MY FOLLOWERS

Tuesday, January 1, 2019

Sekadar Luahan - Catatan Perjalanan Terengganu-Kuantan 13-16.12.2018

Kredit kepada: owner
Gambar ihsan: owner


Perjalanan jarak jauh kali ini adalah bersempena dengan jemputan untuk menyertai karnival Discovery World anjuran Souq Ideas and Marketing. Kami sudah bersama dengan pihak penganjur ini bermula dari tahun 2017 sewaktu menyertai Karnival Kids Frenzy di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Untuk kali ini, kami mulakan perjalanan selepas dimaklumkan tarikhnya pada 14-16.12.2018. tarikhnya diubah daripada tarikh asal iaitu pada 7-9.12.2018 berikutan ada perkara yang perlu diselesaikan. Perkara ini hanyalah urusan pihak penganjur dan tidak bersangkut-paut dengan bisnes Sanrie Sport Ventures.

Kami mulakan perjalanan pada 13hb jam 1.30 petang dan mengambil jalan biasa bukan lebuhraya. dari Kuala Terengganu terus hingga ke Dungun, Kemaman dan menghala ke Kuantan.



Di sepanjang perjalanan, cuaca mendung dari Kuala Terengganu hingga masuk ke Kemaman, dan bertukar hujan lebat apabila tiba di jalan dua lorong sebelum tiba berdekatan laluan ke Pelabuhan Kuantan. Di situ, cabaran bermula kerana asalnya mahu sampai ke homestay sebelum jam 4 petang oleh sebab waktu check-in ditetapkan dari jam 3-4 petang.

Setibanya di laluan itu, kami terpaksa berdepan keadaan jalan yang dinaiki banjir. Beberapa kenderaan terpaksa berhenti, dan diarahkan berpatah balik dan masuk ke laluan menghala ke Pelabuhan Kuantan. Di situ, laluan kami dilencongkan menghala berdekatan depot dan masuk semula ke kawasan bandar Kuantan.


Jalan yang melencong melalui Pelabuhan Kuantan




Sekitar sejam sebelum sampai, kami terpaksa melalui laluan yang dinaiki air yang teruk. Teruknya hingga membuatkan kenderaan ringan dari laluan bertentangan terpaksa 'tumpang lalu' menggunakan laluan kami buat sementara berikutan laluannya tidak boleh dilalui. Keadaan yang sama dengan sebelum pelabuhan kuantan tadi. Sewaktu dalam perjalanan kami terpaksa juga menghubungi tuan punya homestay dan memaklumkan akan kelewatan disebabkan cuaca hujan lebat, dan banjir yang tidak dapat dielakkan.





Sesudah selamat melalui keadaan banjir, kami tiba di bandar Kuantan dan menghala ke homestay di Kampung Jawa. Kami tiba di homestay jam 5.30 petang.




Karnival akan bermula jam 10 pagi. Jadi selepas bersiap-siap, bolehlah bersiar-siar sekejap di sekitar pasar pagi yang berdekatan dengan homestay. 





Untuk urusan persiapan booth di Dewan Wisma Belia, perjalanan ke sana hanya mengambil masa selama 10 minit dan berpandukan GPS yang ada. Ketika membuat persiapan pada malam itu, suasana masih hujan. Keadaan ini berterusan dan hanya reda sekejap sahaja dan kembali hujan. Kami selesai membuat persiapan pemasangan booth sekitar jam 10 malam.


Hari terakhir karnival, pagi itu kami sudah check out dari homestay sekitar 10 pagi memandangkan bayaran penginapan dibuat hingga hari ke-3 ini sahaja.

Kemeriahan suasana hari itu berterusan dari pagi hingga ke petang sahaja. Pengunjung yang datang juga ramai, walaupun tidak seramai ketika karnival ini diadakan di Bangunan TD1303 di Kuala Terengganu pada bulan lepas. Difahamkan, keadaan selepas petang sunyi daripada kunjungan disebabkan keesokannya ramai yang bekerja. Maka, santai sahajalah dari petang hingga waktu karnival berakhir jam 10 malam.

Oleh sebab itu, sekitar jam 10.30 malam, kami pun beransur-ansur mengemas booth dan mengira tiket. Begitu juga dengan booth lain. Suasana malam itu tidaklah hujan. Maka mudahlah sedikit untuk menempuh perjalanan untuk pulang. Selepas selesai, kami singgah sebentar di sebuah kedai makan untuk mengisi perut.

Jam 12.15 tgh mlm, kami teruskan perjalanan. Kali ini kami gunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur melalui Kuantan ke Kuala Terengganu. Kami berhenti rehat di hentian rehat paka jam 1.30 pagi. Bolehlah solat dan rehatkan kaki sekejap sambil bersembang dan periksa jarak perjalanan menerusi GPS.

Sekitar 2.20 pagi, kami teruskan perjalanan. Tidak seperti tadi, cuaca mulai hujan sekali-sekala walapun tidak lebat. Suasana lebat hanya setelah beberapa kilometer melepasi Plaza Tol Ajil jam 3 pagi dan menghala ke Bukit Payong lebih kurang jam 3.30 pagi.

Sebelum tiba, saya hantar dahulu seorang pekerja kami dan barulah tiba di rumah jam 4 pagi.




Wednesday, December 19, 2018

Artikel - Enjin Meragam dan Spark Plug Tidak Berfungsi

Kredit kepada: owner
Gambar ihsan: owner


Kes enjin meragam lagi...


Kalau yang dulu, kes enjin jadi meragam disebabkan berlaku perkara-perkara berikut:

  • Kabel crank sensor yang bersambung dengan enjin sudah tidak berfungsi, membuatkan enjin jadi tersedut-sedut dan kereta susah untuk dihidupkan semula.
  • Bateri 'kong' dan starter tidak hidup



Kali ini saya bawakan satu lagi kes berkaitan enjin yang meragam...

Dalam kes kali ini, enjin kerap kali mati sendiri walaupun ketika sedang dipandu dalam perjalanan ke mana-mana. Adakalanya tersedut-sedut dan muncul isyarat bateri pada dashboard pemandu.

Untuk selesaikan masalah ini, saya ke bengkel dan periksa. Didapati bahagian ignition coil rosak dan salah satu spark plug tidak hidup, yang satu lagi dalam keadaan kurang baik untuk menghantar api ke piston enjin.









Oleh itu saya gantikan bahagian ignition coil ini dan semua 4 biji spark plug itu.

Sekadar Luahan - Cerita-cerita Baru...

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images






Sekitar tahun 2017, bermulanya tirai baru. Kali ini saya bekerjasama dengan seorang rakan lain memulakan perniagaan dengan label kami sendiri. Senang sedikit sebab tidak perlu hantar resume ke mana-mana, dan mula bangkit dari bawah. Hujan panas dan segala penat lelah itu lumrah dalam dunia usahawan. Satu dunia yang pada saya agak asing sebab bukan dari latar belakang orang berniaga, namun atas sebab tertentu dan sedikit tunjuk ajar, maka dapatlah saya lalui segala susah senangnya.

Ada harinya kutipan sedikit, ada harinya dapat banyak. Hujung minggu, cuti umum, cuti persekolahan, jemputan program sekolah, dan sertai acara menjadi waktu untuk kami buat duit. Itu semua lumrah. Lega hati bila dapat gunakan hasil daripada semua ini untuk isi perut yang menunggu di rumah. Sedikit tetapi adakalanya seperti lambat habis. Kalau hampir habis pun, akan ada yang menyambungnya daripada terputus. Seolah-olah Allah panjangkan tempoh rezeki itu.

Belum lagi sertai acara besar jemputan daripada penganjur. Bila sertai, dengan ramainya hadirin maka banyaklah kutipannya.

Yang terbaru pada hujung Oktober 2018 yang lalu. Penganjur lanjutkan tempoh acara sehingga dua minggu. Sambutannya meriah. Maklumlah, waktu budak sekolah selesai peperiksaan dan sebelum menutup sesi persekolahan.

Tamat tempoh acara itu, bila saya lihat semula rekod, alangkah baiknya. Satu tambahan modal yang besar untuk bisnes ini.

Teringat semula dengan rakan lama dahulu yang jenis depan lain belakang lain. Yang baiknya kali ini, itu hanya tinggal sejarah. Tiada lagi tekanan dan sakit hati sampai kena tukar nama blog. Kalau sertai acara pun, ia terhad sebab ia bukan bisnes di tempat awam. Bayarannya pula terlalu kecil dan bukan sentiasa ada. Memanglah orang di rumah bising dan kecewa sebab jumlah sekecil itu tidak mampu untuk berikan apa-apa, sangat jauh daripada kais pagi makan pagi. Kalau hati tidak cekal, akan jadilah masalah lain.

Kini, di laman Facebook pun, banyak rakan baru yang ditambah. Rata-ratanya bergiat dalam bisnes. Pelbagai bidang, macam-macam boleh tengok. Makanan, kosmetik, percutian, barangan sukan, takaful, kad sim prabayar dan beberapa lagi.


Sekadar Luahan - Ungkit Cerita Lama

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images





Rasanya sudah agak lama tidak menulis di segmen ini.

