MY FOLLOWERS

Thursday, December 14, 2017

Artikel - Karnival Souq Frenzy di Kemaman 24-26.11.2017

Kredit kepada: Archer's Crew
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Karnival Souq Frenzy kembali lagi!

Kali ini, karnival ini berkunjung pula ke Dewan Seri Amar, Kemaman, pada 24-26.11.2017 selepas ia diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu pada bulan lalu. 

Kali ini ia ditambah dengan beberapa lagi permainan selain yang sudah sedia ada. Ia bagi memberi peluang kepada pengunjung cilik untuk bermain dan terus kenal dengan permainan tradisi seperti yang pernah dimainkan oleh generasi terdahulu. Antaranya congkak, terompah gergasi, gasing, lastik, batu seremban/selambut, baling tin, kaki hantu, datuk harimau, dan nenek si bongkok tiga.

Bagi memeriahkan acara ini, pertandingan mewarna kanak-kanak diadakan pada hari kedua. Segmen lain seperti Mystery Maze, Kerjaya Cilik, Sand Art, Face Painting, PS4 masih dikekalkan. Bagi segmen Souq Frenzy, gerai memanah Archer's Crew dan Zootoopia turut dibuka untuk kunjungan orang ramai.














Karnival ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 11 malam.


Artikel - Program Memanah Bersama Pelajar PASTI Bestari Kuala Terengganu 21.11.2017

Kredit kepada: Archer's Crew
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Pada 21.11.2017 yang lalu, kedai memanah Archer's Crew telah dijemput untuk satu program memanah bersama anak-anak PASTI di Kuala Ibai bagi mengisi slot jadual dalam program cuti sekolah yang diadakan oleh pihak berkenaan. Program ini bertempat di depan Dewan Abdul Mutalib, Markaz Tarbiah Kuala Ibai iaitu dalam kawasan Pusat Rawatan Islam Darussyifa.





Program ini disertai oleh 134 orang pelajarnya berumur 4 hingga 6 tahun, daripada 3 buah PASTI.

Program ini bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari.


Artikel - Kelas Asas Memanah Bersama RST 4.11.2017

Kredit kepada: owner, Archer's Crew, RST
Gambar ihsan: owner



Assalamualaikum.....

Satu kelas asas memanah diadakan pada 4.11.2017 bertempat di Balai Raya Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. Kelas bermula sekitar 8.30 pagi ini adalah dikendalikan oleh kelab memanah Rimayah Sunnah Terengganu (RST).

Dalam kelas ini diterangkan beberapa aspek dalam memanah tradisional antaranya berkaitan busur dan anak panah, kaedah-kaedah memegang, langkah keselamatan sebelum memanah, berat tarikan (draw weight) dan panjang tarikan (draw length) yang sesuai untuk setiap pemanah. 



Selesai di kelas, ahli ke lapangan memanah di Bestari.com untuk latihan memanah. Di sini ahli baru diberi tunjuk ajar tentang teknik memanah. 

Kelas ini diadakan sebagai pendedahan dan tambahan ilmu kepada ahli lama dan ahli baru.

Artikel - Pameran Keris dan Seni Purba 28.10.2017

Kredit kepada: owner, Archer's Crew
Gambar ihsan: owner



Assalamualaikum.....

Diadakan di rumah lama Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Pameran ini diadakan selama sehari dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang. Ketika pameran ini, pertandingan barang lama dan keris lama, serta persembahan silat turut diadakan.







Archer's Crew turut membuka gerai di pameran ini. Pengunjung turut berpeluang mencuba memanah cara tradisional dan bertanyakan tentang perkhidmatan yang disediakan.







Selain itu gerai jualan juga dibuka untuk kemudahan pengunjung yang turut menjual setanjak serta barangan lain.


Artikel - Tukar Tayar Bila Lepas Tamat Tempoh

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Tayar adalah salah satu bahagian yang paling perlu diambil berat ketika melakukan perjalanan. Setiap tayar depan dan belakang ada had kilometer yang perlu diberi perhatian. Bagi tayar depan, ia perlu ditukar setiap 40,000 km dan tayar belakang pula pada setiap 80,000 km. Perkara ini pernah saya tuliskan dalam artikel yang terdahulu.


Boleh rujuk SINI dan SINI untuk selanjutnya.





Hadiah promosi dari Goodyear - Tukar 4 empat dan dapat satu bekas air percuma  :-)


Yang terbaru, penulis tukarkan kesemua tayar setelah didapati semua bunga tayarnya 'botak' dan ada yang sudah hampir terkeluar benangnya.

Sedikit tips, kalau mahu keadaannya seimbang, setiap 10,000km perlu buat 'crossing' iaitu pindahkan tayar depan dan belakang. 


Sekadar Luahan - Bestnya Daging Arnab Goreng

Kredit kepada: Archer's Crew, Zootoopia
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Asalnya pagi tadi, saya dengan rakan bisnes dijemput untuk hadir pada sebuah program bagi mempromosikan memanah tradisional yang kami usahakan. Oleh sebab terfikir untuk luaskan peluang menjana kewangan, kami putuskan untuk tutup segmen kami selepas Zohor dan selepas itu ke tempat lain untuk buka gerai. Tambahan sebab petang ini cuaca cerah dan sesuai untuk aktiviti luar. Sama seperti hari lain ketika cuti hujung tahun, lokasi yang kami biasa buka gerai akan dikunjungi ramai orang dari serata tempat. Ada juga yang datang dari jauh. Adakalanya sampai sesak.

Selepas tutup gerai, kami singgah ke sebuah studio haiwan peliharaan. Puas melihat-lihat semua haiwan dalam studio, kami layan pula arnab yang di luar. Niatnya untuk singgah sekejap sebab kawan itu kali pertama ke studionya, tetapi sebab disuruh tunggu, maka kami pun tunggu sahaja. Kami ikut sahaja kata tuan empunya tempat.

Dua ekor arnab kemudian diambil dan disembelih. Oleh sebab hari ini masing-masing belum makan apa-apa dari pagi, jadi kami pun terimalah pelawaan tuan rumah untuk dijamu dengan daging arnab goreng. Sedap ke? Memang sedap walaupun dagingnya sedikit liat.



Perancangan untuk buka gerai petang ini? Ditangguhkan ke petang esok.

Rancangnya lain, datang pula rezeki lain.