MY FOLLOWERS

Thursday, January 14, 2010

Artikel - Tahun 2010 dan Isu Penggunaan Kalimah ALLAH

Kredit kepada: KOLiners, warfeel-efairy
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.......




Ini post pertama saya untuk tahun 2010 ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2010 (MASIHI) DAN 1431 HIJRAH. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini kita dipanjangkan usia untuk menambahkan amal ibadah dan dilimpahkan keberkatan dan rezeki dalam kehidupan. InsyaAllah.


Semakin meningkat tahun, semakin meningkatlah usia kita dan semakin dekatlah kita dengan kematian. Itulah hakikat yang telah sekian lama diajar oleh agama kita, Islam. Saya rasa mungkin tidak ramai yang menyedari hakikat ini dan menginsafinya tambahan lagi di akhir-akhir ini kita semakin dilalaikan dan dihanyutkan oleh hiburan-hiburan picisan serta perkara-perkara duniawi. Angkara siapa? Pihak yang memusuhi Islam? Betul juga..Kita sendiri pula, bagaimana? Ya juga.. selagi kita mengikut 'arus' yang dibawa oleh pihak-pihak ini, selagi itulah kita akan terus hanyut dan terus hanyut. Kesudahannya, kita akan semakin jauh dariNya, semakin jauh dari agamaNya dan jiwa akan semakin kosong dengan pengisiannya. Samalah seperti perut yang kosong jika tidak diisi dengan makanan yang diperlukan untuk menjana tenaga bagi menggerakkan tubuh dan seluruh anggotanya.










Sebagai pembuka tirai 2010 ini, ingin saya warwarkan di sini yang saya telah menambah satu lagi blog lain dalam koleksi senarai blog yang saya ikuti. Pengisiannya memang menarik kerana ia adalah satu pendedahan di sebalik apa yang tersurat yang kita nampak dalam kehidupan seharian kita. Sebagaimana yang saya tulis di atas, kita akhir-akhir ini sering dilalaikan oleh pihak tertentu dengan hiburan dan perkara duniawi. Apakah ia ada sebarang kaitan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di akhir zaman sebagaimana yang telah dikhabarkan dalam al-Quran dan hadis-hadis? Ingin mengetahuinya, anda perlulah layari blog ini.







Saya sangat mencadangkan pembaca blog ini atau sesiapa yang melayari blog saya ini agar membaca SEMUA post di blog ini. Lagi bagus kalau anda dapat tambah blog ini dalam koleksi blog yang anda ikuti.


Isu Sensitif - Penggunaan Kalimah ALLAH oleh orang kafir

Semenjak sekian lama, diperhatikan banyak isu yang sensitif kerap dibangkitkan dan disebar luas di media massa. Seperti mana sedia maklum, sebelum ini isu-isu seperti pembukaan UiTM untuk bukan Bumiputera, logo HALAL, serta yang menyentuh sensitiviti agama masyarakat Melayu dan Bumiputera sudah 'dimainkan'. Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan satu lagi isu sensitif sebegini - penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.

Pada pendapat saya, dalam konteks masyarakat kita sekarang ini, isu ini mempunyai pro dan kontranya. Sudah banyak dibincangkan di forum-forum di laman web dan dibentangkan di dada-dada akhbar sehingga ada di antara masyarakat kita sungguh marah sehingga bertindak keterlaluan dengan mengambil tindakan sendiri sebagai memprotes kepada pihak lain supaya tidak menggunakan perkataan ALLAH sesuka hati.







KUALA TERENGGANU 2 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang dengan kemarahan umat Islam jika penggunaan perkataan Allah oleh agama lain tidak dihalang. Katanya, apa juga alasan yang diberi, kemarahan tetap tercetus di kalangan umat Islam terhadap pihak lain yang menggunakan kalimah Allah itu.

Bagi memastikan negara kekal aman katanya, setiap orang di negara ini perlu saling mengambil kira soal sensitiviti agama dan kaum. Jelasnya, perkataan Allah adalah spesifik bagi umat Islam sahaja manakala perkataan Tuhan atau God dalam bahasa Inggeris adalah untuk penganut agama lain.

"Saya khuatir kebenaran menggunakan perkataan Allah ini akan menimbulkan kemarahan orang Islam, sebenarnya terjemahan God dalam bahasa Inggeris adalah tuhan bukan Allah dan Allah spesifik bagi orang Islam sahaja.

"Jadi kalau mereka faham, mereka akan menggunakan perkataan Tuhan bukannya Allah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Wacana Perdana: Mahasiswa Melayu - Cabaran dan Masa Depan pada Konvensyen Mahasiswa Melayu (Konmam) 2010 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT ) di sini hari ini. Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Sti Hasmah Mohd. Ali dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Dr. Mahathir mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly yang mendapat bantahan umat Islam ketika ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau juga khuatir perkataan Allah yang digunakan pihak terbabit seperti dalam bentuk tulisan pada sepanduk dan sebagainya akan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Ditanya sama ada kerajaan perlu merayu semula keputusan mahkamah berhubung perkara itu, Dr. Mahathir berkata: "Itu terpulang kepada kerajaan."
 
 
 

Keratan akhbar protes penggunaan kalimah 'Allah'
 
 
Sekiranya dirujuk dalam al-Quran, semestinya terdapat banyak ayat yang menceritakan penggunaan kalimah 'Allah' di kalangan orang-orang kafir:
 
ALLAH berfirman maksudnya:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?
[Surah Al-'Ankabuut (29): ayat 61]

ALLAH berfirman maksudnya:
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? Dan (Dia lah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: "Wahai TuhanKu! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!"
[Surah Az-Zukhruf 43: ayat 87-88] 

 ALLAH berfirman maksudnya:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).
[Surah Luqman (31): ayat.25]

 
Sekiranya anda semua di luar sana ingin mengetahui penjelasan/perbincangan lanjut berkenaan isu ini dari sudut pandangan Islam (disertakan ayat-ayat al-Quran), anda boleh klik sini atau sini.
 
Sekiranya ada sebarang pendapat, bolehlah post di ruangan komen yang disediakan.

No comments: