Credits to: Umat Terakhir
BULAN KEBERKATAN
Selamat menunaikan ibadah puasa...
Ramadan tiba lagi. Ada segelintir yang mahu ambil peluang untuk kuruskan badan, niat pula sudah jadi lain daripada tujuan asal berpuasa. Niat untuk kuruskan badan, bukan niat total untuk puasa fardhu kerana Allah. Walaupun mahu kuruskan badan dan menjaga kesihatan, niat berpuasa yang sebenar mesti disandarkan kepada Allah. Hanya DIA Maha Memakbulkan. Jika DIA mahu anda menjadi lebih kurus selepas Syawal, maka anda akan kurus seperti kehendak-NYA. Itu bonus untuk anda. J
Ramadan ialah bulan untuk kita belajar. Belajar membersihkan jiwa, memperkasa iman, memperelok akidah, meningkatkan kualiti ibadah, memperbanyakkan solat berjemaah, belajar melembutkan lidah dengan perkataan baik-baik, memperbanyakkan ucapan bermanfaat, menjinakkan nafsu, memelihara anggota badan daripada kemurkaan Allah, bermuhasabah diri, belajar menjadi insan mengikut definisi sebenar yang dikehendaki-NYA.
Survival
Survival. Belajar untuk survive di bulan mulia, Ramadan. Anda ada dua pilihan untuk belajar meneruskan survival dalam hidup ini, ia bukan hanya pada bulan Ramadan. Pertama, survival nyawa dan jasad. Kedua, survival iman dan akidah.
Jika Allah mahu nyawa kita terpisah daripada jasad, maka ia akan terpisah tanpa halangan. Kalau terjatuh semasa berjalan pun kita boleh meninggal dunia, kalau itu yang Allah mahu. Jika tercekik makanan semasa makan pada waktu siang di bulan Ramadan pun kita boleh mati, jika Allah berkehendakkan begitu. Kalau berperang fisabilillah, pasti terdedah nyawa menanti maut lalu syahid, itu pun jika Allah mahu kita syahid. Mati itu pasti datang sebagaimana janji-NYA kepada tiap makhluk.
Nyawa pasti terpisah daripada jasad. Jasad pula hanya pinjaman, ada cagaran untuk pinjaman? Jasad pula tidak selamanya kekal. Sampai masa, baliklah ia kepada tanah. Walau sekuat mana daya survival kita untuk terus hidup, kita pasti mati juga.
Namun jika kita meneruskan survival iman dan akidah, adakah ia akan terkubur bersama jasad yang dipinjam? Jasad pastinya akan kekal di alam kubur menanti kiamat kerana di situlah tempat kembali sementara. Apabila mati tanpa iman, roh diremuk di dalam kubur. Tiada guna untuk menangis, menjerit menahan seksa kubur. Azab. Sudah terlewat untuk menangis. Tiada guna lagi tubuh yang sasa untuk melawan dan menahan seksaan amat pedih.
Jasad kita boleh survive kalau perut lapar, tapi bolehkan iman survive semasa menahan lapar dan dahaga. Itu baru mengenai lapar dan dahaga pada bulan Ramadan. Kalau hanya bekerja sepanjang hari di pejabat, mungkin kurang ujiannya. Tapi kalau ada di antara kita yang setiap hari bekerja di luar pejabat dan bertemu dengan pelbagai manusia di luar sana, mampukah iman kita survive?..
Di luar, kita lihat orang bukan Muslim merokok dan makan di warung-warung, melihat gadis-gadis berpakaian seksi dan melihat pelbagai lagi yang mampu menggoyah survival iman. Atau mungkin sahaja kita tiba-tiba diambil nyawa oleh Allah ketika itu, ketika sedang diuji. Sempatkah iman kita survive? Jangan sampai tak sempat wahai sahabat-sahabat.
Meneruskan kelangsungan hidup atau survival itu wajib di sini Islam. Allah mengutamakan kepentingan manusia dalam banyak perkara yang kadang-kala kepentingan agama menjadi jatuh di tempat kedua apabila kepentingan kesejahteraan manusia perlu diutamakan melebihi lain-lain kepentingan.
Perumpamaan
Jadilah survivor yang tahu membezakan. Katakan, kalau anda sesat di hutan belantara dan tiada makanan untuk dijamah. Lalu, anda melihat ada seekor babi melintas di hadapan anda di dalam hutan tebal itu. Anda tiada pilihan lain untuk mendapatkan makanan selain babi itu walaupun ia haram di sisi Islam. Anda wajib meneruskan kehidupan. Anda tangkap babi itu walaupun pada dasarnya babi itu haram dalam kategori najis berat. Namun, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang membenarkan manusia Muslim menjadikan babi itu sebagai makanan kerana Allah lebih utamakan kepentingan manusia dalam situasi itu. Kepentingan manusia diutamakan, manakala kepentingan agama menjadi perkara kedua. Apa maksud yang ingin disampaikan di sini? Ada maksud jahatkah? Jangan cepat melatah dan prejudis, nampaknya sudah ada yang mula prejudis terhadap saya dalam artikel-artikel terdahulu. J Maksud saya ialah, Allah itu Maha Penyayang dan amat menyayangi manusia. Lalu, Allah halalkan sesetengah perkara dengan bersyarat ketika saat memerlukan.
Kita ambil contoh satu lagi. Anda masih sesat di hutan pada minggu kedua. Keadaan sama. Tiada makanan, anda nampak seekor babi lagi. Lalu, anda mahu jadikan ia sebagai makanan sebagaimana anda makan pada minggu lalu. Anda tangkap babi itu. Selepas ditangkap, anda menempatkan pisau di leher babi itu dan sembelih dengan menyebut Bismillah. Anda lapah, ambil dagingnya sedikit untuk sekadar jamah menghilangkan lapar (bukan jamah semua, hanya sekadar hilangkan lapar sahaja), anda menyalakan api seperti minggu lalu untuk memanggang dagingnya. Selesai memanggang, anda perlu memakannya untuk meneruskan kewajipan terus hidup. Anda baca Bismillah sebelum makan walaupun berat hati untuk menjamah daging haiwan itu. Selepas membaca Bismillah dan mahu makan, tiba-tiba datang seekor haiwan lain yang juga hamba Allah. Ia datang mengembek.. “mmbekk mmbeekk” bunyinya. Apa yang akan anda buat? Mahu terus jamah daging babi itu atau mengenepikannya terus atas sebab sudah datang seekor kambing yang jelas halal dimakan. Sekarang, apa hukum daging babi itu tuan-tuan dan puan-puan? Apa harus anda buat wahai tuan-tuan dan puan-puan semua?
Buang daging babi itu, lupakan ia kerana sudah datang sesuatu yang lebih baik lagi halal. Tinggalkan daging babi yang sudah dipanggang lagi sedia untuk dimakan itu dan tangkaplah kambing itu. Sembelihlah kambing itu dengan menyebut nama Allah dan makanlah dan ucaplah Alhamdulillah. Pangganglah semua dagingnya dan buatlah stok makanan sementara mencari jalan keluar dari hutan. Apa maksud ni.. tak faham lagi?
Maksud saya ialah....
Kalau kita sudah lama bergelumang dengan perkara tidak bermanfaat sepanjang hidup kita, kemudian tiba-tiba kita menemui sesuatu yang lebih berharga (Nur jalan yang lurus) dan halal di sisi Allah. Maka ambillah yang halal itu dan tinggalkan yang haram itu walaupun sudah berada diambang mulut untuk ditelan. Perkara haram perlu ditinggalkan jika sudah ada perkara halal. Kemungkaran harus ditinggalkan jika sudah tahu ia berdosa untuk dilakukan. Itulah survival dalam menjaga akidah dan iman. Kalau kita sabar, Allah akan tunjukkan jalan kerana DIA Maha Penyayang terhadap semua hamba-NYA.
Iman biarlah tidak rentung dibakar api, walaupun jasad sudah pasti musnah. Iman biarlah tidak lut ditusuk pedang walaupun nyawa sudah pasti melayang. Iman biarlah tidak lemas di dasar lautan walaupun jasad sudah tidak mampu berenang ke tepian. Iman biarlah tidak mati, walaupun jasad dibunuh kaum kuffar. Tapi pada masa yang sama berusahalah untuk survive kedua-duanya (jasad dan iman), keluarlah dari api selagi boleh, berenanglah selagi mampu, berlawanlah dengan kuffar selagi terdaya. Berjihad memelihara iman dalam apa juga keadaan. Jadi, survival iman dan akidah akan terus survive jika kita tahu survival mana yang perlu diutamakan dalam tuntutan masa-masa tertentu.
Ramadan ini, janganlah ada di antara kita yang gagal dalam survival iman akibat tidak tertahan dengan tuntutan nafsu. Ingat, kita boleh mati pada bila-bila masa jika DIA mahu. Maka, berusahalah untuk pulang kepada DIA dalam keadaan yang diredhai-NYA. Mati pasti datang. Tiada penawar untuk menjauhkan mati. Tidak ada.
Biarlah roh selepas mati diangkat dengan penuh keredhaan-NYA. Jangan pula roh diremuk dengan sekeras-kerasnya sebagai balasan terhadap keengganan kita menuju ke jalan-NYA selepas kita tahu sesuatu perkara itu mana yang haq dan mana yang bathil. Kalau sudah tahu ia haram, maka tinggalkan segera. Jangan musnahkan diri sendiri.
Menangis…. Mati itu pasti datang… Jasad pasti terkulai… Jasad umpama tangki, manakala iman umpama air.. Tangki boleh musnah apabila dipecahkan, tetapi air di dalam tangki tidak akan hancur..sebaliknya akan mengalir ke lautan dan kekal sepanjang zaman... Yang hancur hanya tangki, tetapi bukan air...
Ambillah keberkatan Ramadan ini untuk kembali kepada jalan-NYA yang lurus. Ambillah peluang ketika semua pintu syurga dibuka ini untuk memohon keampunan-NYA. Bertaubatlah. Menangislah...... Sedarlah bahawa Allah sayangkan manusia meskipun manusia kerap lupa kepada Allah. Sedarlah bahawa Allah itu Maha Perkasa dan tiada yang lain lebih gagah daripada-NYA.
Sedarlah bahawa manusia ini lemah dan Allah itu Maha Gagah. Allah masih memberi kita rezeki meskipun kita kerap lupa kepada-NYA. Allah sayangkan kita.... Menangislah dengan penuh kekesalan dan kesedaran.... selagi air mata taubat masih berharga... Menangislah sebelum kiamat kecil melanda… Menangislah…. Selagi air mata taubat masih dipandang oleh-NYA…. Jangan malu kepada Allah untuk menangis memohon keampunan dari-NYA… Menangislah… Air mata taubat itu jauh lebih berharga daripada wang ringgit dan keegoan.. Menangislah…. Ambillah keberkatan Ramadan untuk bertaubat nasuha….
Menangislah… menangislah… menangislah…