MY FOLLOWERS

Thursday, February 7, 2013

Artikel - Kisah Irfan, Izzah dan Ikan Bakar :-D

Kredit kepada: Syok.org
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum..... 


Irfan hanya mampu memandang Izzah dari jauh sahaja sekarang. Dilihatnya Izzah sudah punya teman baru. Irfan menyorok di balik pokok di hadapan rumah Izzah yang tesergam indah. Dulunya rumah itu pernah menjadi hak milik bersama Irfan dan Izzah. Rindunya pada Izzah tidak terperi lagi, hatinya bagaikan disiat-siat melihat Izzah bermesra dengan teman barunya, Azizi. Teringat Irfan akan kemesraan belaian Izzah dulu, kasih sayang Izzah dan perhatian yang diberikan tiada tolok bandingannya dengan wanita lain yang pernah dikenalinya. Dia bertemu dengan Izzah secara tidak sengaja, di majlis perkahwinan rakan Izzah setahun yang lepas. Ketika itu, Irfan datang bersama-sama temannya yang lain. Namun, sejak tragedi 3 bulan yang lepas, takdir telah mengubah segalanya, dan tidak lagi berpihak pada Irfan. Kejadian itu masih segar dalam ingatan Irfan...


3 bulan yang lepas...

"Irfan, don't you ever dare to follow your friends..hanging around, buat benda bukan-bukan lagi ok?"Lembut tapi tegas, itulah gaya Izzah bercakap. Izzah lembut orangnya, bisik Irfan di dalam hati. Memang tidak dinafikan, Izzah cantik, lembut dan tegas orangnya.

Irfan mengangguk tanda mendengar nasihat Izzah, walaupun pada hakikatnya nasihat itu hanyalah seperti mencurah air di daun keladi ataupun masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. "U kena ingat Irfan, u sekarang dah ada I, so U are in a commitment, U tak boleh nak buat suka-suka hati U saja, ok? Lagipun, apa yang kita buat di dunia ini, setiap perbuatan ada, ada pengadilannya, jadi berhati-hatilah, sentiasa letakkan niat di tempat yang hak. Irfan, faham?" Sambung Izzah lagi. Irfan mengangguk, lesu. Apabila berdepan dengan Izzah, Irfan sering menjadi kelu, kerana terpukau dek pandangan Izzah dan gayanya yang lembut.

Pada suatu hari, ketika rembang Maghrib, Zali,Chia dan beberapa orang lagi rakan lama Irfan datang melawatnya di Villa Kiwi-Irish kepunyaan Izzah. Ternyata apa yang ada pada Irfan pada hari ini, semuanya di'sponsor' oleh Izzah. Izzah bukanlah anak orang kaya, tetapi Izzah rajin dan pandai mencari rezeki. Zali, Chia dan rakan-rakannya mengajar Irfan ke suatu tempat yang dikatakan mereka terdapat ikan bakar yang lazat. Izzah melihat mereka berbual di depan pintu pagar, dari pintu rumah mereka. Izzah hanyaa merenung dengan penuh lembut, dengan harapan agar Irfan menolak perlawaan rakan-rakannya untuk makan ikan bakar. Walaupun Izzah tidak mendengar apakah yang diperkatakan oleh Zali dan rakan-rakannya kepada Irfan, namun dia yakin, ini bukanlah sesuatu yang akan menggembirakannya. Izzah risau.

"Jomlah Irfan, ala mentang-mentang dah ada yang berpunya, kau tak nak ikut kami lagi ke? Kita bukannya buat apa pun, kita pergi makan aje.."Begitulah pujuk Zali dan rakan-rakannya. Kerana risau dilabelkan 'takut bini', Irfan dengan penuh ego lelakinya terus menyetujui pelawaan Zali dan rakan-rakannya. Sebelum keluar dari pintu pagar Villa Kiwi-Irish, Irfan menjeling ke arah Izzah, dalam hatinya penuh ego, bermonolog, 'Aku yang lelaki, engkau tu perempuan, engkau yang patut takut dengan aku, kau yang patut dengar cakap aku. Lagipun, kaum lelaki kan dah kurang, mesti kau takkan sanggup tinggalkan aku, kan?' Izzah melihat Irfan pergi dengan penuh kekecewaan meruntun di hatinya.

