Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner
Assalamualaikum.....
Ada banyak sebab yang menyebabkan kereta menjadi tersedut-sedut atau jerking ketika memandu.
Kalau baca tulisan di beberapa blog, dinyatakan beberapa sebab dan masalah berkaitannya.
Pengalaman saya dalam perkara ini berlaku bulan Disember yang lalu. Saya pandu Wira Aeroback 1.5 SE, transmisi automatik. Saya bersama seorang kawan untuk kali ini.
Ketika itu saya ke Temerloh untuk beberapa hari untuk sertai acara di sana. Selesai acara, saya ke Bangi untuk satu urusan lain. Masalah ini belum berlaku secara serius ketika ke Temerloh hingga ke Bangi, tetapi semakin teruk sewaktu menghala balik ke Kuala Terengganu melalui Lebuhraya Pantai Timur ketika melalui kawasan Bukit Besi.
Ketika dalam perjalanan, bila pedal minyak ditekan sekitar 60 km/j, enjin masih baik tetapi bila ditekan lebih lagi untuk naik gear atau mendaki, enjin mula tersentak atau tersedut-sedut. Kesan sentakan ini hilang sekejap bila kelajuan enjin dikekalkan pada paras itu dan enjin kembali tersentak bila kelajuan enjin diturunkan. Lagi teruk bila pedal minyak dilepaskan terus dan enjin mati secara mengejut. Bila ini berlaku, saya biarkan dahulu kereta buat beberapa minit. Bila enjin dihidupkan semula, perlu pulas kunci dan tekan minyak beberapa kali dengan bersusah payah. Terasa enjin bergegar dan perlu tekan pedal minyak sehabisnya untuk elakkan enjin terpadam secara mengejut. Ekzos pula keluarkan api berbara seperti guna NOS dan macam ada bunyi letupan beberapa kali.
Memandangkan ketika itu waktu sudah malam dan tiada bengkel dibuka apatah lagi di kawasan agak terpencil seperti Bukit Besi dan Ajil, saya terpaksa teruskan dengan kelajuan agak tinggi. Hinggalah enjin mati mengejut sekali lagi sebelum masuk ke Plaza Tol Ajil. Sekali lagi saya hidupkan secara kelajuan tinggi hingga ke Bukit Payong.
Bila sampai di sebuah taman perumahan yang hanya kurang 1 km sahaja lagi untuk sampai ke rumah kawan saya, masuk sahaja ke simpang selepas lampu isyarat dan berdekatan bengkel, enjin terus padam mengejut dan kali ini tidak boleh dihidupkan terus.
Jadi, keluarga kawan saya datang ambilnya di tempat kereta diparkir dan saya pula ke rumah saudara tidak jauh dari situ untuk bermalam.
Kabel crank sensor yang ditukar
Isyarat yang tidak tahu apa puncanya..
Keesokannya, mekanik buka enjin dan diperiksa. Palam pencucuh, minyak dan gear dalam keadaan baik. Didapati masalah berpunca daripada kabel dipanggil crank sensor yang sudah 'mati' dan tidak hantar isyarat api ke palam pencucuh.
Selain itu, drive shaft juga ditukar sebab ada gegaran ketika memecut.
Untuk kereta jenis ini, kabel jenis asal perlu digunakan sebagai ganti memandangkan ia edisi SE.