MY FOLLOWERS

Friday, March 25, 2011

Paranormal - Manusia Boleh Lihat Bunian

Credits to: KOL
Gambar ihsan: Yahoo Images, Family


Assalamualaikum...

Umat Islam tidak digalakkan berkawan dengan makhluk ghaib kerana tidak diketahui sama ada makhluk tersebut beriman atau tidak.

Di sebalik kehidupan dunia nyata yang kita tempuhi sehari-hari, ada lagi kehidupan lain yang sama seperti manusia tetapi terselindung dan tidak dapat disingkap oleh pancaindera biasa. Penghuni alam ghaib itu dikatakan memiliki budaya setempat seperti bermain kompang dan berzanji, memiliki wajah dan fizikal yang seperti manusia. Mereka juga hidup bermasyarakat, mendirikan rumah dan penempatan sebagaimana manusia malah turut mengerjakan haji dengan menaiki kenderaan juga seperti manusia.


"Apa yang membezakan antara orang bunian dengan manusia ialah jika berpakaian, semuanya mesti satu warna. Dari baju hinggalah ke seluar sama warna." kata Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah di Kuang, Selangor, Dr Jahid Sidik.

Dr Jahid yang juga bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, selain warna pakaian, berdasarkan pengalaman dan kes yang dirujuk kepadanya, semua aktiviti bunian sama seperti manusia.

"Cuma manusia tidak nampak mereka. Dalam al-Quran juga menyatakan manusia tidak dapat melihat makhluk ghaib seperti jin, syaitan dan bunian kerana mereka tidak memiliki jasad. Manusia memiliki empat unsur iaitu api, air, tanah dan angin tetapi bunian menyamai jin hanya memiliki unsur api dan angin yang menyebabkan mereka tidak berjasad." katanya.
Beliau yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang perubatan Islam berkata, sehingga kini ada dua teori dikemukakan mengenai kewujudan dan asal-usul orang bunian.


"Mengikut cerita orang lama termasuk guru saya, asal-usul bunian ialah apabila manusia berkahwin dengan jin. Sememangnya dalam kitab fekah ada perbincangan mengenai perkahwinan antara jin dan manusia."

"Berdasarkan pengalaman yang dirujuk kepada saya membuktikan perkahwinan antara jin dan manusia memang berlaku dalam kehidupan ini." katanya yang turut menjelaskan bahawa perkahwinan sebegitu menyebabkan bunian memiliki rupa dan budaya seperti manusia tetapi mereka memiliki unsur api dan angin menyamai jin.

Satu teori lain mengenai kewujudan bunian ialah mereka pada asalnya manusia yang alim dan soleh, taat kepada perintah Allah tetapi akibat sebab-sebab tertentu, mereka terlalai dan melakukan kejahatan.


"Akibat malu untuk berhadapan dengan manusia, mereka berdoa kepada Allah dengan memohon supaya kewujudan mereka tidak dilihat oleh manusia. Ada pula versi mengatakan kejadian ini berlaku pada zaman para sahabat tetapi ada pula yang mengatakan ia berlaku sebelum zaman Rasulullah dan nabi-nabi terdahulu." katanya.

Beliau berkata, manusia biasa tidak dapat melihat bunian atau jin tetapi keadaan itu boleh berlaku dalam beberapa keadaan tertentu, atas izin Allah. Antaranya apabila ada jin atau bunian yang menumpang dalam badan seseorang individu itu tanpa disedarinya.

"Ada orang berkata, bayi dapat melihat bunian atau jin kerana mereka masih suci. Itu tidak benar, sebenarnya bayi dapat melihat perkara ghaib kerana ada bunian atau jin yang menumpang di dalam badannya."

"Ada satu kes, seorang bapa mendakwa anak kecilnya istimewa (psikik) kerana dapat melihat benda ghaib. Selepas dibawa kepada saya, didapati dalam badannya ada jin dan selepas makhluk itu dikeluarkan, anak kecil itu kembali normal." katanya.

