MY FOLLOWERS

Monday, March 7, 2011

Paranormal - Misteri Hutan Lata Kinjang

Credits to: KOL
Gambar ihsan: Yahoo Images


Assalamualaikum...

Hutan Lipur Lata Kinjang yang dikunjungi ramai saban minggu sebenarnya menyimpan cerita misteri yang sangat unik dan penuh legenda yang hanya diketahui oleh segelintir masyarakat setempat.

Menurut sejarahnya,  tempat ini dinamakan Lata Kinjang kerana di kawasan itu terdapat banyak kijang. Orang Inggeris yang pernah sampai ke tempat itu pada zaman silam kerana memburu kijang telah tersalah menyebutnya sebagai 'kinjang'. Nama Kinjang ini akhirnya kekal sehingga sekarang.

Ketua Kampung Lata Kinjang, Tok Batin Taha Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Encik Haslam Abdullah ketika ditemui turut mengesahkan Lata Kinjang banyak menyimpan kisah misteri yang sangat unik.


"Bila waktu lapang saya bercerita kepada anak cucu untuk mendengar kisah Lata Kinjang," kata Tok Batin Husin yang menyebut lata berkenaan telah diterokai oleh empat keturunan bermula daripada datuknya, Allahyarham Mat Yakin.

Setakat ini belum ada usaha-usaha untuk membukukan cerita-cerita misteri dan sejarah Lata Kinjang. Ini bermakna, apabila golongan orang-orang tua meninggal dunia, sekaligus akan lenyaplah cerita legenda Lata Kinjang untuk diketahui oleh generasi muda.

Tok Batin Husin berkata, di sekitar lata itu terdapat beberapa kesan yang ada kaitannya dengan sejarah kemunculan Lata Kinjang sejak ditemui oleh manusia beratus tahun dahulu.

Dia sendiri mengetahui sejarah lata itu daripada cerita mulut yang didengari daripada datuknya Allahyarham Mat Yakin dan bapanya Allahyarham Taha. Beliau berharap ada di kalangan sembilan orang anaknya dan 12 orang cucunya akan menjadi penyambung cerita mengenai sejarah Lata Kinjang kepada sesiapa yang ingin mendengar kisahnya.

Encik Haslam pula menyebut, di tingkat tiga lata itu terdapat bekas kesan tapak kaki Kijang yang melarikan diri di atas kawasan lata setelah dikejar oleh Harimau Akar yang telah disumpah oleh kelembai menjadi batu. Kesan tapak kaki Kijang dan batu besar dari lembaga Harimau Akar masih boleh dilihat tersergam di tingkat tiga lata berkenaan.


Di kawasan lata itu juga terdapat kesan kubur anak kelembai yang terbaring memanjang dalam lubang kubur yang telah menjadi batu. Bekas tapak kaki kelembai termasuk lesung menumbuk padi yang telah disumpah menjadi batu.

Beliau turut menceritakan kisah misteri seorang wanita cantik yang dipercayai sebagai 'Puteri Bunian' yang pernah menjelma di kawasan lata itu pada masa silam sehingga menarik perhatian seorang hartawan Inggeris ketika itu, yang bercita-cita ingin mengahwini puteri itu.

Menurut ceritanya, hartawan itu yang secara kebetulan berkunjung ke Lata Kinjang dalam tahun 1900, telah diberitahu oleh masyarakat Orang Asli di situ mengenai penjelmaan seorang wanita cantikdi kawasan lata terutama pada musim bulan mengambang.

Oleh kerana terlalu ingin melihat wajah puteri bunian itu, hartawan Inggeris itu telah membina sebuah banglo di tingkat satu lata dan membina tangga batu dari bawah hingga ke puncak lata itu. Beliau membina banglo itu sebagai tempat penginapannya untuk melihat secara dekat wajah puteri bunian yang dikatakan sering menampakkan dirinya apabila menjelang senja.


Tetapi setelah menunggu berbulan-bulan di situ, hajat hartawan Inggeris itu tidak kesampaian lalu dia merasa kecewa dan terus pulang ke negara asalnya di Eropah dan telah meninggal dunia beberapa bulan kemudian. Banglo yang dibina dengan kos yang mahal telah musnah dan mengalami kerosakan sedikit demi sedikit dan sekarang hanya tinggal rangkanya sahaja.

Encik Haslam memberitahu, 'puteri bunian' muncul di tengah-tengah lata untuk mandi bersama pakaian yang dipakainya dan berdiri tegak di atas batu lata dengan rambutnya yang panjang mengurai melepasi punggung. Puteri bunian itu yang disifatkan sebagai penunggu lata hanya menunjukkan dirinya beberapa minit sahaja kerana dia tidak mahu identitinya dikenali oleh manusia biasa.

Kini legenda Puteri Bunian itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah sahaja kerana dia tidak muncul lagi di kawasan lata tersebut. Mungkin disebabkan lata tersebut telah menjadi tumpuan ramai dan dia enggan menjelmakan dirinya. Di kawasan lata itu juga terdapat serumpun pohon buluh perindu yang hanya boleh diambil oleh orang-orang tertentu sahaja. Allahyarham Seniman Agung P. Ramlee dikatakan memiliki Buluh Perindu yang dikatakan diambil dari Lata Kinjang untuk ubat memerdukan suaranya.

Encik Haslam juga memberitahu di kawasan lata itu juga terdapat banyak kambing gurun tetapi sukar diperangkap kerana ia sangat lincah dan pandai menghilangkan diri. Beliau berkata semua cerita misteri yang berlaku di kawasan lata itu menjadi cerita lisan yang bersambung dari mulut ke mulut sahaja.


Dipetik dari Melangkah Ke Alam Misteri's Clans

3 comments:

Unknown said...

baru ku tau, akak suka baca citer misteri dolu2 camni :)

-Ain-Dak In- said...

assalamualaikum..
hai,terima kasih datang blog saya..
hehehehehe...

saya follow awak.hehehe,
nwy,lata kijang ni kat ne yek??
huhuhuhu...
tetibe rasa termalu plak..hik..hik..~

-anidaothman- said...

owhhh cam gini citer dia
best jugak dengaq citer lagenda camnie....


salam kenaL..terima kasih sudi tinggaLkan kOmen di Bloq saya...
teharu rasa...=)

nnti share buku "LA TAHZAN" tu nak tahu jugak info dia..