MY FOLLOWERS

Wednesday, May 22, 2013

Kesihatan - Penyakit Gigi

Kredit kepada: Syok.org
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.........





Tahukah anda penyakit manakah yang paling luas tersebar di seluruh dunia? Kebanyakan daripada kita akan menjawab kanser, diabetes, hipertensi, penyakit jantung dan strok, tetapi jawapan sebenarnya ialah karies gigi, atau lebih dikenali sebagai kereputan gigi, kaviti atau gigi berlubang.

Walaupun terdapat penurunan yang ketara dalam kes karies gigi dalam beberapa dekad ini kerana amalan kebersihan mulut yang lebih baik, ia masih lagi merupakan masalah besar.

Dr. Carlos Sabrosa, Profesor Madya di Sekolah Pergigian State University of Rio de Janeiro yang juga merupakan seorang doktor pergigian yang terkenal dengan kaedah rawatan pemulihan dan pembentukan semula pergigiannya yang termaju, merupakan penceramah undangan yang didatangkan oleh 3M ESPE, Bahagian Pergigian dari 3M Malaysia bersempena Konvensyen Saintifik MDA/FDI ke-20. Beliau berkongsi masalah dihadapi dalam menilai, menguruskan dan mencegah karies gigi serta menyentuh mengenai sebahagian daripada kemajuan-kemajuan terbaru dalam bidang pergigian.

“Apa yang menghairankan, ramai orang masih tidak mengetahui bahawa karies gigi merupakan penyakit berjangkit. Ia berpunca daripada bakteria dan menyebabkan penyahmineralan dan kerosakan tisu keras seperti enamel, dentin dan simentum akibat penapaian bakteria ke atas cebisan makanan pada permukaan gigi.”

“Jika proses penyahmineralan pantas daripada faktor pemineralan semula air liur, kalsium dan ubat gigi berfluorida, tisu keras tersebut akan musnah dan karies gigi terbentuk. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kesakitan, membawa kepada jangkitan, kehilangan gigi dan selulitis iaitu jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh bakteria,” kata Dr Sabrosa.

“Majoriti pengguna tidak tahu tentang kemajuan dalam bidang pergigian dan tidak berusaha mendapatkan rawatan bagi masalah gigi yang bukan sahaja menyakitkan malah mencacatkan dari segi fizikal dan rupa. Ini boleh memberi kesan negatif terhadap harga diri pesakit. Walhal ia boleh ditangani. Rawatan bukan sahaja boleh memperbaiki wajah seseorang tetapi juga memberi keyakinan diri serta hidup yang bebas daripada kesakitan,” jelas beliau.

Bagi kebanyakan kita, kebimbangan terhadap sakit gigi atau kemungkinan gigi terpaksa ditampal atau dicabut serta kehilangan rupa paras yang cantik sudah cukup untuk membuatkan kita memberus atau memflos dua kali sehari dan pergi berjumpa doktor gigi untuk penskaleran.

Jadi mengapakah sesetengah individu lebih mudah mendapat karies gigi berbanding orang lain?

“Gigi pada asasnya adalah mineral yang sentiasa mengalami proses penyahmineralan dan pemineralan semula oleh air liur. Inidividu yang mempunyai mulut kering – suatu keadaan di mana kurang air liur dihasilkan atau kelenjar air liur musnah akibat terapi radiasi – berisiko tinggi,” ujarnya.

“Kejadian karies gigi memerlukan permukaan gigi, bakteria yang spesifik yang menghasilkan karies dalam kitaran spesifik, karbohidrat yang mampu menapai dan tempoh yang mencukupi. Bentuk gigi, tabiat kebersihan gigi seseorang individu, diet dan keupayaan penimbalan air liur mereka menentukan sama ada individu tersebut mudah mendapat karies gigi,” jelas Dr Sabrosa.

Kepelbagaian makanan segera masa yang diproses dan tinggi kandungan gula yang kini mudah didapati langsung tidak membantu dalam menjaga kesihatan mulut.

“Minuman ringan mempunyai pH yang rendah dan kandungan sukrosa yang tinggi, manakala minuman tenaga pula menyediakan persekitaran yang ideal untuk penyahmineralan. Penyahmineralan berlaku di dalam persekitaran keadaan mulut yang mempunyai pH di bawah 5.5 (berasid). Minuman ringan dan minuman tenaga biasanya mempunyai pH 2.5 hingga 3 (sangat berasid). Jadi, sebagai langkah awal mengurangkan risiko karies gigi, jauhilah minuman ringan,” katanya.

Walaupun ubat gigi berfluorida boleh membantu mereka yang tidak mudah mendapat karies gigi, mereka yang berisiko tinggi perlulah berbincang dengan doktor gigi mengenai ubat gigi anti-kaviti yang mempunyai kandungan fluorida efektif berbanding ubat gigi biasa. Kepekatan fluorida dan tri-kalsium fosfat dalam produk seperti 3M ESPE’s Clinpro™ Tooth Creme. Ubat gigi anti-kaviti natrium fluorida mudah diserap oleh gigi dan membantu mencegah proses penyahmineralan dan pada masa yang sama membantu proses pemineralan semula.

“Produk seperti 3M ESPE Clinpro Tooth Creme boleh digunakan bagi menggantikan ubat gigi biasa tetapi ia perlu dipreskripsikan oleh doktor gigi. Individu yang mempunyai kaviti, mulut kering, yang memilih gaya hidup atau diet yang membawa risiko karies gigi perlu berbincang dengan doktor gigi mereka mengenai langkah pencegahan seperti ini,” kata Dr Sabrosa.

“Dalam pergigian, seperti juga sebgaimana dalam cabang perubatan yang lain, pencegahan adalah pilihan terbaik. Apabila berdepan dengan masalah, segera dapatkan rawatan, lebih awal lebih baik. Pencabutan gigi merupakan pilihan terakhir dan jika perlu, pelbagai teknik baru telah diperkenalkan. Doktor gigi kini mampu menawarkan pelbagai penyelesaian kepada masalah pergigian – pembentukan semula, sebagai contoh – yang hanya satu dekad lalu tiada rawatan. Kemajuan dalam teknik dan bahan dalam pergigian sememangnya menakjubkan,” jelasnya.

“Berbincanglah dengan doktor gigi anda mengenai rawatan yang sesuai, buat sedikit kajian sendiri dan tetapkan pencegahan karies gigi sebagai matlamat utama,” katanya sebagai kesimpulan.

Dr Carlos Sabrosa merupakan Profesor Madya di Sekolah Pergigian State University of Rio de Janeiro. Beliau menerima ijazah DDS pada tahun 1992 daripada Sekolah Pergigian State University of Rio de Janeiro dan Clinical Advanced Graduate Studies (CAGS) dalam prostodontik daripada Sekolah Perubatan Pergigian Boston University Goldman pada tahun 1996. Dr Sabrosa juga menerima MSD dan DScD dalam prostodontik/biomaterial daripada Sekolah Perubatan Pergigian Boston University Goldman pada tahun 1997 dan 1999. Beliau menerima Anugerah Klinikal Steven Gordon Research pada tahun 1995 dan 1996 Anugerah Bantuan Tylman Research pada tahun 1993 daripada American College of Prothodontics. Beliau menguruskan sebuah klinik swasta di Leblon, Rio de Janeiro, Brazil yang menumpukan kepada pemulihan mulut dan implantologi.



SUMBER asal

No comments: