Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Perjalanan setakat ini ..........
3 tahun pertama...
Perjalanan penulis dalam dunia seni karate bermula pada 1994 ketika menyambung pelajaran di MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Pada waktu itu, sistem pendidikan sedikit berbeza daripada sekarang kerana sesi persekolahan baru akan bermula pada Disember tahun sebelum itu. Sistem ini digunakan selama beberapa tahun sebelum itu. Hanya pada tahun 1996 (kalau tidak silap) baru sistem ini dianjakkan ke bulan Januari dan digunakan sehingga kini. Ingat lagi, semua sekolah seluruh negara diberikan cuti dua minggu untuk proses anjakan sistem ini. Begitu juga MRSM, cuma kami 'tolak' cuti ini ke cuti Aidilfitri menjadikan jumlah hari cuti Aidilfitri kami lebih lama.
Berbalik kepada cerita karate. Pada sesi pendaftaran kelab dan persatuan pada 1994, penulis mula daftarkan diri. Asal niatnya hanyalah masuk sebab minat. Itu sahaja.
Pada hari pertama latihan, penulis datang. Senior pada waktu itu tegas dengan muka yang bekeng (bahasa Terengganu untuk 'garang'). Sudahlah badan sekeping macam papan lapis, kecut pula perut. Latihan diteruskan juga. Mula-mula sekali kami belajar oi zuki, uke, zenkutsu dan kiba dachi. Pada waktu itu sensei banyak guna istilah dalam bahasa Inggeris. Begitulah istilah digunakan selama beberapa tahun seterusnya sehingga menjadi kebiasaan waktu itu. Latihan asas seperti biasa. Saya pun ikut sahaja, langsung tidak tahu kalau pada masa itu ada sebarang silibus. Sapu sahaja!
Pernah juga ada hari latihan ketika menunggu sensei tiba, senior akan ajar apa-apa yang patut. Paling ingat, bila diajar 'turning kick'. Susah tetapi seronok sebab sebelum itu selalu tengok hanya dalam filem di tv sahaja. Kata yang kami mula-mula sekali pelajari ialah taikyoku shodan, taikyoku sandan dan heian shodan. Sekitar pertengahan tahun, kami ambil ujian/grading yang pertama. Takut sedikit sebab ada pemeriksa dari luar (walhal orang tu la jadi sensei aku lepas tu..hahaha). Pada masa itu, banyak kriteria yang diuji. Dalam asas/basic sahaja pun ada tingkatnya - lower, middle dan higher basic. Kemudian ada one-step sparring dan kata. Tiada jiyu kumite lagi sebab baru tali pinggang putih. Alhamdulillah, lulus juga. Dapatlah naik ke tali pinggang hijau.
Minggu ko-kurikulum...
Kami diminta untuk tunjukkan demonstrasi. Sensei pada masa itu sudah sediakan papan untuk dipecahkan. Yang kelakarnya, sewaktu persediaan di belakang pentas, sudah ada seorang ahli kami tersilap pecahkan sekeping. Asalnya untuk 'rehearsal' sahaja, entah macam mana boleh terpecah. Walaubagaimana pun, demonstrasi itu masih berjalan lancar.
Minggu berikutnya, masing-masing sudah mula pakai tali pinggang baru. Kami pun mula didedahkan dengan kumite. Oleh kerana petang itu hujan, maka kami gunakan kelas yang kosong untuk latihan. Tidak banyak ruang diperlukan, cukup untuk membolehkan sensei jalankan kelas dan terangkan bagaimana kaedah untuk dapatkan mata untuk kumite dan sedikit demo. Kelas berikutnya, barulah kumite di dataran tempat berlatih. Pada masa itu, takutnya bukan main. Mana tidaknya, tidak pernah sekalipun bergaduh di luar, inikan pula dalam gelanggang. Dengan memakai headgear khas yang menyesakkan nafas macam Darth Vader, dengan panasnya, rasa kumite ini sungguh teruk. Lagi tertekan bila ada pula penonton dari tingkat atas bangunan yang menonton perlawanan di dataran. Dengan segala kekurangannya, kalah jugalah keputusannya. Lagi menambahkan tekanan bila ada pula yang mengajuk dan mengejek-ejek laungan 'kiai' macam gagak tercekik udang. Sudahlah panas dan kalah, marah memang tidak terucap! Sabar! Sepanjang 3 tahun pengajian di situ, setiap kali latihan akan adalah kedengaran bunyi ejekan yang sama. Pun begitu, menghala ke akhir tahun, kumite lebih baik sedikit walapun masih kedengaran bunyi ejekan yang sama. Terasa macam ada yang mahu kena pukul? Mahu pukul orang? Huhh! Jangan cakaplah! Memang ada! Menjelang ke akhir tahun, super senior akan ambil PMR dan sudah letak semua jawatan persatuan dan kelab. Maka kelab karate kami pun sama. Kami adakan mesyuarat dan senior ambil alih jawatan untuk tahun berikutnya.
Akhir tahun. Kami diberitahu akan ada satu kejohanan karate di suatu tempat dan sesiapa yang dapat pergi dipersilakan untuk buat latihan berasingan. Bukan setakat itu sahaja, di kejohanan itu nanti, akan ada satu lagi ujian/grading diadakan. Malangnya penulis dan beberapa ahli tidak dapat turut serta. Jadi kami terpaksalah berlatih dengan seorang sensei lain ketika itu. Tengok logo kelabnya pun lain, katanya dari Indonesia! Wahh..bisa ngajarin karate dongg! RASAINN!! :-D Daripada latihan bersama sensei ini, dua perkara yang penulis masih bawa ketika dalam latihan sehingga kini iaitu kaedah menumbuk dengan mengeluarkan tenaga dari pinggang dan kaedah memakai tali pinggang.
Tahun 1995. Kelas karate berjalan seperti biasa. Super senior lama sudah meninggalkan kami, ke MRSM cawangan lain. Kami pula naik sebagai senior Tingkatan 2, yang dahulunya Tingkatan 2 sudah jadi super senior Tingkatan 3 dan ada ahli junior baru. Cuma kali ini, di kalangan kami ada yang sudah berbeza tahap tali pinggang sebab ada yang sudah lulus ujian/grading selepas kejohanan pada hujung tahun lalu. Kami yang lain masih dengan hijau, mereka sudah naik tali pinggang biru. Pada awal latihan, kami yang senior ini ditugaskan oleh sensei untuk ajar yang junior serba sedikit asas dan kata. Kali ini, sensei banyak tumpukan pada kata berbanding kumite. Rasanya boleh kira dengan jari berapa kali dia datang bawa peralatan kumite. Selebihnya one-step sparring, kata dan latihan asas. Teknik tumbukan/zuki, tahan/uke dan tendangan/keri juga banyak yang ditunjukkan, cuma mungkin sebab kami masih budak lagi, jadi tiada istilah diperkenalkan.
Di satu pagi Sabtu, kami adakan latihan. Kali ini disertai seorang juara kejohanan karate kalau tidak silap, dari Singapura. Pada masa itu, kami sedang belajar kata Heian Nidan. Masih ingat lagi, ketika itu suasana dataran agak bising sebab pelajar lain yang baru sudah selesai prep pagi keluar kelas dan jadi penonton. Di pagi Sabtu yang lain, semua pelajar yang sepatutnya hadir prep pagi dengan suka-suka hatinya dipanggil oleh pengajar kawad untuk turun kawad di kawasan parkir kenderaan depan pejabat. Sudahlah garang tak kenal tempat, panggil ikut suka sahaja bila dia mahu kawadkan budak. Kami pula sepakat dengan semua ahli kelab, kata ada latihan di padang. Maka terlepaslah kami semua daripada seksaan dan dendaan yang menyeksakan. Bukan sekali tetapi adalah beberapa kali kami buat demikian, kadang-kadang kata ada perjumpaanlah, mesyuaratlah, dan setiap kali itulah terlepas! Hehehehe... Bila di padang, sebenarnya bukan berlatih apa sangat. Kata Taikyoku Shodan, Taikyoku Sandan dan Heian Shodan. Itu sahaja. Selepas itu, bermain dan melepak sambil menunggu yang lain selesai kawad. Yang lagi seronoknya berkenaan pengajar kawad ini, tahun berikutnya dengar ceritanya sudah dibuang kerja kerana menampar seorang guru lain. Yang menggantikannya selepas itu lebih baik. Semua orang pun boleh ikut tanpa perlu risau ditengking atau kena marah kalau tersilap langkah..Hooraayy!!
Minggu ko-kurikulum datang lagi. Kali ini, sensei tidak dapat memberikan bahan untuk demonstrasi, maka kami terpaksalah buat latihan dan lakonan sendiri. Berbezanya idea kami ini sebab tiada kayu dipecahkan. Sekadar demo yang enjoy :-P Bila sesi latihan seterusnya, sensei tanya macam mana? Semua kata 'ok..ok..ok.' Hehehe.. Seterusnya, ujian/grading datang lagi. Berbanding tahun lalu, kali ini sesi kumite lebih baik sebab tidak kedengaran gelak tawa dan ejekan daripada penonton-penonton gila dari kelas di tingkat atas. Walaupun begitu, oleh kerana kumite kami tiba-tiba menjadi agak agresif, maka sensei tampil memberikan amaran. Giliran ahli seterusnya terpaksa pakai pelindung badan/body pad. Habis semua ahli tengok kami semacam! Alhamdulillah, sekali lagi lulus. Kali ini dari hijau naik pula ke tali pinggang biru. Sesi latihan seterusnya, kami diajar kata Heian Sandan dan Heian Yondan. Bagi yang lain yang di tali pinggang biru, mereka kini sudah naik ke tali pinggang ungu. Mereka diajar kata yang selangkah lebih tinggi - Heian Godan. Kali ini sensei bawa dua orang anak lelakinya untuk demo kumite.
Akhir tahun...
Senior sudah melepaskan jawatan mereka dalam semua kelab yang dipegang untuk menumpukan pada PMR. Kami bermesyuarat sekali lagi. Entah apalah idea tak guna kawan-kawan, penulis pula dilantik untuk jadi Presiden untuk tahun seterusnya. Kecoh satu sekolah. Sebab masing-masing pilih bulu! Mahu yang jadi ketua ke, presiden ke, daripada jenis yang macam itu dan macam ini. Siap ada yang datang maki penulis kata 'mabuk! lagi. Sekadar mengungkit, nasib baiklah tidak jadi macam seorang kawan sekelas penulis, kalau tertekan dia akan kena penyakit yang kami panggil 'stress' sampai jatuh macam kena sawan dan sedikit meracau-racau. Insiden itu sudah beberapa kali berlaku sebelum itu, selalunya atas pelbagai sebab antaranya kena buli dan diperli, orang tidak ikut cakap, mulut suka mengata dan sebagainya. Setiap kali lepas insiden, biasanya dia akan dihantar ke hospital daerah yang berdekatan (sebab tiada klinik sekitar pekan ketika itu) dan tidak datang kelas dalam 2 atau 3 hari. Untuk hujung tahun kedua pengajian di sini, penulis dan ahli kelab berpeluang hadir ke kejohanan karate buat pertama kali di Rembau. Kejohanan selama sehari ini bermula awal pagi hingga ke petang. Acara dipertandingkan ialah kata individu dan berkumpulan 3 orang, kumite individu dan berkumpulan. Dalam banyak acara disertai, kelab kami hanya bawa balik satu kemenangan sahaja menerusi kata berkumpulan. Selebihnya tewas di separuh akhir.
Tahun berikutnya, 1996. Tahun ke-3 penulis dan kami naik sebagai super senior. Kami sekali lagi menyertai kejohanan yang diadakan, kali ini di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan. Kejohanan ini diadakan selama 2 hari. Hari pertama bermula pada sebelah petang dan malam dengan ujian/grading selaras. Diadakan untuk semua peserta daripada semua kelab di bawah logo persatuan karate negeri ini. Malam itu peserta sungguh ramai dan penontonnya.. woww! lagi ramai dan lagi gila daripada penonton di balkoni bangunan di tempat belajar. Penulis ambil kesempatan ini untuk naik ke tali pinggang ungu. Esoknya kejohanan sebenar bermula. Dimulai dengan acara kata berpasukan dan individu, sebelum disusuli dengan acara kumite berpasukan dan individu.
Sepanjang acara. Kali ini ramai juga senior dan karateka yang turun, maka saingan agak sengit. Untuk acara kumite sahaja sudah ramai dan penulis kalah pada perlawanan disertai. Ada antara anak buah yang masuk bertanding ada yang sampai diarahkan tukar seluar sebab koyak pada lutut. Untuk tidak membuang masa, kami sepasukan beratur sebagai 'benteng' bagi memudahkan dua ahli kami menukar seluar sebelum perlawanan bermula. Insiden lain sempat dilalui bila ada ahli yang perempuan sampai tertanggal tudung bila tanggalkan headgear selepas senak terkena pukulan di perut. Ramailah ahli perempuan yang lain turun jadi benteng pula. Yang lebih menjadikan kami semua pasukan perhatian sebab pasukan kami satu-satunya yang memakai windbreaker berwarna hijau. Jadi, disiplin pasukan kami juga diperhatikan dan penulislah orang yang kena bertanggungjawab untuk semua yang berlaku kepada pasukan. Untuk kali ini, alhamdulillah kerana kami menang besar juga. Selesai penyampaian pingat, kami dapati pasukan kami adalah naib juara keseluruhan berdasarkan kutipan pingat. Selain itu kami juga dinobatkan sebagai pasukan disiplin terbaik. Minggu selepasnya, sewaktu sesi perhimpunan, semua ahli pasukan kami diberikan sijil penyertaan yang disampaikan sendiri oleh Pengetua kami selain diumumkan naib juara keseluruhan. Ahh, bangganya bila menerima tepukan gemuruh. Seterusnya latihan kami berjalan kembali seperti biasa tetapi kepada kami yang super senior, sudah tidak selancar dahulu lagi sebab sudah banyak kelas tambahan perlu dihadiri sebagai persediaan menghadapi PMR.
Ketika latihan, kami sempat belajar kata Tekki Shodan, Heian Godan dan Bassai Dai selain mengulangkaji Heian Sandan dan Heian Yondan. Kami juga sudah jarang kumite. Tidak tahu apa sebabnya sensei lebih banyak tumpukan pada aspek kata dan bukan kumite. Kami ikutkan sahaja walaupun pada masa itu belum tahu yang kata adalah 'jantung' pada karate. Kini semakin menjelang PMR, walaupun hari latihan berjalan seperti biasa, kali ini yang turun berlatih adalah ahli-ahli junior. Ingat lagi, sewaktu mereka berlatih, penulis sedang dalam kelas tambahan Geografi di tingkat 2 bangunan akademik bersama Timbalan Pengetua. Nampaklah juga mereka sedang belajar Bassai Sho dengan sensei. Hmm.. kempunan jerr :-( Hanya pada sebelah malamnya, penulis ke bilik junior dan tanyakan terus mengenainya. Rakan sebilik yang juga ahli turut tidak ketinggalan ambil kesempatan bersama penulis untuk berlatih kata ini.
Minggu aktiviti. Minggu tanpa kelas. Jadual sepanjang minggu? Sukan, riadah, majlis. Ada satu malam diadakan majlis dinamakan Malam Penghargaan. Kalau pada tahun lalu, penulis dan beberapa kawan lain tidak dapat apa-apa. Hanya sekadar melihat dari jauh dan kempunan kerana tidak dijemput sebab tiada pencapaian. Sekadar duduk telan air liur bersama beberapa kawan di surau sambil dengar bising lagu-lagu dari pembesar suara selain beberapa tepukan gemuruh di bangunan akademik tempat majlis ala VIP itu diadakan. Bila semua kawan-kawan balik ke asrama selepas selesai majlis, lagilah terasa seperti ketinggalan sebab tidak dapat turut serta.
Kali ini, mungkin ada sedikit makna sebab dapat juga merasa bukan setakat makan dan duduk di tempat ala VIP dengan pakai kemeja dan tali leher, juga menerima sijil penghargaan disampaikan sendiri oleh tuan Pengetua atas pencapaian kelab karate pada tahun 1996 itu. Pelajar lain juga menerima sijil penghargaan atas pencapaian masing-masing.
Kelas akademik seterusnya berjalan seperti biasa hinggalah PMR. Hujung tahun dan sebelum majlis konvokesyen dan penutup, seluruh rakan seangkatan ke perkhemahan di Sungai Congkak selama 3 hari 2 malam. Seronok!