MY FOLLOWERS

Monday, March 7, 2011

Paranormal - Atas Kepala!!

Credits to: KOL
Gambar ihsan: Yahoo Images


Assalamualaikum....

Cerita ini disampaikan oleh kawan saya, berlaku pada saudaranya yang tinggal di kawasan Felda (tidak ingat Felda mana).


Satu malam, lebih kurang pukul 1 pagi, saudara kawan ini (kita panggil Ali sahaja) baru sahaja pulang dari rumah kawannya di bandar yang berhampiran. Dalam perjalanan pulangnya, Ali terpaksa melalui kawasan ladang kelapa sawit yang besar dengan menaiki motorsikalnya berseorangan. Memang dia merasa seram sejuk juga sebab ramai yang mengatakan ladang kelapa sawit yang dilaluinya agak ‘keras’ tempatnya. Bila tengok kiri kanan tiada apa-apa yang pelik. Jadi, lega sikit….

Sampai di satu simpang, ada sebuah van putih mengekori dalam jarak yang memang dekat sangat. Asyik ikut dia dari tadi, tidak pula mahu memotong. 

Van itu terus mengikut Ali sampailah dia tiba di kawasan perumahan Felda tempat dia tinggal. Bila Ali berhenti van itu pun turut berhenti.. Ali pun pergilah kepada pemandu van itu, sebab dia hendak bertanya kenapa pemandu van mengikutnya dari tadi. Dia tengok dalam van, ada satu keluarga dengan muka setiap orang putih macam tidak ada darah, pucat lesi macam baru lepas nampak hantu!

Ali pun bertanyalah pada pemandu van itu kenapa ikut dia. Si bapa dalam keluarga tu, merangkap pemandu van pun kata, "Masa di simpang tadi, kami nampak ada perempuan berpakaian serba putih dengan rambut panjang terapung atas kepala engkau. Benda itu ada atas kepala engkau, dekat nak masuk kawasan perumahan ni baru hilang. Kami ikut sebab takut-takut benda tu nak buat sesuatu kat engkau...."

Selepas mendengar kata-kata pemandu van tadi, Ali seperti tidak terkata. Dia balik rumah dan terus demam selama seminggu!

Paranormal - Misteri Hutan Lata Kinjang

Credits to: KOL
Gambar ihsan: Yahoo Images


Assalamualaikum...

Hutan Lipur Lata Kinjang yang dikunjungi ramai saban minggu sebenarnya menyimpan cerita misteri yang sangat unik dan penuh legenda yang hanya diketahui oleh segelintir masyarakat setempat.

Menurut sejarahnya,  tempat ini dinamakan Lata Kinjang kerana di kawasan itu terdapat banyak kijang. Orang Inggeris yang pernah sampai ke tempat itu pada zaman silam kerana memburu kijang telah tersalah menyebutnya sebagai 'kinjang'. Nama Kinjang ini akhirnya kekal sehingga sekarang.

Ketua Kampung Lata Kinjang, Tok Batin Taha Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Encik Haslam Abdullah ketika ditemui turut mengesahkan Lata Kinjang banyak menyimpan kisah misteri yang sangat unik.


"Bila waktu lapang saya bercerita kepada anak cucu untuk mendengar kisah Lata Kinjang," kata Tok Batin Husin yang menyebut lata berkenaan telah diterokai oleh empat keturunan bermula daripada datuknya, Allahyarham Mat Yakin.

Setakat ini belum ada usaha-usaha untuk membukukan cerita-cerita misteri dan sejarah Lata Kinjang. Ini bermakna, apabila golongan orang-orang tua meninggal dunia, sekaligus akan lenyaplah cerita legenda Lata Kinjang untuk diketahui oleh generasi muda.

Tok Batin Husin berkata, di sekitar lata itu terdapat beberapa kesan yang ada kaitannya dengan sejarah kemunculan Lata Kinjang sejak ditemui oleh manusia beratus tahun dahulu.

Dia sendiri mengetahui sejarah lata itu daripada cerita mulut yang didengari daripada datuknya Allahyarham Mat Yakin dan bapanya Allahyarham Taha. Beliau berharap ada di kalangan sembilan orang anaknya dan 12 orang cucunya akan menjadi penyambung cerita mengenai sejarah Lata Kinjang kepada sesiapa yang ingin mendengar kisahnya.

Encik Haslam pula menyebut, di tingkat tiga lata itu terdapat bekas kesan tapak kaki Kijang yang melarikan diri di atas kawasan lata setelah dikejar oleh Harimau Akar yang telah disumpah oleh kelembai menjadi batu. Kesan tapak kaki Kijang dan batu besar dari lembaga Harimau Akar masih boleh dilihat tersergam di tingkat tiga lata berkenaan.


Di kawasan lata itu juga terdapat kesan kubur anak kelembai yang terbaring memanjang dalam lubang kubur yang telah menjadi batu. Bekas tapak kaki kelembai termasuk lesung menumbuk padi yang telah disumpah menjadi batu.

Beliau turut menceritakan kisah misteri seorang wanita cantik yang dipercayai sebagai 'Puteri Bunian' yang pernah menjelma di kawasan lata itu pada masa silam sehingga menarik perhatian seorang hartawan Inggeris ketika itu, yang bercita-cita ingin mengahwini puteri itu.

Menurut ceritanya, hartawan itu yang secara kebetulan berkunjung ke Lata Kinjang dalam tahun 1900, telah diberitahu oleh masyarakat Orang Asli di situ mengenai penjelmaan seorang wanita cantikdi kawasan lata terutama pada musim bulan mengambang.

Oleh kerana terlalu ingin melihat wajah puteri bunian itu, hartawan Inggeris itu telah membina sebuah banglo di tingkat satu lata dan membina tangga batu dari bawah hingga ke puncak lata itu. Beliau membina banglo itu sebagai tempat penginapannya untuk melihat secara dekat wajah puteri bunian yang dikatakan sering menampakkan dirinya apabila menjelang senja.


Tetapi setelah menunggu berbulan-bulan di situ, hajat hartawan Inggeris itu tidak kesampaian lalu dia merasa kecewa dan terus pulang ke negara asalnya di Eropah dan telah meninggal dunia beberapa bulan kemudian. Banglo yang dibina dengan kos yang mahal telah musnah dan mengalami kerosakan sedikit demi sedikit dan sekarang hanya tinggal rangkanya sahaja.

Encik Haslam memberitahu, 'puteri bunian' muncul di tengah-tengah lata untuk mandi bersama pakaian yang dipakainya dan berdiri tegak di atas batu lata dengan rambutnya yang panjang mengurai melepasi punggung. Puteri bunian itu yang disifatkan sebagai penunggu lata hanya menunjukkan dirinya beberapa minit sahaja kerana dia tidak mahu identitinya dikenali oleh manusia biasa.

Kini legenda Puteri Bunian itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah sahaja kerana dia tidak muncul lagi di kawasan lata tersebut. Mungkin disebabkan lata tersebut telah menjadi tumpuan ramai dan dia enggan menjelmakan dirinya. Di kawasan lata itu juga terdapat serumpun pohon buluh perindu yang hanya boleh diambil oleh orang-orang tertentu sahaja. Allahyarham Seniman Agung P. Ramlee dikatakan memiliki Buluh Perindu yang dikatakan diambil dari Lata Kinjang untuk ubat memerdukan suaranya.

Encik Haslam juga memberitahu di kawasan lata itu juga terdapat banyak kambing gurun tetapi sukar diperangkap kerana ia sangat lincah dan pandai menghilangkan diri. Beliau berkata semua cerita misteri yang berlaku di kawasan lata itu menjadi cerita lisan yang bersambung dari mulut ke mulut sahaja.


Dipetik dari Melangkah Ke Alam Misteri's Clans

Friday, March 4, 2011

Artikel - Nafsu Yang Tidak Pernah Puas (18sx)

Credits to: KOL
Gambar ihsan: KOL


Assalamualaikum...

Pada pendapat anda, bagaimanakah yang dikatakan nafsu itu tidak pernah puas? Adakah seperti dalam artikel ini?



Sememangnya nafsu manusia itu tidak pernah puas. Disebabkan sifat nafsu inilah, Allah menurunkan panduan agar kita dapat mendidik diri untuk mengawal nafsu dan kehendak diri menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah. Jika nafsu mengatasi akal, buruk padahnya. Renung-renungkan...

Wednesday, March 2, 2011

Artikel - Nikah Khitbah: Satu Alternatif Mencegah Zina

Credits to: Syok.Org
Gambar ihsan: Family


Assalamualaikum...


Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu "Taysir az Ziwaj" dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.

Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan" terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.
 

Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah s.w.t. Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.

Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain. Sedangkan Islam menggalakkan perkahwinan (akad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua umat manusia.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah s.w.t. Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui."

- Surah an-Nur: ayat 32



Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh):
  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan

Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu:
  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad (Ijab Qabul)

Cuma bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh):
  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga


Justeru itu, buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak) dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, belajar bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.

Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.

Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali ke pangkuan keluarga, justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.

Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya).

Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.


Perbahasan Hukum

Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Aishah r.ha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima' \ bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material). Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan:
  • Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .
  • Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan), jima' (bersetubuh), isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.

Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya.