Selain itu, manusia mampu melihat bunian jika makhluk itu menzahirkan jasadnya. Kebiasaannya kemampuan bunian menunjukkan fizikal dirinya berlaku apabila bunian itu mempelajari ilmu tertentu. Sebaliknya manusia juga mampu melihat mereka jika mempelajari ilmu tertentu.


Dr Jahid menceritakan beberapa kes bunian yang dirujuk kepadanya sepanjang melibatkan diri dalam bidang perubatan Islam itu.

"Satu kes di Kota Tinggi, Johor. Dua pemuda masuk ke dalam hutan untuk mencari rotan tetapi seorang daripada mereka hilang ketika hari hampir malam."

"Operasi mencari dijalankan tetapi lelaki itu tetap tidak dijumpai sehinggakan ahli keluarga dan penduduk kampung menganggap pemuda itu sudah meninggal dunia akibat dibaham binatang buas. Masa berlalu dan kehilangan pemuda itu semakin kurang dibualkan penduduk dan ahli keluarga."

"Tiba-tiba, kira-kira lebih setahun selepas kehilangannya, pemuda itu kembali ke rumah keluarganya dan membawa bersama anak dan isterinya." katanya.

Pemuda itu menceritakan, pada hari kehilangannya, dia tersesat dalam hutan dan apabila menjelang malam, ketika mencari jalan keluar, dia terjumpa sebuah rumah. Selepas berehat semalaman, pemuda itu meminta izin untuk pulang tetapi disuruh pemilik rumah untuk tinggal bersama mereka dan berkahwin dengan anak perempuannya.


Selepas setahun, lelaki itu diizinkan menjenguk keluarganya di alam manusia tetapi selepas itu, dia diberi pilihan oleh mentuanya sama ada ingin terus berada di alam bunian atau bersama manusia. Lelaki itu memilih untuk bersama isteri dan anaknya di alam bunian.

Kes kedua diceritakan Dr Jahid berlaku pada tahun-tahn terakhir jemaah haji menggunakan kapal laut sebagai pengangkutan. Dalam sebuah kabin, ditempatkan tiga lelaki dan selepas berkawan, mereka saling bertukar alamat apabila ingin berpisah.

"Apabila pulang, seorang daripada mereka yang tinggal di Kedahmengambil keputusan melawat kenalannya di Muar, Johor. Sebaik sampai di Muar, dia menunjukkan alamat kepada pemandu teksi yang berasa pelik kerana tiada kampung di kawasan itu."

"Apabila sampai, didapati memang tiada penempatan di situ. Selepas berjalan masuk ke dalam sedikit, barulah dia menjumpai kampung dan rumah kenalannya. Tetapi selepas beberapa ketika berada di tangga rumah kenalannya itu, dia ditolak oleh seorang pemuda dan sebaik terjatuh, dia melihat rumah dan kampung ghaib sebaliknya diganti dengan semak belukar." katanya.


Kes ketiga pula lebih menyedihkan. Seorang gadis meminta pertolongan Dr Jahid untuk memisahkannya daripada suaminya lelaki bunian. Beberapa tahun sebelum perkahwinan mereka, lelaki itu mendatangi gadis itu dan mengugut supaya mengahwininya atau gadis itu akan mengalami sakit misteri.

Gadis itu enggan menyebabkan dia diserang sakit misteri selama dua tahun. Akibat tidak tahan menanggung kesakitan sehingga menyebabkannya lumpuh, gadis itu bersetuju berkahwin dengan lelaki bunian berkenaan. Bantuan yang diminta daripada Dr Jahid bagaimanapun dibatalkan gadis itu, dipercayai selepas diugut suami buniannya dan sehingga kini tidak diketahui bagaimana nasib wanita itu.


Oleh: Nasron Sira Rahim

3 comments:

toyolkiut said...

blm pnh bertemu dngn bunian..

BLADE EDGE said...

saya pun..

Nurun said...

ok dtg sini blk.