Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Mana semua orang nie...??
Dari masa sebelum berlangsungnya kejohanan di utara semenanjung yang disertai sebelum ini, kedatangan ketika sesi latihan sentiasalah tidak memuaskan, sentiasa ada sahaja on-off-on-off. Bermacam cara sudah dicuba. sudah disembur dalam mesyuarat, sudah disembur dalam kelas, pun tidak beri apa-apa kesan. Keadaan 'baik' itu hanya sementara, hanya sekali kelas atau dua, kemudian jadilah semula seperti biasa, sentiasa dengan on-off-on-off sahaja. Jika mahu dimarah dalam bilik mesyuarat pun, berapa kali lagi harus dibuat begitu baru semua orang akan berubah? Sebab setiap kali mesyuarat pun tidak jadi apa, semuanya bak curah air ke daun keladi. Sampailah ke satu tahap, si jurulatih buat latihan lain pula ketika sesi latihan iaitu 'latihan telinga'. Maka masaklah telinga semua budak-budak dileteri itu ini pot-pet-pot-pet dari awal mulanya kelas jam 8.30 malam sehingga 11.00 malam. Saya pernah coretkan dalam segmen ini.
Apa lagi yang boleh kami tegurkan budak-budak ini untuk jadikan kelas ini sebaik dahulu atau sebaik kelas lain di KL atau di Selangor atau di Negeri Sembilan yang terdiri daripada budak-budak yang penuh dengan disiplin dalam aspek kedatangan dan ketepatan masa? Teringat juga, sewaktu berlatih ketika di zaman remaja di Negeri Sembilan dahulu. Latihan pada waktu itu diadakan pada hujung minggu. Budak-budak biasa datang awal, buka pintu dewan, sapu sampah dan habuk sebelum buat warming up sendiri. Sensei hanya goyang kaki sebelum semuanya selesai. Kemudian barulah latihan bermula. Senang hati sensei. Anak murid buat kerja tanpa perlu disuruh! Kalau di sini, adakah begitu? Hampeh!! Bukan murid yang datang awal, tetapi cikgunya! Sudahlah lewat, jauh sekali mahu sapu lantai foyer sebelum latihan. Ujian itulah, inilah, dan pelbagai lagi alasan yang sudah letih untuk didengar. Lagi teruk bila yang tiada apa-apa ujian pun buat-buat macam ada ujian. Sudahnya bayang pun entah ke mana!
Bila 'disesah' dengan latihan sebelum ke kejohanan, barulah baik sikit keadaannya. lpas 'disesah' dgn latihan sblm pegi kjohanann kPun begitu, masih tidak puas hati dengan kedatangan ahli yang sentiasa tidak konsisten walaupun adakalanya ramai pula yang dapat datang. Pernah di suatu sesi, hanya dua orang sahaja yang datang. Tanpa mahu buang masa, kami teruskan juga. Ajarkan juga asas-asas yang perlu. Sekurang-kurangnya dapat juga ajar sebahagian ilmu yang tidak seberapa ini. Selepas itu, ramai pula yang datang. Latihan daripada 2 kali seminggu ditambah kepada 3 kali seminggu untuk mantapkan persediaan.
Sewaktu kejohanan, kelab sudah hantar nama 15 orang yang akan bertanding, namun yang datang hanya 10 orang. Apa jadi? Seorang terkehel tulang bahu, si mat bunga pula takut, dan sebagainya. Bila sampai di meja pendaftaran pada pagi acara, nasib baiklah sempat lihat senarai nama dalam peringkat saringan. Semua nama termasuk 5 orang yang tidak hadir itu sudah disusun siap-siap oleh pihak penganjur. Keputusan mereka telah muktamad dan mereka tidak lagi membuka apa-apa pendaftaran untuk penambahan atlet baru. Kecewa juga bila dapat tahu yang sedemikian. Kalaulah diikutkan hati, mahu sahaja disalahkan semua 5 orang yang tidak datang itu sebab dirasakan kali ini mereka seperti betul-betul memberikan masalah dan menyusahkan kami!
Adakah masalah hanya setakat itu? Ohh, tidak..jauh sekali.. Sewaktu kejohanan itu berlangsung, seorang sensei kami ada bertanya pada seorang kawan kami dari satu kelab di sana yang datang bertanding. Dia tanya "Team hang, semua mana?" dan hanya dijawab "Kemelut!" Nahh! Hanya sepatah perkataan, maka kami pun jelaslah betapa besarnya masalah yang melanda dalam kelab kami cuma tidak disangka rupanya ada juga cawangan lain yang turut berdepan masalah sepertimana kami juga di sini. Pernah juga saya tanyakan pada jurulatih ini pendapatnya, adakah semua budak-budak zaman sekarang ini memang dilahirkan untuk jadi budak manja dan ayu-ayu belaka tidak kira lelaki atau perempuan? Dia sendiri tidak tahu apa lagi mahu dikata, adakalanya sampai mengeluh. Penat! Lagi memburukkan keadaan bila ada pula yang sentuh isu 'hormat' di laman FB. Bandingkan sendiri, jika di zaman dahulu, perkataan 'hormat' atau 'respect' sangat jelas dipraktikkan dalam hidup, sehinggakan bukan sahaja di sekolah tetapi jika terserempak dengan cikgu di mana-mana pun, ada murid akan lari. Zaman sekarang terbalik pula, budak-budak pula lebih sudu dari kuah.
Ceritanya, malam Rabu baru-baru ini, latihan dijadualkan berjalan kembali seperti biasa jam 8.30 malam. Ini untuk menyambung semula latihan sebelum ini dan sekaligus menumpukan pula perhatian pada ujian kenaikan gred yang akan diadakan dalam 3 minggu lagi. Malam itu, saya gantikan tempat cikgunya memandangkan dia tidak sihat. Tak apalah, oleh sebab tiada masalah, maka saya datang juga. Setiba di depan foyer, terdiam sekejap sebab seorang pun tiada! Dengan perut yang mula kelaparan saya tunggu selama hampir sejam sebelum putuskan untuk pulang dan makan. Selesai makan, saya ke cc untuk kemaskini apa yang perlu di laman persatuan. Yang semakin buatkan saya naik darah bila terbaca satu notis yang diletakkan pada wall FB yang kononnya bercerita hal 'respect' ini. Salah satu komen berbunyi 'kalo kita respek org, org akan respek la kita balik'. Begitulah lebih kurang, siap dengan LIKE lagi. Dengan rasa jantung seperti mahu meletup dan semua organ seperti mahu pecah keluar, saya balas kembali beserta tag kepada si 2 orang yang sibuk berbalas komen itu "especially kpd smua yg xdtg klas mlm ni, where's the respect in that?!" yang kemudian dibalas "saya dh bgtau xdpt dtg mlm ni" Saya balas kembali "Justeru, mana yg lain2?!" sebelum dijawab "tidak tahu" dan kemudian semuanya senyap...
Begitulah nampaknya keadaan penyakit post-tournament disorder ini atau singkatannya PTD, setiap kali selepas apa-apa kejohanan. Suatu penyakit dalam kelab kami yang tidak menimpa seorang tetapi beberapa orang sekaligus. Bukan di tempat saya sahaja, malah di tempat lain juga keadaannya sama. Kesannya, sesebuah kelab itu tiba-tiba jadi senyap dan seakan 'hilang'. Seketika atau kekal, itu wallahualam... Ada diluahkan oleh salah seorang kawan, sebelum bermula acara, bukan main lagi buat persiapan itu ini. Tamat sahaja acara dan sudah menang pingat, semuanya hilang.
Latihan selepas ini? Hmmmm... entahlahh labuu......