MY FOLLOWERS

Thursday, February 1, 2018

Sekadar Luahan - My Karate Story: Then and Now: Chapter II

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....





Pada tahun 1996, sekitar pertengahan tahun, masih ingat lagi ketika itu pelbagai program di bawah label Rakan Muda sedang giat diusahakan di seluruh negara. MRSM kami juga tidak ketinggalan menyertainya menerusi Rakan Wajadiri peringkat daerah Jelebu. Pada sesi latihan itu, sensei mewarwarkan mereka memerlukan ramai penyertaan daripada para pelajar yang bukan ahli yang berminat untuk menyertai. Dapat baju percuma dan macam-macam benda lagi, ahh itu semua tarikan. Makan minum peserta semuanya disediakan. Maka berduyunlah kawan-kawan yang datang mendaftar. Latihan setiap petang awalnya dibuat di kawasan latihan kami sahaja. Latihan untuk demonstrasi kelab karate juga tidak ketinggalan diadakan untuk program ini. Kiranya saya ada dua macam latihan untuk hari program berkenaan. Banyak lagi kelab seni beladiri datang untuk demonstrasi hari berkenaan.


Pada hari acara, program ini diadakan di satu kawasan padang dalam pekan Jelebu ketika itu. Ramainya manusia yang datang dari pelbagai ceruk. Seluruh warga MRSM kami juga datang pada hari itu. Habis sahaja demonstrasi Rakan Wajadiri, kami ahli kelab karate bergegas menukar baju Gi untuk demonstrasi karate pula.


Seterusnya, kami yang masih junior ketika ini diminta duduk. Giliran senior pula mengambil tempat untuk demonstrasi kata menggunakan nunchaku. Akhir sekali giliran sensei dari kelab di Kompleks Sukan Paroi pula melakukan demonstrasi memecahkan blok ais setebal 4 keping. Bamm! Habis semuanya.. selesai..........


Sebelum berakhirnya pembelajaran di MRSM dan selepas PMR, penulis sempat bertanyakan pada sensei tempat lain untuk latihan karate. Penulis dicadangkan untuk sertai latihan di Kompleks Sukan Paroi, tempat kami hadiri kejohanan dahulu sebab di situ kelasnya pada pagi Sabtu dan Ahad, dan jurulatihnya adik sensei sendiri.







Changing lanes....


Permulaan baru. Selepas mendapat keputusan PMR (begitu 'jayanya'), penulis memutuskan untuk sambung pelajaran di sekolah teknik berdekatan rumah ketika itu dan tidak perlu duduk di asrama. Lagi bagus sebab berpeluang juga ke kelas karate baru pada hujung minggu. Penulis bulatkan tekad untuk datang sendiri ke kompleks berkenaan pada minggu kedua cuti hujung tahun 1996. Pagi itu, saya hanya berjalan kaki dari rumah ke kompleks sukan ini untuk sertai latihan. Baju Gi dan kad ahli dibawa sekali. Bila jumpa dengan sensei di sini, mulanya dia terkejut juga kenapa boleh datang dari Jelebu untuk latihan pagi itu. Setelah dijelaskan dan ditunjukkan kad ahli, barulah saya jadi ahli di kelab baru di sini. Dapat juga kenal kawan baru dari tempat lain. Latihan sedikit berbeza sebab adakala kawasan dewan kompleks digunakan oleh pihak lain, jadi kami akan gunakan sama ada di gelanggang tenis, gelanggang bola tampar, atau kawasan luar untuk berlatih.


Kejohanan lagi! Kali ini dan bersama pasukan baru, kami dimaklumkan oleh sensei akan ada kejohanan pada hujung Februari 1997 dan dimaklumkan juga MRSM Kuala klawang antara pasukan yang akan datang. Habis semua ahli di sini tengok penulis! Sebab pasukan mereka kali ini diketuai oleh junior saya  yang telah mengambil alih jawatan Presiden kelab tersebut selepas PMR yang lalu. Seperti tahun lepas, kejohanan kali ini juga diadakan bermula pada malam hari pertama dengan ujian/grading. Selebihnya berlangsung keesokannya. Memang, dan sebagaimana dijangka, ketika kejohanan itu pasukan mereka telah bertemu dengan pasukan baru bersama saya dan ia adalah satu kejutan!


Malam ujian/grading. Saya ambil ujian kali ini untuk naik dari ungu ke brown-4. Ujian kali ini lebih susah tetapi dapat lulus. Selesai ujian, saya duduk melepak bersama ahli senior lain sementara menanti kawan lain selesai juga. Ujian berakhir sekitar 11.00 malam. Esoknya, kami semua beramai ramai menyertai acara kumite. Seronoknya kali ini sebab perlawanan saya dapat habis awal. Bolehlah bersorak, melepak sambil minum-minum sambil menonton perlawanan macam dekat stadium. Kawan dari persatuan silat juga datang menonton. Selesai semua acara, kami bukan terus balik ke rumah tetapi melencong ke pasar malam untuk beli minuman.


Tahun 1997 dan 1998 ialah tahun untuk tumpukan perhatian pada SPM. Walaupun latihan di kompleks berjalan seperti biasa, tetapi tidak dapat hadir selalu sehinggalah selesai SPM. Cuma sekali sekala sahaja datang menjenguk ke dewan latihan. Sepanjang berlatih karate di sini, bermula daripada lulus ujian/grading pada 1997, banyak lagi asas dipelajari selain kata baru iaitu Bassai Dai dan Bassai Sho, Tekki Nidan dan Tekki Sandan dan Kanku Sho.

No comments: