Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google
Cabaran bulan puasa 2019.
Sebagaimana tahun lepas, bila menghampiri bulan Ramadan, kami dari bisnes Sanrie Sport akan berbincang tentang idea bisnes apa yang akan dijalankan sepanjang bulan puasa ini. Dalam perbincangan, memang adalah beberapa idea diutarakan, antaranya nasi lemak, cendol, dan sebagainya. Namun setiap idea juga punya kelemahan menyebabkan kami ketepikan idea itu. Hinggalah pada tahun lepas, muncul satu idea - kuih tradisional yang sedang viral ketika itu iaitu kuba guling.
(rujuk Sinar Harian Edisi Terengganu 2018 - kuba guling)
Asalnya kami usahakan produk makanan lain, malangnya ketika itu tidak dapat menyaingi gerai lain yang berdekatan. Sampaikan ada beberapa kali barang jualan tidak laku dan terpaksalah disedekahkan sahaja bila tiba jam 7 malam, sewaktu tutup kedai.
Disebabkan itu, gerai kami ditutup beberapa hari untuk memberi peluang mencuba menjual kuih kuba guling yang sedang tular pada waktu itu. Apa lagi, ketika kami buka untuk jualan, maka ramailah yang menyerbu. Sampaikan ada yang menempah sebab tidak mahu terlepas peluang untuk cuba merasa. Pelanggan yang datang pula, bila nampak sahaja label di meja 'kuih kuba guling viral', kebanyakannya akan terus singgah.
Cerita diwarwarkan di Facebook dan akhbar Sinar Harian, membuatkan sambutannya begitu meriah. Ada juga yang tinggal jauh minta untuk dipos. Namun itu tidak dapat dipenuhi disebabkan ia akan cepat rosak.
Kalau tahun lepas, tiadalah cabaran fizikal. Sekadar cabaran mental berikutan ada juga pelanggan jenis 'mulut puaka' yang memaki disebabkan tidak dapat. Sebenarnya bukan apa, sebab benda sudah pun tular dan dapat sambutan, tidak kiralah banyak mana pun stok yang kami bawa, memang akan cepat habis. Jadi, atas usaha pelanggan itulah untuk datang awal.
Pernah di satu hari, belum pun stok dibawa ke meja, sudah ada yang tunggu di tepi kereta untuk membeli. Apa yang sampai di meja hanya sebahagian. Hahahahaha...
Bila habis awal, itulah lumrahnya.
Tahun 2019, bulan puasa tiba pada awal bulan Mei. Berdasarkan pemerhatian sepanjang tempoh selepas bulan puasa tahun lepas hingga ke Ramadan kali ini, nampaknya kuih kuba guling ini masih tidak nampak di mana-mana pasaran sama ada di kedai kuih atau pasar.
Maka, kami putuskan untuk menjual kembali kuih ini. Hasilnya, seperti tahun lepas, ramai juga pelanggan yang mencari dan setiap kali jugalah habis awal. Bezanya kali ini, kami tambahkan satu lagi kuih bersamanya untuk jualan iaitu pati toyo.
Cabaran kali ini, berdepan situasi angin kuat dan hujan lebat.
Semalam, air betakung atas kanopi terpaksa dibuang dan nasib baik juga sebab tiang kanopi berikat dengan kanopi sebelah.
Ketika gerai dibuka, langit sudah gelap. Ketika itu, saya baru tiba selepas mengambil kuih yang sudah dibuat. Tidak lama selepas itu, angin mula bertiup dan kemudiannya hujan mula turun. Kami bersama para peniaga lain terpaksa anjakkan sedikit barang di bawah kanopi bagi mengelak barang dibasahi hujan. Nasib baiklah kuih kami sudah siap dibungkus. Selepas sejam, barulah hujan mulai reda dan pelanggan beransur-ansur datang. Ketika itu jam sudah tunjukkan pukul 6.15 petang.
Sekitar jam 7 malam, kami dijemput menghadiri satu majlis berbuka puasa di Madrasah Darul Salam bersama para guru, murid dan ibu bapa mereka. Kami bawa bersama beberapa pek kuih kuba guling dan pati toyo untuk diberikan kepada mereka.
Resipi kuih kuba guling dan pati toyo ini anda boleh cari sendiri di Google.