Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Suasana pagi ketika berlangsungnya kejohanan karate hari itu sungguh baik. Secara asasnya dari 'permukaan' dapatlah dilihat semuanya seperti berjalan dengan lancar, alhamdulillah. Selepas semua ahli meletakkan beg masing-masing dan membuat persediaan, saya pula ke meja urusetia dan bertemu dengan penganjur untuk memeriksa semula atau double-check nama-nama ahli yang akan masuk bertanding nanti. Mujur juga kerana didapati terdapat beberapa nama ahli yang tidak datang turut tersenarai dalam peringkat saringan. Nama-nama tersebut adalah sebagaimana yang telah diberikan oleh jurulatih sejak awal lagi. Kiranya kami menghantar 15 orang tetapi kini hanya ada 10 orang. Saya telah meminta penganjur terus memotong nama-nama ini bagi memudahkan lagi acara. Rupa-rupanya bukan saya sahaja, ada lagi pasukan lain turut berbuat demikian.
Memandangkan sudah terdapat beberapa nama yang telah dibuang, saya melihatnya sebagai satu peluang cuba masukkan nama sendiri untuk masuk bertanding. Kalau boleh, kali ini mahu mencuba dalam acara kata kerana dalam banyak pengalaman sebelum ini, saya ada menyertai acara kumite. Begitulah niatnya dan ia sudah dirancang sejak berminggu sebelum itu lagi. Namun, sebagaimana dikatakan penganjur, tidak boleh lagi membuat penambahan atlet kerana mereka mahu semuanya berjalan seperti yang telah disusun. Kecewa juga, tetapi tidak boleh salahkan penganjur sebab mereka pun sudah menyusun semuanya begitu. Kemudian, saya didatangi sendiri oleh salah seorang pengadil meminta saya untuk menjadi pengadil bagi acara kata pada pagi itu kerana mereka masih kekurangan beberapa orang. Sebabnya ada yang belum tiba dan ada pula yang lain turut masuk bertanding bagi acara kumite. ..Eh? Pengadil acara kata? Saya belum pernah ada pengalaman ini. Memikirkan tidak salah untuk mencuba, maka saya 'ya'kan sahaja permintaan itu.
Acara kata selesai sekitar 11.00 pagi. Nampak sahaja mudah tetapi sebenarnya tidak sebegitu sebab yang menyertai acara kata adalah peserta dari banyak aliran dan setiap aliran ada perbezaan dalam kata yang dipelajari. Pada sesi petang, saya menjadi juri bagi acara kumite pula. Yang ini lebih mudah berbanding pada acara kata. Semuanya baik-baik sahaja sehinggalah sewaktu dalam bas untuk perjalanan balik saya ditegur berkenaan terdapat beberapa pertikaian mengenai pemilihan peserta yang menang dalam acara kata. Kedengarannya ramai juga yang kurang berpuas hati sebab ada beberapa peserta yang tidak layak menang diisytiharkan menang. Isunya, bila ada juri dari aliran lain melihatkan kata tersebut menyatakan peserta sekian sekian layak dan dia tahu kata yang ditunjukkan dan dari aliran mana sedangkan saya pula masih kurang dalam aspek itu.
Bagi menjelaskan lagi keadaan ini, saya diberikan contoh dari luar sebagai perbandingan iaitu jika dalam sesuatu acara pomsae bagi taekwondo, seseorang pengadil yang tahu kesemua pomsae sahaja layak menjadi juri dalam pertandingan acara itu. Maka, bagi saya, begitulah juga dalam acara kata bagi karate. Daripada maklumat terbaru, salah satu syarat bolehnya diadakan sesuatu acara kata ialah terdapat sekurang-kurangnya 5 orang pengadil dengan masing-masing 4th-Dan dan ke atas dan daripada beberapa aliran. Ini supaya penilaian, pemarkahan dan pengisytiharan pemenang dapat dilakukan dengan lebih tepat. Berdasarkan risikan, pihak penganjur tersebut dikira tidak layak mengadakan acara kata kerana tidak memenuhi syarat ini. Lebih-lebih lagi bila dapat tahu pada waktu itu terdapat hanya seorang sahaja pengadil bertaraf 4th-Dan. Jika diketahui oleh pihak-pihak berkaitan, maka penganjur berkenaan akan dilarang daripada menganjurkan apa-apa pertandingan pada masa hadapan. Tidak sebagaimana dalam acara kumite kerana mata dikutip berdasarkan serangan pada sasaran dan teknik yang betul. Bila difikirkan kembali, terasa seperti sudah membuat kesilapan paling besar kerana saya belum sampai ke tahap itu lagi untuk mengadili acara ini.
Seperkara lagi, dalam acara kumite pada hari berkenaan, turut diluahkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak apabila terdapat beberapa peserta yang entah dari mana dan tidak diketahui tahap tali pinggangnya menjadi juri di beberapa bucu gelanggang kumite. Lagi teruk, bila mereka tidak memakai pakaian pengadil mengikut dress code yang digariskan dalam peraturan dan tidak juga mengikut syarat menjadi juri iaitu pemegang tali pinggang hitam yang sah sahaja. Justeru, timbul beberapa keadaan seperti berat sebelah yang sungguh nyata kerana ada ketika, mata diberikan bukan pada ketika serangan sudah dibuat dan dapat dilihat dengan tepat. Lebih menyedihkan bila tiada seorang pun pengadil karate 4th-Dan ke atas yang boleh membantah sebarang keputusan atau sebarang keadaan yang tidak mengikut syarat WKF bila sesuatu pertandingan karate diadakan.
No comments:
Post a Comment