Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum....
KEDINGINAN awal pagi membuatkan Nur amat berat meninggalkan bantal dan
tilam empuk tetapi menyedari ada tugas menanti untuk menghantar suami
tersayang, Ali Shah, yang bertugas sebagai juruperunding ke lapangan
terbang untuk ke Singapura memaksanya bangun.
Kelancaran perjalanan ke Terminal Dua Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz
di Subang tanpa gangguan kesesakan lalu lintas memang melapangkan hati.
Namun apa yang tidak disedari Nur dan suami ialah halangan yang mereka
tempuh datang dalam bentuk imej seorang wanita tanpa wajah.
“Pengalaman menyeramkan itu terjadi pada 1998. Ketika itu Terminal Dua
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, masih beroperasi sebagai
tumpuan penerbangan ke Singapura.
“Suami saya perlu menaiki penerbangan jam 7 pagi. Dia perlu berada di
lapangan terbang dua jam lebih awal, menyebabkan kami keluar rumah
seawal jam 4.30 pagi,” katanya yang menetap di Kota Damansara,
sebelumnya dikenali sebagai Pusat Bandar Sungai Buloh.
Nur bercerita, hujan renyai-renyai ketika itu. Suaminya memandu kereta
dan mereka leka bersembang kerana jalan raya lancar. Kira-kira 10 minit
perjalanan, suaminya membelok kiri dari jalan lama Sungai Buloh - Shah
Alam ke arah Lapangan Terbang Subang,
“Persekitaran serba gelap, menyebabkan suami memasang lampu tinggi.
Tiba-tiba dari jauh lagi kami nampak kelibat seorang wanita di tepi
jalan raya. Dia berdiri di bawah sebarang pokok besar. Di sebelah
sebelah kiri pula ladang getah,” kata Nur kepada penulis, ketika
mengimbas pengalaman menyeramkan kira-kira 11 tahun lalu.
“Terdetik dalam hati, apa hal pula seorang wanita berada di kawasan gelap itu pada awal pagi. Seorang diri pula. Mata saya liar mencari motosikal atau kereta yang mungkin tersadai rosak di tepi jalan. Malangnya, tiada.
“Kelibat wanita itu nampak jelas sebab suami memasang lampu tinggi. Saya
nampak susuk tubuhnya yang kurus, berbaju kurung dan mengenakan skaf.
Tangannya melambai-lambai meminta kereta kami berhenti,” katanya.
Bagaimanapun, anehnya, baik Nur mahu pun suami seakan-akan tergamam dan
tidak berkata apa-apa. Mulut mereka seakan terkunci. Dia cuba membuka
mulut untuk bersuara tapi tidak boleh. Begitu juga Ali yang membisu dan
terus memandu.
Mereka tergamam dan Nur terus mencapai tangan suami yang sedari tadi
memegang tombol gear untuk meredakan debaran dan mencari kekuatan.
“Sebaik melintasinya, saya memberanikan diri cuba mengamati jelmaan
wanita itu. Alangkah terkejut kerana di celah hayunan bilah pengelap
cermin, saya nampak tangannya yang berwarna putih pucat, tetapi tidak
ada muka! Mukanya cuma berwarna kelabu gelap tanpa mata, hidung atau
mulut.
“Ketika itu Tuhan saja tahu perasaan ini. Meremang bulu roma dibuatnya
kerana saya syak itu sememangnya hantu. Dalam hati terus membaca ayat
Kursi dan biarpun cuba membuka mulut, tetapi masih tidak boleh,”
katanya.
Nur memandang suaminya, tetapi Ali memandu seperti biasa, juga tidak
bersuara. Kira-kira lima minit selepas itu, apabila tiba di restoran
makanan laut bertentangan landasan kapal terbang, barulah mereka boleh
bersuara.
“Abang nampak tak apa saya nampak tadi?” soal Nur kepada suaminya.
“Nampak. Jangan kata apa-apa. Lupakan saja.” Akur dengan permintaan
suaminya, Nur tidak berkata apa-apa sehinggalah tiba di Terminal Dua.
“Sudah, awak jangan fikirkan sangat apa kita nampak tadi,” kata Ali sambil meletakkan kereta di tepi jalan.
“Tapi itu hantukan? Nampak tak perempuan itu tak ada muka. Tangannya
pucat lesi...” kata Nur yang tidak berpuas hati dengan reaksi suaminya.
“Tahu, tahu. Saya pun perasan benda itu. Sudah jangan cakap apa-apa.
Awak balik ikut Lebuh Raya Persekutuan. Jangan ikut jalan tadi, bahaya!”
kata Ali sambil keluar dan mengambil begnya di tempat duduk penumpang
di belakang.
Selepas kelibat suaminya hilang ke dalam terminal, Nur memandu keretanya
menghala ke arah Lebuh Raya Persekutuan. Hatinya masih tidak tenteram
apabila mengingati peristiwa menyeramkan itu.
Nama pun misteri dan naluri ingin tahu dan melihat persekitaran kawasan
berkenaan, menyebabkan Nur memutuskan untuk kembali ke kawasan itu. Dia
menunggu sehingga jam 11 pagi dan meminta kakak saudaranya menemani.
Nur kembali menelusuri jalan raya itu dan keadaan cerah itu membolehkan
dia melihat dengan jelas tiga ‘petunjuk’ utamanya - ladang getah di
sebelah kiri, sebatang pokok dan selekoh agak tajam di situ.
Pokok itu adalah pokok pulai yang agak besar betul-betul terletak di tepi jalan raya.
“Melihatkan pokok itu dan selekoh tajam itu, terlintas di hati
mungkinkah wanita itu mangsa kemalangan yang berlaku di situ. Mungkin
kerana itulah dia melambai supaya kami memberhentikan kereta,” kata Nur
membuat tafsiran sendiri.
Kini, jalan raya itu sudah dilebarkan bagi memudahkan perjalanan terus
ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah berkenaan. Tiada lagi selekoh
tajam mahu pun pokok pulai yang pernah menjadi sebahagian daripada
identiti jalan raya berkenaan. Namun tidak pula dipastikan jika kelibat
wanita tanpa muka itu juga sudah lenyap bersama selekoh dan pokok pulai
berkenaan.
No comments:
Post a Comment