MY FOLLOWERS

Thursday, December 14, 2017

Artikel - Karnival Souq Frenzy di Kemaman 24-26.11.2017

Kredit kepada: Archer's Crew
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Karnival Souq Frenzy kembali lagi!

Kali ini, karnival ini berkunjung pula ke Dewan Seri Amar, Kemaman, pada 24-26.11.2017 selepas ia diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu pada bulan lalu. 

Kali ini ia ditambah dengan beberapa lagi permainan selain yang sudah sedia ada. Ia bagi memberi peluang kepada pengunjung cilik untuk bermain dan terus kenal dengan permainan tradisi seperti yang pernah dimainkan oleh generasi terdahulu. Antaranya congkak, terompah gergasi, gasing, lastik, batu seremban/selambut, baling tin, kaki hantu, datuk harimau, dan nenek si bongkok tiga.

Bagi memeriahkan acara ini, pertandingan mewarna kanak-kanak diadakan pada hari kedua. Segmen lain seperti Mystery Maze, Kerjaya Cilik, Sand Art, Face Painting, PS4 masih dikekalkan. Bagi segmen Souq Frenzy, gerai memanah Archer's Crew dan Zootoopia turut dibuka untuk kunjungan orang ramai.














Karnival ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 11 malam.


Artikel - Program Memanah Bersama Pelajar PASTI Bestari Kuala Terengganu 21.11.2017

Kredit kepada: Archer's Crew
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Pada 21.11.2017 yang lalu, kedai memanah Archer's Crew telah dijemput untuk satu program memanah bersama anak-anak PASTI di Kuala Ibai bagi mengisi slot jadual dalam program cuti sekolah yang diadakan oleh pihak berkenaan. Program ini bertempat di depan Dewan Abdul Mutalib, Markaz Tarbiah Kuala Ibai iaitu dalam kawasan Pusat Rawatan Islam Darussyifa.





Program ini disertai oleh 134 orang pelajarnya berumur 4 hingga 6 tahun, daripada 3 buah PASTI.

Program ini bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari.


Artikel - Kelas Asas Memanah Bersama RST 4.11.2017

Kredit kepada: owner, Archer's Crew, RST
Gambar ihsan: owner



Assalamualaikum.....

Satu kelas asas memanah diadakan pada 4.11.2017 bertempat di Balai Raya Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. Kelas bermula sekitar 8.30 pagi ini adalah dikendalikan oleh kelab memanah Rimayah Sunnah Terengganu (RST).

Dalam kelas ini diterangkan beberapa aspek dalam memanah tradisional antaranya berkaitan busur dan anak panah, kaedah-kaedah memegang, langkah keselamatan sebelum memanah, berat tarikan (draw weight) dan panjang tarikan (draw length) yang sesuai untuk setiap pemanah. 



Selesai di kelas, ahli ke lapangan memanah di Bestari.com untuk latihan memanah. Di sini ahli baru diberi tunjuk ajar tentang teknik memanah. 

Kelas ini diadakan sebagai pendedahan dan tambahan ilmu kepada ahli lama dan ahli baru.

Artikel - Pameran Keris dan Seni Purba 28.10.2017

Kredit kepada: owner, Archer's Crew
Gambar ihsan: owner



Assalamualaikum.....

Diadakan di rumah lama Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Pameran ini diadakan selama sehari dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang. Ketika pameran ini, pertandingan barang lama dan keris lama, serta persembahan silat turut diadakan.







Archer's Crew turut membuka gerai di pameran ini. Pengunjung turut berpeluang mencuba memanah cara tradisional dan bertanyakan tentang perkhidmatan yang disediakan.







Selain itu gerai jualan juga dibuka untuk kemudahan pengunjung yang turut menjual setanjak serta barangan lain.


Artikel - Tukar Tayar Bila Lepas Tamat Tempoh

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Tayar adalah salah satu bahagian yang paling perlu diambil berat ketika melakukan perjalanan. Setiap tayar depan dan belakang ada had kilometer yang perlu diberi perhatian. Bagi tayar depan, ia perlu ditukar setiap 40,000 km dan tayar belakang pula pada setiap 80,000 km. Perkara ini pernah saya tuliskan dalam artikel yang terdahulu.


Boleh rujuk SINI dan SINI untuk selanjutnya.





Hadiah promosi dari Goodyear - Tukar 4 empat dan dapat satu bekas air percuma  :-)


Yang terbaru, penulis tukarkan kesemua tayar setelah didapati semua bunga tayarnya 'botak' dan ada yang sudah hampir terkeluar benangnya.

Sedikit tips, kalau mahu keadaannya seimbang, setiap 10,000km perlu buat 'crossing' iaitu pindahkan tayar depan dan belakang. 


Sekadar Luahan - Bestnya Daging Arnab Goreng

Kredit kepada: Archer's Crew, Zootoopia
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Asalnya pagi tadi, saya dengan rakan bisnes dijemput untuk hadir pada sebuah program bagi mempromosikan memanah tradisional yang kami usahakan. Oleh sebab terfikir untuk luaskan peluang menjana kewangan, kami putuskan untuk tutup segmen kami selepas Zohor dan selepas itu ke tempat lain untuk buka gerai. Tambahan sebab petang ini cuaca cerah dan sesuai untuk aktiviti luar. Sama seperti hari lain ketika cuti hujung tahun, lokasi yang kami biasa buka gerai akan dikunjungi ramai orang dari serata tempat. Ada juga yang datang dari jauh. Adakalanya sampai sesak.

Selepas tutup gerai, kami singgah ke sebuah studio haiwan peliharaan. Puas melihat-lihat semua haiwan dalam studio, kami layan pula arnab yang di luar. Niatnya untuk singgah sekejap sebab kawan itu kali pertama ke studionya, tetapi sebab disuruh tunggu, maka kami pun tunggu sahaja. Kami ikut sahaja kata tuan empunya tempat.

Dua ekor arnab kemudian diambil dan disembelih. Oleh sebab hari ini masing-masing belum makan apa-apa dari pagi, jadi kami pun terimalah pelawaan tuan rumah untuk dijamu dengan daging arnab goreng. Sedap ke? Memang sedap walaupun dagingnya sedikit liat.



Perancangan untuk buka gerai petang ini? Ditangguhkan ke petang esok.

Rancangnya lain, datang pula rezeki lain.

Wednesday, November 22, 2017

Hidupan Liar - Kelawar Spesis Baru Yang Macam Star Wars Jedi Master Yoda :-)

Kredit kepada: Yahoo News UK
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....



Sejenis kelawar dengan hidung seakan tiub dinamakan sempena watak Yoda dalam filem Star Wars, dikenalpasti sebagai spesis baru.

Kelawar ini dijumpai dalam kawasan terpencil hutan hujan di Papua New Guinea. Kelawar buah Hamamas dinamakan semula mengikut perkataan 'gembira' dalam bahasa Papua kerana penampilannya yang seperti tersengih disebabkan rahangnya yang lebih bulat daripada kelawar buah yang lain.

Kini ia telah didaftarkan secara rasmi sebagai spesis baru dengan nama spesifik Nyctimene wrightae sp. Nov. sempena nama Dr Deb Wright yang juga ahli konservasi yang telah menghabiskan masa 20 tahun kehidupannya dengan kerja konservasi di Papua New Guinea.


 Yoda – nampak seperti watak dalam filem Star Wars


Ahli biologi di University of York, Dr Nancy Irwin dengan pasukannya yang telah mengkaji sebanyak 3,000 spesimen kelawar buah di 18 buah muzium seluruh dunia berkata, "Kebanyakan ciri morfologi yang memisahkan spesis ini dengan yang lainnya ada kaitannya dengan rahangnya yang lebih bulat dan lebih lebar yang membuatnya nampak seperti sentiasa tersenyum."


"Oleh sebab kebanyakan orang Papua di kawasan terpencil tidak pernah menonton filem Star Wars, maka spesis ini lebih sesuai kalau diberikan nama tempatan - Hamamas, yang bermaksud 'gembira' ."



Seperti juga dalam keluarga Nyctimene, salah satu spesis terawal direkodkan sejak 1769, kelawar dibezakan dengan ciri ganjilnya dengan lubang hidung terjulur keluar.

Kelawar ini dengan hidung tiub, warna terang, belang tebal di atas belakang dan berbintik telah menarik perhatian ramai sejak 250 tahun lalu dan turut diabadikan dalam setem Papua New Guinea.    

Namun para saintis masih terus mencari spesis baru dalam kumpulan itu.

"Tiada gambaran bagi kelawar dalam kumpulan siklotis yang membuatkan proses mengenali kelawar sangat sukar. Negara ini mengeluarkan setem dengan gambar yang dilukis tetapi tidak dapat memberikan nama spesis ini. Kini dengan fotograf, ilustrasi dan petunjuk spesis lain dalam kumpulan menjadikannya lebih mudah untuk membezakan tiga spesis dalam satu kumpulan." kata Dr Irwin.



Sumber hidupan dari hutan:   SINI   |  


Artikel - 7 Buah Planet Seakan Bumi Mengorbit Satu Bintang

Kredit kepada: Channel News Asia
Gambar ihsan: Google Images 


Assalamualaikum.....




Para pengkaji di Paris mengumumkan satu penemuan menakjubkan mengenai tujuh buah planet seakan Bumi yang mengorbit sebuah bintang dalam galaksi ini yang sekaligus menawarkan peluang untuk meneroka lebih lanjut tentang adanya hidupan melewati sistem solar ini.

Semua tujuh planet itu hampir sama saiz dan jisimnya dengan Bumi dan hampir semuanya berbatu dan tiga daripadanya sempurna untuk menempatkan air yang membantu hidupan. Itu sebagaimana dinyatakan dalam jurnal Nature.

Secara kritikalnya, cirinya yang hampir dengan Bumi dan kegelapan bintangnya, Trappist-1, akan membantu ahli astronomi untuk menghuraikan lagi mengenai setiap atmosfera dalam usaha mencari petanda kimia bagi sebarang aktiviti biologi.



"Kita sudah ambil langkah penting bagi mencari hidupan di luar sana. Sehingga kini, saya tidak fikir kita sudah ada planet yang betul. Kini sudah ada sasaran yang betul." kata penulis, Amaury Triaud, juga saintis di University of Cambridge.


Sistem Trappist-1 dengan jarak 39 tahun cahaya mempunyai jumlah planet sebesar bumi terbanyak yang mengorbit sebutir bintang. Ia juga mempunyai banyak 'zon bersuhu sesuai', satu keadaan tidak terlalu panas hingga air meruap dan tidak pula terlalu sejuk hingga air membeku.


Penemuan itu menambah bukti galaksi ini yang dikenali sebagai Milky Way, mungkin ada populasi berbilion lagi hidupan selain kita, jauh lebih banyak daripada jangkaan sebelum ini. Mungkin pencerap bintang profesional melihat di tempat yang salah.


"Idea hebat dalam pendekatan ini bagi mengkaji planet-planet di sekeliling bintang terkecil dalam galaksi yang terdekat dengan kita. Itu suatu perkara yang belum pernah dibuat sebelum ini. Ramai ahli astronomi hanya fokus pada bintang seperti matahari." kata ketua penulis Michael Gillon, professor di University of Liege di Belgium.


Gillon dan pasukannya mulai menjejak Trappist-1, bintang yang sangat kecil dengan jisimnya 10% berat matahari dibantu teleskop tahun 2010, dan melaporkan ada 3 planet dalam orbitnya. Mereka menjejak eksoplanet yang tidak nampak dengan kaedah transit, bila satu planet mengorbit melintasi bintang dan ahli astronomi melihat melalui teleskop, ia memalapkan cahayanya sebegitu kecil tetapi masih boleh diukur. Bila kiraan kemudiannya tidak begitu selaras, Gillon menyedari mungkin ada lagi bintang lain yang terlepas daripada pemerhatian. 


"Jadi kita memohon menggunakan Teleskop Angkasa Spitzer di NASA. Ini membolehkan kita membuat 20 pemerhatian berturut-turut selama 24 jam yang penting kepada penemuan yang kita ada tujuh planet yang sedang bergerak." kata penulis Emmanuel Jehin, juga di University of Liege.


Dari bumi, ahli astronomi hanya boleh menjejak aktiviti sekitar bintang pada waktu malam. Dari angkasa, mereka dapat melakukannya berterusan dan padankan semua 34 transit.


Dibandingkan dengan jarak antara matahari dengan planetnya, keluarga Trappist-1 terikat dengan rapat. Bintang itu dengan tujuh satelitnya dengan tempoh orbit 1.5 ke 12 hari semuanya menepati dalam jarak antara matahri dengan planet terdekatnya Utarid.



Menurut saintis, disebabkan Trappist-1 kurang menghasilkan radiasi, suhu planetnya yang bergantung pada atmosfera boleh jadi antara 0 hingga 100 darjah Celsius (32 hingga 212 darjah Fahrenheit).

Gillon dan pasukannya mula menganalisis unsur kimia yang membentuk atmosferanya. "Ada sekurang-kurangnya 1 kombinasi molekul, jika hadir dengan banyaknya secara relatif, itu memberitahu kita adanya hidupan dengan keyakinan 99%." kata Gillon.


Campuran tertentu bahan seperti metana, oksigen atau ozon, dan karbon dioksida, hampir pasti datangnya daripada sumber biologi.

"Selain mendapat mesej dari luar sistem solar, kita tidak akan pasti 100%." katanya. 

Trappist-1 D, E atau F merupakan 3 planet tengahnya ada panorama yang sangat indah bintang itu dan sistemnya. Bintang merah itu yang muncul dengan saiz 10 kali lebih besar daripada matahari kita menjadi 'bayang merah lembayung'.


Sumber jauh di alam semesta:   SINI   |   



Hiburan - The Gifted

Kredit kepada: Wikipedia, ewatchseries
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....




The Gifted ialah satu siri tv keluaran Amerika Syarikat dikembangkan oleh Fox oleh Matt Nix, berdasarkan X-Men keluaran Marvel. Ia berhubung dengan siri filem X-Men yang berada dalam garis masa alternatif yang mana X-Men telah hilang. Siri ini terbitan 20th Century Fox Television dengan kerjasama Marvel Television, dengan Nix sebagai showrunner.


Siri ini dibintangi Stephen Moyer dan Amy Acker sebagai pasangan ibu bapa yang membawa keluarganya lari selepas menyedari kelebihan mutan yang dimiliki anak mereka. Siri ini turut dibintangi Sean Teale, Natalie Alyn Lind, Percy Hynes White, Coby Bell, Jamie Chung, Blair Redford, dan Emma Dumont. 


The Gifted memulakan siarannya pada 2.10.2017 dengan 10 episod.


Mutan generasi baru:  SINI  |   SINI 


Friday, November 3, 2017

7 Tips Menulis Kandungan Yang Bernas Untuk Dapat Pendedahan dan Kejayaan

Kredit kepada: Yahoo News, e27
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....



Kandungan yang padat dan bernas bukan sahaja dapat menarik pembaca dan membuatkan laman web anda kelihatan bagus, ia juga dapat meningkatkan posisi laman anda di enjin carian. 


Membina kandungan yang padat dan mudah difahami ialah tanggungjawab penulis itu sendiri. Maka terpulang kepada penulis dan bagaimana menghabiskan tugasan menulis sebelum dihantar. Jika anda menulis kandungan yang lemah, itu menjadikan anda seorang penulis yang lemah. Ingat, menulis kandungan yang bagus bukanlah kerja ringkas dan jalan mudah tidak akan membawa anda ke mana, kesannya ia akan membuang masa, tenaga dan sumber.  


Laluan untuk penulis kandungan sangat jelas kerana setiap penulis kandungan yang bagus tahu untuk menaikkan lagi posisi SEO dan trafik yang tinggi, maka penulis perlu menghasilkan kandungan itu yang unik dan berkualiti baik secara konsisten, bukannya kandungan berkualiti rendah dan lemah.

Bila anda menulis sesebuah kandungan, pastikan ia yang asli sehingga ke terasnya, kerana enjin carian akan membantu kandungan anda mendapat lebih pendedahan jika ia unik. Kandungan yang padat bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pembaca dan menjadikan laman anda kelihatan bagus malah ia juga dapat meningkatkan posisi laman anda di enjin carian. Ia semestinya memberikan tanggapan kepada pelawat dan membantu meningkatkan prestasi bisnes anda. 


Sama ada anda terlibat dalam bisnes atau sekadar menulis blog, anda perlu menghasilkan kandungan yang bagus setiap kali menulis. Bagi mencapai tahap ini, anda perlu faham apa yang boleh membuatkan kandungan itu bagus dan lakukannya dengan betul.


Artikel ini menerangkan aspek terpenting yang perlu diingati dalam menulis kandungan yang baik. 



1)  Pilih subjek anda

Pada suatu masa, inilah bahagian yang paling susah kerana idea untuk menulis itu tidak datang melayang terus dalam kepala. Sebelum menulis, anda perlu ada persediaan asas yang kukuh iaitu memilih topik yang sesuai untuk ditulis. Cuba kekalkan rekod bagi kandungan topik itu. Ini cara mudah untuk membentuk idea-idea baru dan topik, kerana jika anda ada beribu-ribu idea pun, anda sudah mampu untuk bermain dengan perkataan yang banyak yang membantu menghasilkan topik-topik baru selepas itu. Perahlah otak dalam melihat idea yang berbeza dan lihat jika ada sesuatu yang menarik dapat diambil.



2)  Buat kajian

Bila sudah ada topik, maka anda perlu tulis kandungannya. Kebanyakan penulis akan tulis kandungan bila topik sudah diberitahu dan hasilnya menjadi tidak munasabah. Adalah hampir mustahil seseorang penulis dapat menulis 3 atau 4 muka surat hanya dengan sekadar diberi topik tanpa sebarang pengetahuan mengenai topik itu. Sebagai penulis kandungan yang baik, anda seharusnya mula meulis dengan membuat kajian dahulu tentang sesuatu topik untuk mendapatkan pengetahuan asas mengenainya. Ada banyak bahan menarik boleh dirujuk di laman-laman lain yang boleh memberikan anda idea yang segar dan hebat tentang bagaimana anda boleh mula menulis kandungan untuk artikel anda. 



3)  Kandungan asli tak pernah kalah

Kandungan yang asli sangat membantu anda dalam jangka masa panjang. Jika anda tidak dapat keluarkan idea yang asli, mungkin anda bukan berada dalam bidang penulisan ini. Plagiat atau penciplakan hanya akan memalukan diri anda dan dikenakan penalti oleh Google. Maka adalah penting untuk memahami orang akan melihat kandungan tulisan anda kerana ia membantu mereka dengan sesuatu, dan jika mereka terpaksa membaca perkara yang sama dan berterusan, mereka akan bosan kerana mungkin sudah membacanya di laman lain. Oleh itu kekalkan keaslian kandungan anda kerana ia mencerahkan perjalanan anda dalam dunia penulisan untuk jangka masa panjang.  




4)  Menulis semula

Menulis semula adalah perkara yang sangat penting bagi penulis. Anda tidak akan dapat kandungan yang padat jika menahan diri daripada menulis semula kerana tiada siapa pun dapat menulis kandungan berkualiti dalam draf pertama. Setiap hasil kerja perlukan pembetulan dan penambahbaikan di beberapa bahagian. Kalau tidak berpuas hati dengan draf pertama, buat draf kedua dan seterusnya. Cubalah tukar kandungan yang asli yang boleh merangsang dan mengkagumkan pembaca anda. Menulis kandungan yang bagus termasuk juga menulis semula sebagai peraturan asasnya.




5)  Kandungan yang tepat dan mudah difahami

Ramai orang tidak suka untuk membaca artikel yang panjang meleret-leret, seolah-olah tanpa ada bahagian berhenti. Mereka biasanya akan mudah hilang fokus pada apa yang ingin disampaikan dalam artikel itu ketika asyik membacanya. Untuk menjimatkan masa dan memastikan pembaca tidak letih membacanya, kekalkan momentum pada isi yang ingin disampaikan, ringkas dan padat. Jangan alihkan pembaca keluar daripada topik yang disampaikan. Cuba sasarkan pada kualiti dan isi kandungan yang ingin disampaikan lebih daripada memberi penekanan pad jumlah perkataan. Ini kerana semakin panjang sesuatu artikel, bukan semestinya ia semakin berkualiti. Tiada apa yang lebih menarik kepada pembaca daripada sebuah kandungan yang ringkas, tepat dan mudah difahami.


6)  Pusingan terakhir

Selepas ada topik, buat kajian, menulis artikel dan draf beberapa kali untuk menyempurnakannya, penulis yang baik akan dapat bezakan antara kandungan yang baik dan yang lemah. Maka inilah masa untuk buat semakan terakhir untuk pastikan ia sudah ditulis dengan sebaiknya. Jika perlukan pembetulan format atau peningkatan kualiti, berikannya sentuhan terakhir dan artikel anda sudah sedia untuk diterbitkan.



7)  Buat promosi

Bila artikel anda sudah ditulis dan sudah sedia untuk diterbitkan, anda perlu buat beberapa perkara dahulu sebelum langkah terakhir. Dapatkan platform untuk terbitkan artikel anda adalah sangat penting. Jika belum ada, jangan ragu-ragu untuk terbitkannya di laman sosial kerana ia boleh membantu anda mendapatkan pembaca yang ramai. Buat kajian anda secara berhati-hati dan pilihlah platform terbaik anda dan karya terbaik anda.



Sumber penulisan penuh kehebatan:  SINI  |    


Hiburan - Black Sails

Kredit kepada: Wikipedia.org
Gambar ihsan: Google Images

 
 
Assalamualaikum.....

 

 
Black Sails ialah satu siri tv bercorak pengembaraan bertumpu di kawasan New Providence Island dan prekuel kepada buku tulisan Robert Louis Stevenson, Treasure Island. Siri ini ciptaan Jonathan E. Steinberg dan Robert Levine untuk siaran Starz yang disiarkan secara percuma di YouTube dan pelbagai platform streaming dan servis video on demand.


Bertumpu pada sekitar 20 tahun sebelum peristiwa dalam buku Treasure Island dan ketika Zaman Keemasan Lanun. Kapten Flint yang digeruni ,e,bawa bersamanya sekumpulan kru yang masih muda yang berjuang untuk terus hidup di New Providence Island. Berdasarkan episod pertama, "Pada 1715, di West Indies, sekumpulan lanun New Providence Island mengancam perdagangan maritim di kawasan itu. Undang-undang negara bertamadun mengisytiharkan mereka sebagai musuh. Sebagai balasannya mereka menegakkan doktrin mereka sendiri iaitu perang ke seluruh dunia." 

Lanun sebenar yang dimasukkan wataknya dalam siri ini termasuk Anne Bonny, Benjamin Hornigold, Jack Rackham, Charles Vane, Ned Low, dan Blackbeard.


 
 
Dalam musim pertama, ia fokus kepada memburu geliung harta Sepanyol, Urca de Lima. Pada awal musim kedua, harta dari Urca de Lima terdampar di pantai Florida dan dikawal askar-askar Sepanyol. Kemudian ia diambil oleh Jack Rackham dan kru mereka pada hujung musim kedua dan membawanya ke New Providence Island. Dalam siri kedua, persoalan bagaimana dan kenapa Flint yang merupakan pegawai tentera dan warga London bertukar menjadi lanun terjawab. Emas Urca de Lima sememangnya bukan rahsia besar buat Flint, ada lagi yang selebihnya.


Dibintangi Toby Stephens, Hannah New, Luke Arnold, Jessica Parker Kennedy, Tom Hopper, Zach McGowan, Toby Schmitz, Clara Paget, Mark Ryan, Hakeem Kae-Kazim, Sean Cameron Michael, Louise Barnes, Rupert Penry-Jones, Luke Roberts, Ray Stevenson


 
Melanun di tengah laut:  SINI  |     


Artikel - Terlekat Dalam Pasir

Kredit kepada: owner
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....


 
Gambar pinjam dari Google


Pada 5.9.17 yang lalu, penulis ke Unisza Besut untuk mengambil orang. Ketika itu, satu majlis perasmian kolej kediamannya diadakan yang turut dihadiri para pegawai dari kerajaan negeri termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh.

Ramai juga yang datang ke majlis itu, jadi banyaklah kenderaan diletakkan di bahu jalan hingga penuh sesak.

Masuk ke jalan menghala ke kolej kediaman, tiada ruang pula untuk parkir. Maka terpaksalah berpatah balik. Ketika membuat pusingan-U di satu ruang, tayar kereta tenggelam pula. Terpaksalah berpanas seketika sementara menunggu bantuan.

Dalam hal ini, masalah akan jadi lebih sukar kalau pedal minyak ditekan berlebihan. Lagi ditekan, tayar akan semakin tenggelam sebab tayar akan berpusing dan menolak pasir.

Satu Hilux orang awam kemudian datang membantu menarik kereta keluar.


Selesai ditarik, penulis parkir di kawasan lain dan sempat makan dahulu untuk mengisi perut    :-)

Kesan daripada ini, bahagian rim tayar, mud guard dan ruang enjin turut dimasuki pasir. Untuk membersihkannya, cuma perlukan semburan angin kuat dari mesin di bengkel.



Artikel - Bila Suhu Naik Tiba-tiba dan Radiator Bocor

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner 



Assalamualaikum.....

Ketika memandu, paparan yang biasa ada pada papan pemuka pemandu ialah kelajuan, odometer, paras minyak dan suhu enjin. 

Apa yang perlu dibuat bila suhu yang normal ketika memandu tiba-tiba naik?
Apa yang pemandu perlu tahu?

Banyak sebab yang boleh membuatkan enjin menjadi panas. Seperti dalam entri sebelum ini, saya pernah tulis antara sebabnya ialah minyak hitam belum ditukar selepas lebih kilometer, kurang air dan mungkin masalah berkaitan radiator. 

Dalam pengalaman kali ini, saya memandu seperti biasa. Suhu enjin juga normal dan tiada masalah. Tiada juga sebarang bunyi yang pelik-pelik kedengaran dari arah enjin. Sehingga berhenti di lampu isyarat menunggu bertukar hijau. Yang pernah berlaku dahulu bila sudah sampai di rumah, suhu enjin naik dan ada bunyi berdesir dari bahagian enjin sebab ada saluran kecil yang sambung ke radiator yang bocor. Yang ini kemudiannya sudah dibaiki dan bahagian itu sudah ditampal (welding).

Pada waktu kali ini, nampak jarum penunjuk suhu enjin tiba-tiba naik perlahan-lahan dan perkara itu belum pernah berlaku sebelum ini. Jadi saya segera berhenti di stesen minyak berdekatan dan buka hud enjin. 

Ketika ini nampaklah sedikit masalahnya. Ada percikan air yang halus keluar dari celah-celah sambungan bahagian atas radiator atau upper tank. Bila penutup radiator dibuka, terus semua air tersembur keluar macam letusan gunung berapi  :-)   Saya kemudian penuhkan semula radiator dengan air baru dan teruskan perjalanan hingga ke sebuah bengkel. 

Bila diperiksa, ada kebocoran di bahagian upper tank ini dan ia perlu ditukar. 

Keesokannya saya ke bengkel yang buat servis khusus untuk radiator, untuk tukar bahagian ini.


Mekanik mulakan kerja untuk cabut radiator







Radiator yang sudah ditanggalkan. Garisan merah tunjukkan bahagian upper tank yang perlu ditukar. Sebenarnya bukan bahagian atas sahaja, bahagian bawah pun perlu ditukar kali ini sebab sudah bertukar warna. Pada bila-bila masa akan datang ia akan bocor juga. Bahagian jaring yang tengah juga ada bahagian tersumbat. Sebab masih boleh digunakan, jadi mekanik cuci sahaja dahulu sebelum dipasang semula.



Bahagian upper tank sesudah ditanggalkan



Alirkan air yang tidak diperlukan keluar


Radiator dengan upper tank baru dan sudah dicuci.


Semua saluran getah yang berhubung dengan radiator dipasang. Selesai dipasang, enjin dihidupkan sambil air dan cecair penyejuk (coolant) diisi dalam radiator. Air diisi penuh bersama cecair ini dalam radiator.





Siap!



Tuesday, October 31, 2017

Hidupan Liar - Zootopia di Acara Kids Frenzy di Stadium Negeri Kuala Terengganu 2 hingga 7 Oktober 2017

Kredit kepada: Souq Marketing, Zootopia, Archer's Crew
Gambar ihsan: Owner 



Assalamualaikum.....


Seksyen Zootopia ini dibuka kepada pengunjnug pada sepanjang hari acara Kids Frenzy yang diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu pada 2 hingga 7 Oktober 2017. 

Seksyen Zootopia ini adalah bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman mengenali, menyentuh, membelai, memberi makan sambil berhibur bersama dengan haiwan peliharaan yang dibawa ke acara ini. Antaranya labah-labah Tarantula, katak Pacman, biawak Iguana, landak, kucing, kura-kura, arnab, ular sawa, burung, ayam, itik serta hamster. 


















Acara Kids Frenzy dibuka kepada pengunjung dari jam 9 pagi hingga 10 malam.