MY FOLLOWERS

Friday, August 24, 2012

Artikel - Pakaian Mencerminkan Keperibadian

Kredit kepada: KOL
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum....

 
Seringkali kita mendengar orang berkata bahawa pakaian mencerminkan keperibadian kita tetapi kita seringkali alpa, kita terlalu lalai dan kita tidak pernah ambil peduli tentang pakaian yang dipakai untuk 'mengadap'. Kita lupa akan hakikat siapa diri kita. Seringkali kita mengadap Allah Subhana Wa Taala dengan pakaian yang kita pakai hampir seharian. Pakaian tersebut kadang-kala tidak diketahui sejauh mana kebersihan dan kesuciannya. Bayangkan seharian kita memakainya ke hulu, ke hilir dan kadangkala pakaian tersebut menyapu jalan raya kerana terlalu labuh mencecah lantai. Jadilah kita Majlis Perbandaran yang tidak bertauliah. Jauh bezanya dengan keadaan kita ketika menghadiri majlis-majlis keramaian atau kenduri. Dengan keharumannya dan pakaiannya yang tanpa sekelumit pun ada kesan kotoran degil.

Berbeza keadaannya untuk kita mengadap Allah Subhana Wa Taala. Bahkan kita juga rela memakai telekung yang dipenuhi bintik-bintik hitam umpama jeragat di muka dengan 'keharuman' yang tersendiri. Hilang keperihatinan tentang kebersihan sebagaimana yang kita laung-laungkan. Sedangkan Islam amat menitik beratkan hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan dan kesucian.

Manakala ada juga di kalangan kita yang berhias sakan apabila ber'dating', tetapi bila masa mengadap Allah Subhana Wa Taala hanya berkain pelikat tanpa berbaju pula. Tidak timbul pun sedikit rasa malu di hati kita bila berpakaian demikian ketika sembahyang. Sembahyang seolah-olah menjadi perkara ringan dalam hidup kita. Sedangkan di zaman Rasulullah Salawatu Alai Wasalam ia merupakan satu tanggungjawab yang besar dan ada di kalangan sahabat yang gementar tubuh mereka apabila ingin menunaikan tanggungjawab ini. Jauh berbeza dengan kita hari ini yang hanya bersembahyang mi maggie, dua minit dah siap.

Oleh itu, renungilah diri kita, ibadat kita demi kebahagiaan di sana. ..."Dunia ini adalah umpama tanam-tanaman untuk akhirat"...

No comments: