekat jika perlu

Banyak yang boleh dilakukan oleh seorang manusia untuk menjadi manusia yang lebih baik. Tetapi ini tidaklah bermakna kita boleh buat keputusan secara sendiri dan semberono, tanpa bergantung pada bantuan orang-orang di sekeliling. Manusia itu tidak mampu untuk buat semua keputusan secara bersendirian tanpa bergantung pada orang lain. Tidak boleh tidak, kena bergantung juga pada orang lain walaupun sedikit. Sedangkan Adam sendiri merasa kesepian tanpa Hawa. Sekiranya tanpa Hawa, mampukah Adam mengembangkan generasi manusia sebagaimana kita lihat hari ini? Apalah gunanya ada saudara mara, adik-beradik, kawan-kawan bahkan jiran tetangga jika kita tidak boleh bergantung pada mereka. Fikirkan, apa akan jadi jika hanya kita seorang yang menyimbah air ketika rumah mengalami kebakaran? Adakah kita mampu memadamkan api daripada terus membakar dan menghanguskan rumah kita? Semestinya kita tidak akan dapat lakukannya, sebaliknya yang akan kita dapat hanyalah keletihan dan kekecewaan. Pilihan di tangan kita - buat sendiri atau minta bantuan.




Janganlah salahkan qada dan qadar Allah. Pilihan sudah diberi, selagi kita masih hidup dan bernafas bermakna kita masih ada masa untuk membuat keputusan.

Artikel lain

No comments: