Kredit kepada: Yahoo News Malaysia
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Masa berlalu begitu pantas. Sedar ataupun tidak, hari ini genaplah 19
hari kita menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh tersebut, sudahkah kita
berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap takwa dalam erti kata yang
sebenar atau sebaliknya? Jika tempoh tersebut belum mampu
memperlengkapkan diri kita dengan takwa, masih belum terlambat untuk
kita berusaha ke arah itu. Justeru, saki baki hari-hari terakhir
Ramadhan perlu kita rebut dan gunakan dengan sebaik-baiknya agar kita
tidak ketinggalan mendapat manfaat yang berganda dalam meniti
pemergiannya.
Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana
Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf,
dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya melaksanakan
ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan kita? Sewajarnya contoh
yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati sepuluh hari terakhir
Ramadhan dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam pada hari ini.
Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW
jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik
terakhir Ramadhan yang sedang kita lalui saat ini. Alangkah malangnya
jika kita semakin alpa dan lalai dalam melaksanakan ibadah kita pada
saat-saat Ramadhan yang kian melabuhkan tirainya.
Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan lagi
amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang telah
dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut
menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik
daripada seribu bulan) pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam
Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada
seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan
mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada
tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit
fajar!"
Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar. Malah,
jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat
bulan, ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik
daripada seluruh umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa
keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya.
Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh
Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan
kasih sayang-Nya.
Oleh yang demikian, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada
Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan
dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat
kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan.
Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut
Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: "Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir"
(hadis riwayat al-Bukhari). Dalam salah satu riwayat yang lain,
dinyatakan juga bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan
dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat
rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak
melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada
azab itu.
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa
yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu
malam,maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu" (hadis
riwayat Abu Dawud). Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat
Isyak dan Subuh sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa
yang dimaksudkan dengan Lailatulqadar.
Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan-amalan lain sepanjang
malam itu. Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh
hari terakhir Ramadhan ialah menghidupkan malam-malam tersebut dengan
memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan juga
berzikir kepada Allah SWT. Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung
Ramadhan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah
kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunnah yang dianjurkan oleh Baginda
SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.
Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW
mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini
adalah berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang
diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada
10 akhir Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah SWT, kemudian
(diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya.
Dalam sebuah hadis yang lain Abu Hurairah berkata: "Rasulullah
SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan,
manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20
hari" (hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi).
Di samping itu, kita juga turut dianjurkan untuk memperbanyakkan
doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks
ini, para Ulama telah bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam
Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.
Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan
dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca
doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku" (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).
Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan
sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku
adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di
mana aku bertemu dengan-Mu kelak" (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).
Begitulah teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada
seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Namun persoalannya,
sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan
ibadah puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan?
Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan kita
dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita
laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu. Jika, masih
terdapat banyak lagi kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum
ini, maka masih belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut
agar kita mampu mencapai takwa dalam erti kata sebenar.
SUMBER asal artikel ini.
No comments:
Post a Comment