Kredit kepada: KOL
Gambar ihsan: Yahoo Images
Assalamualaikum....
Sering kali kita terdengar kisah bayi dalam kandungan tiba-tiba hilang berlaku dalam masyarakat kita. Ramai yang percaya terutamanya kaum melayu bahawa kehilangan tersebut disebabkan oleh makhluk halus. Namun begitu, fenomena ini turut berlaku di negara-negara barat yang tidak percayakan kewujudan paranomal sebegini.
Dalam dunia sains perubatan, kejadian ini mungkin boleh dikaitkan dengan pseudocyesis atau juga dikenali sebagai kehamilan palsu. Seseorang wanita yang merasakan dirinya mengandung tetapi sebenarnya tidak secara klinikal boleh diklasifikasikan sebagai pseudocyesis. Fenomena ini sama seperti seseorang yang telah kehilangan anggota tangan atau kaki masih merasakan seolah-olah anggota tersebut masih ada dan berfungsi.
Tanda dan simptom
Pseudocyesis biasanya bersifat psikosomatik. Ia disebabkan oleh faktor mental yang memberi kesan kepada fizikal untuk empunya diri mempercayainya. Dalam kebanyakan kes, wanita ini mengalami perubahan fizikal dan emosi sama seperti wanita hamil.
Ini termasuklah ketiadaan haid, saiz perut yang semakin membesar, merasai pengerakan bayi (walaupun tiada janin), payudara yang membesar dan ada sesetengah kes mengeluarkan susu.
Punca
Masalah psikologi memainkan peranan besar dalam kes-kes pseudocyesis. Namun begitu, ada juga yang disebabkan oleh penyakit seperti ketumbuhan otak dan gangguan hormon endokrin. Lazimnya, pseudocyesis berlaku pada wanita yang terlalu inginkan kehamilan. Tekanan perasaan yang dialami ini mencetuskan perubahan hormon sehingga menyerupai hormon kehamilan sebenar.
Lebih buruk lagi, perubahan hormon di dalam wanita juga menghasilkan ujian air kencing yang positif, sekaligus mengelirukan doktor perubatan yang memeriksa wanita tersebut.
Senario
Lazimnya wanita ini dikatakan menjalani pemeriksaan kehamilan bersendirian tanpa ditemani suami, ibu atau rakan, maka sukar untuk mengesahkan sama ada wanita ini benar-benar menjalani pemeriksaan kesihatan lebih-lebih lagi setelah rekod klinik atau hospital yang dilawati tidak wujud atau tiada di dalam simpanan walaupun wanita tersebut menyimpan kad temu janji yang dipenuhi dengan tarikh pemeriksaan perubatan.
Ini tambah membebankan tekanan sedia dihadapi oleh wanita ini apabila kakitangan kesihatan tidak mempercayainya dan menuduhnya sengaja mengada-adakan cerita. Kepercayaan wanita ini terhadap kehamilah boleh memberi kesan buruk sehingga mengakibatkan tekanan jiwa, lebih-lebih lagi setelah menyedari bahawa dia tidak lagi hamil.
Mengesan Pseudocyesis
Ujian utltrabunyi boleh untuk mengesahkan kehamilan memandangkan ia dapat menunjukkan kehadiran kantung kandungan bersama-sama dengan janin di dalamnya serta denyutan jantungnya membuktikan wanita itu sedang hamil.
Namun begitu, ada juga kes kantung kandungan itu kekal kosong atau janin mati kemudiannya (missed miscarriage) sedangkan wanita ini menyangka mereka masih hamil.
Rawatan
Tiada sebarang ubat-ubatan diperlukan untuk merawat pseudocyesis jika ia berpunca daripada masalah psikologi. Dalam kes ini, pesakit biasanya diberi nasihat oleh pakar psikiatri dan sebarang ubat-ubatan hanya diberikan jika terdapat masalah kesihatan berkaitan yang lain seperti ketiadaan haid dan sebagainya.
Pautan sebelum ini:
No comments:
Post a Comment