Di kedai ikan bakar tersebut, Irfan terus lupa akan Izzah di rumah, yang masih mengharapkannya berubah fikiran dan balik ke rumah secepat mungkin. Irfan bergelak ketawa dengan rakan-rakannya, seperti dulu, seakan-akan dia lupa terus akan nasihat Izzah. Pernah dulu, Izzah nasihatkannya, "Jangan terlalu bergelak ketawa sampai lupa dunia, kelak menangis.." Lupa, alpa...Irfan terus hanyut dengan dunianya yang ditinggalkan dulu..

Waktu sudah hampir tengah malam, namun Irfan dan rakan-rakannya masih di kedai tersebut, satu demi satu ikan bakar dihabiskannya. Pelanggan lain yang datang ke kedai tersebut, hanya melihat saja sekumpulan kawan tersebut yang mengambil tempat yang agak tersorok di bahagian belakang kedai tersebut dengan pandangan merimaskan. Ternyata pelanggan lain rimas dengan pendatang baru ke kedai Ikan Bakar Kak Reen tersebut.

Hampir pukul 1.30 pagi, barulah mereka pulang. Dalam perjalanan pulang, mereka masih lagi bergelak ketawa. Zali kemudiannya mencelah, "Irfan, lain kali kau ikutlah kami lagi. Kita lepak makan-makan lagi. Pedulikan si Izzah tu, takdenya dia nak tinggalkan kau, atau halau kau dari rumahnya.Kalau dia halau, ha kau cari aja perempuan lain, atau rumah lain. Tapi jangan datang rumah aku, nanti marah pulak cik adik aku.Hahaha.."

Izzah! Terdetik hati Irfan, apabila mendengar nama Izzah. Hati Irfan risau, mesti Izzah tidak membenarkannya untuk masuk ke dalam rumah malam ini. Hati Irfan berdebar-debar. Kerana terlalu risau, Irfan tidak melihat ke mana kakinya melangkah. Tiba-tiba, datang sebuah motosikal dari arah bertentangan, Irfan tidak sempat mengelak, penunggang motosikal tersebut pula bagaikan hilang kawalan. Thwamp..! Skreeekkk..keceper..!!

"Irfannn..!" Jerit rakan-rakannya. Chia dan lain-lainnya sudah lari meninggalkan tempat kejadian, yang tinggal hanyalah Zali. Namun setelah melihat penunggang motosikal itu bangun sambil membawa sebatang kayu ke arah mereka, Zali turut membuka langkah seribu meninggalkan Irfan.

Ternyata keadaan Irfan agak teruk, kakinya patah, dan mukanya luka dan tangannya bercalar. Menyedari akan keadaan Irfan yang agak teruk, dan ternyata bukan salah penunggang tersebut, penunggan itu yang namanya tidak didedahkan, terus mengangkat motosikalnya dan menghidupkan enjinnya kembali. Setelah berjaya menghidupkan enjin, dia terus berlalu pergi, meninggalkan Irfan begitu saja. Irfan mengaduh kesakitan. Kakinya yang patah, pasti akan mengambil masa untuk sembuh, itupun jika nafasnya tidak putus pada malam itu. Irfan tiba-tiba terus teringatkan Izzah, sambil dalam hatinya menyesal dengan perbuatannya dan kesedihan kerana ditinggalkan oleh kawan-kawannya.


Kini, sudah 3 bulan berlalu, Irfan masih berjalan terkecah-kecah. Kakinya hampir sembuh, namun Irfan pasti, tiada yang dapat mengembalikan waktu dulu. Kini Izzah telah mempunyai teman hidup yang baru. Dia cuba mendapatkan pertolongan rakan-rakannya yang lain, selepas kejadian malam itu, untuk mendapatkan tempat perlindungan dan makanan, namun mereka semua bagaikan tidak mengenalinya. Tiap-tiap hari, dia akan ke Villa Kiwi-Irish untuk melihat Izzah, sekadar dari jauh. Seringkali dia nampak Izzah bermesra dengan Azizi, seekor kucing Parsi yang berbulu cantik. Dia melihat dirinya sendiri dalam lopak air di bawah pohon rendang tersebut. 'Aku hanyalah seekor kucing rumah yang comot dulu, namun Izzah tetap sayangkan aku, sekarang aku seekor kucing rumah yang comot, hodoh, cacat dan aku kehilangan Izzah.' Bisik Irfan di dalam hati. Air matanya mengalir...

"Aku benci ikan bakar!" Jerit Irfan, ataupun dalam bahasa kucingnya adalah, "Ngeooowww..meow meoooowww...!"

1 comment:

Syazana Zainn said...

rupanya irfan-izzah-azizi seorang kucing? haha