Ah, kalau terlupa pun, boleh rujuk semula tarikhnya pada blog.

Banyak sebenarnya perkara yang berlaku di sekeliling saya dan pelbagai liku telah dilalui cuma keadaan masa yang berubah membuatkan tiada kesempatan untuk menulis.

Saya teringat juga. Paling kerap saya menulis di ruangan ini antara 2010 hingga 2014 sebelum ia semakin berkurangan. Pelbagai isu diluahkan. Tulisan saya di ruang ini berkurang selepas tiada lagi rasa atau 'mood' untuk meluahkan apa yang terbuku selepas berlaku selisih faham antara saya dan seorang kawan.

Jenis yang saya sangka baik depan mata tetapi tidak pula disangka bila di alam maya, habis segala rasanya dihambur keluar dengan rasa seperti bongkak. Habis diluah sehingga saya rasa tiada ruang untuk tegakkan apa yang baik daripada pandangan saya. Hati mana yang tak panas? Seolah-olah dia betul segalanya.

Kesudahannya bila saya di'unfriend' di laman Facebook baru saya rasa sedikit lega. Buat apa mahu simpan jenis manusia begini sebagai kawan. Depan-depan cakap elok, tetapi di belakang kita dimakannya. Ekoran daripada itu, banyak coretan di dinding Facebook telah saya padamkan. Begitu juga di laman blog, banyak entri berkaitan telah saya padamkan dan nama blog juga saya tukar. Ah, kalau dia cuba cari dengan niat mahu hentam, biarlah! Rasakan!




Artikel - Program Memanah Sanrie Sport Ventures 28-29.11.2018

Kredit kepada: SSV
Gambar ihsan: SSV



Cuti sekolah sudah bermula.

Maka, tempoh cuti yang agak panjang ini, kami berpeluang sekali lagi untuk memenuhi jemputan daripada pelbagai pihak bagi mengisi slot program mereka. 

Bulan lepas, kami berpeluang terlibat selama 2 hari di dua tempat yang berbeza.


Pada 28.11.2018, kami dijemput mengisi program bersama pihak Masjid Kampung Pauh di Jenagor. Program berkenaan diadakan secara santai dan terbuka kepada orang sekitar masjid untuk datang dan mencuba sukan sunnah ini. Untuk program ini, kami berada di sini dari jam 3 hingga 6 petang.

















Keesokannya, kami sekali lagi bersama Jabatan Agama Islam Marang bagi memeriahkan program mereka sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Marang. Program ini diadakan di Masjid Kampung Rawai dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari. 

Di masjid ini, memanah adalah salah satu acara yang diadakan bagi memeriahkan sambutan. Di samping itu, turut diadakan pertandingan azan dan membaca khutbah Jumaat. 













Wednesday, November 21, 2018

Kamen Rider - Kamen Rider Drive

Kredit kepada: Wikipedia
Gambar ihsan: Google Images







Kamen Rider Drive ialah siri tokusatsu yang ke-16 dalam siri Heisei Rider Series dan yang ke-25 daripada seluruh sirinya.

Shinnosuke Tomari ialah seorang bekas anggota polis elit, yang telah dipindahkan ke Divisyen Siasatan Khas selepas berlaku satu kejadian yang menyebabkan trauma kepada salah seorang rakan sekerjanya.

Divisyen ini menumpukan tugas kepada insiden-insiden pelik yang berlaku di bandarnya khususnya yang dipanggil 'Heavy Acceleration'.

Keadaan yang dipanggil 'Heaviness' oleh orang awam menyebabkan mangsa tidak dapat bergerak. Bila Shinnosuke dipilih oleh Drive Driver dan Tridoron, dia bertukar kepada Kamen Rider Drive dan ditugaskan memerangi Roidmudes yang akan memerangi manusia.

Shinnosuke dibantu oleh Kiriko Shijima dan abangnya Go, iaitu Kamen Rider Mach. Chase, satu Roidmudes istimewa dengan masa silam yang aneh dikenali sebagai Proto Drive bertukar menjadi jahat sebagai Mashin Chaser dan mengambil identiti Rider sebagai Kamen Rider Chaser.

Bagaimanapun, ancaman lebih besar muncul dalam bentuk ayah kepada Kiriko dan Go, saintis yang mencipta Roidmudes yang telah kehilangan tubuh badannya sekian lama telah muncul semula dalam bentuk kejahatan dipanggil Gord Drive berniat jahat untuk menggunakan saki-baki Roidmudes dalam rancangannya sendiri untuk menakluki dunia.



Menentang kejahatan:  KLIK SINI