Tegasnya saya sebutkan di sini, terutama kepada pihak berkuasa agama, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah s.w.t. itulah yang paling ditakuti.


SUMBER

Tuesday, March 1, 2011

Sekadar Luahan - Pelajaran Paling Diminati dan Dibenci di Sekolah...Sebabnya???

Credits to: -
Gambar ihsan: Family


Assalamualaikum...


Setiap orang pasti ada subjek-subjek yang digemari ketika di zaman sekolah. Semestinya, bila ada ujian atau peperiksaan subjek berkenaan, ia menjadi satu peluang untuk lonjakkan sebahagian pencapaian dalam akademik. Bagi saya, subjek Matematik, Pendidikan Islam dan Lukisan Kejuruteraan adalah pilihan. Kebolehan melukis yang saya miliki menjadi pendorong.

Saya yakin setiap orang memiliki kelebihan yang berbeza dan ia terdapat dalam minda masing-masing yang telah dikurniakanNya. Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sebab itulah jika diperhatikan, pencapaian setiap seorang individu tidak sama.

Oleh kerana banyaknya subjek yang perlu dipelajari di sekolah, timbul pula perasaan tidak menyukai beberapa subjek lain. Di sekolah, saya cukup tidak suka pada subjek Pendidikan Muzik, Sejarah dan Kimia. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya tidak sukakan Pendidikan Muzik, tetapi lain pula bagi subjek Sejarah dan Kimia. Sejarah memerlukan pelajarnya bukan sekadar memahami banyak fakta. Bagi saya, ini sesuatu yang sukar kerana perlu membacanya seperti membaca cerita yang panjang. Leceh! Pemikiran pula perlu kritis. Pening saya dibuatnya..


Kimia pula tidak seperti Matematik walaupun ada formula seperti Matematik, namun yang susahnya ialah kaedah formula untuk dapatkan campuran yang betul hasil sesuatu tindakbalas kimia itu. Kalau salah tindakbalas lebih-lebih lagi bila membuat eksperimen, lagilah haru biru..huhuhu... Lagi saya pening! Kalau Matematik, perlu faham bagaimana untuk selesaikan formula sahaja. Hanya nombor dan operasi yang terlibat serta kaedah yang digunakan. Tidak perlu praktikal atau eksperimen seperti Kimia.

Bagi pembaca sekalian, apa subjek kegemaran anda dan kenapa?

Hiburan - Siri TV: The Adventures of Merlin

Kredit kepada: Wikipedia, Yahoo
Gambar ihsan: Yahoo Images


Assalamualaikum...


Siri televisyen The Adventures of Merlin adalah siri fantasi pengembaraan berdasarkan legenda zaman Raja Arthur. Dihasilkan oleh sebuah syarikat produksi bebas, Shine Limited dan ditayangkan di saluran BBC One. Siri ini mengetengahkan watak Merlin sebagai watak utama, sewaktu karakter ini di usia muda. Kerajaan Camelot berada di bawah pemerintahan Raja Uther Pendragon, bapa kepada Putera Arthur.




Konsep drama bersiri ini dipengaruhi oleh siri Smallville yang menceritakan kehidupan dan pengembaraan Clark Kent ketika belum menjadi Superman. Siri Smallville banyak memberikan idea kepada pihak produksi Shine Limited tentang bagaimana Merlin melihat kerajaan Camelot sebelum tiba zaman keemasannya. Siri Merlin ini menduduki tangga kelima dalam senarai program yang paling banyak ditonton di BBC iPlayer pada 2008.




Merlin ketika di zaman mudanya, adalah seorang ahli sihir yang berbakat, yang tiba di kota Camelot selepas ibunya mengaturkannya untuk tinggal bersama seorang ahli fizik istana bernama Gaius. Dia mendapat tahu bahawa Raja Uther Pendragon telah mengharamkan magik dan telah mengurung seekor naga terakhir, bernama Kilgharrah jauh di bawah kota. Kilgharrah memberitahu Merlin takdirnya yang penting untuk melindungi Arthur yang akan membawa kerajaan Camelot ke arah kegemilangan. Untuk itu, Merlin perlu merahsiakan mengenai kebolehan sihirnya atau berdepan hukuman mati di tangan Uther.

Di sisi Arthur, Merlin berkhidmat sebagai pembantu, pelindung juga sebagai kawannya. Sesekali, dia perlu berdepan dengan sikap Arthur yang adakalanya agak menjengkelkan dan kasar. Merlin mempunyai sifat belas kasihan dan sedaya upaya untuk melihat kebaikan dalam diri orang lain dan bersikap adil.

Kini, siri ini sudah memasuki musim ketiga dan ditayangkan pada setiap Ahad di TV3.