MY FOLLOWERS

Thursday, January 16, 2014

Artikel - Karate vs RBD: Ulasan Berkaitan Karate Dalam Abad Ke-21

Kredit kepada: Real Fighting
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....

Tulisan dalam entri ini adalah diterjemah mengikut kefahaman dan untuk memudahkan pembaca. Manalah tahu kalau ada yang agak kemalasan untuk baca dalam versi Bahasa Inggeris, artikel asalnya. Baca dahulu sehingga habis dan fikirkan adakah anda bersetuju dengan apa yang diperkatakan dalam artikel ini?





Kenapa karate yang tradisional tidak efektif untuk pertahankan diri?

Artikel ini bertumpu pada karate versi tradisional dan bukan pada variasi moden yang sudah dicampurkan dengan ilmu lain.

Mempelajari pelbagai seni pertahankan diri adalah bagi mendapatkan ilmu untuk mempertahankan diri dalam situasi kehidupan sebenar. Sekali imbas, kelihatannya seperti ada penyelesaiannya dalam seni karate, namun jika anda lihat dengan lebih teliti anda akan sedar bahawa karate sebenarnya tidak cukup lengkap untuk membantu anda berdepan sebarang bentuk keganasan di jalanan pada abad ke-21 ini. Penulis asal artikel ini menyifatkan karate secara zahirnya tidak menyediakan taktik substantif dan langkah pertahanan yang sesuai berbanding mana-mana sistem berasaskan realiti atau situasi sebenar.

Sebab mengapa penulis artikel ini tidak menyarankan masyarakat menyertai karate atau mana-mana seni beladiri tradisional ialah bagi mengelakkan mereka mendapat maklumat yang salah. Penat berusaha belajar teori lapuk dan teknik-teknik yang tidak lagi relevan dengan kehidupan sekarang dan bagaimana kita akan bertindak balas. Sejujurnya, ada sesetengah teknik dalam mana-mana seni beladiri jauh begitu hebat daripada yang ada dalam seni yang lain. Pun begitu bukanlah karate tidak efektif langsung, ia juga berpotensi menghalang si penyerang tetapi tahap keberkesanannya jauh begitu rendah berbanding muaythai, Brazilian jiujutsu, tinju, dan sistem berasaskan realiti. Ibaratnya sepucuk pistol flintlock (pistol lama macam dalam Pirates of the Carribean atau seumpamanya) boleh digunakan bagi menghalang penyerang tetapi M16 jauh lebih berkesan. Lainlah kalau pelatih karate memperbaharui tekniknya untuk disesuaikan dengan situasi moden.

Memetik kata Jon Bluming, "Kalau anda berdepan penyerang yang tidak tahu berlawan, karate tradisional memanglah berkesan tetapi kalaulah si penyerang itu berpengalaman atau dilatih, jawapannya tidak."

Untuk menghuraikan lagi persoalan kenapa karate bukanlah sistem seni beladiri yang paling efektif, 4 perkara berikut perlu dibincangkan terlebih dahulu:
  • Keadaan keganasan yang berlaku dalam dunia sekarang ini
  • Unsur atau elemen dalam sistem seni beladiri yang berkesan pada abad ke-21
  • Apa yang dicari oleh orang ramai dalam mempelajari ilmu beladiri?
  • Perbezaan dan penjelasan kategori tempur



Keadaan keganasan yang berlaku dalam dunia sekarang ini

Selepas berlaku insiden pada 2001 selepas kemusnahan WTC, impak keganasan menjadi paling dramatik. Seluruh dunia merasakan bahawa tiada tempat yang selamat. Buat pertama kali dalam sejarah, rakyat Amerika mencari penutup muka, ubat-ubatan, cara kelangsungan hidup dan peti pertolongan cemas. Kemudian, ilmu beladiri menjadi begitu penting bukan setakat mempertahankan diri daripada dirompak atau diserang, tetapi lebih lagi berpotensi bagi menyelamatkan diri daripada keganasan pada skala besar seperti serangan nuklear, pengeboman, gas beracun dan serangan hendap. Tahap keganasan juga meningkat daripada paras biasa dan undang-undang berkaitan pertahanan diri mula dikuatkuasakan beberapa tahun kebelakangan ini.

 
Unsur atau elemen dalam sistem seni beladiri yang berkesan pada abad ke-21

Zaman sekarang, keganasan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, di mana sahaja, bila-bila masa dan dalam apa jua situasi. Oleh itu adalah perlu seni beladiri moden mengambil kira semua kemungkinan senario persekitaran dan situasi. Ia perlu sehingga menyelamatkan diri daripada bom, serangan gas dan kimia, serangan hendap, rusuhan, samun, dan sebagainya. Umumnya, tiada seni pertahanan diri yang mempersiapkan ahlinya dengan keadaan sebegini, tetapi ada sesetengah tempat mengajar sistem yang berasaskan realiti yang mengajar tentang kesedaran, bagaimana menghindar dan melepaskan diri. Karate seperti juga seni tradisional lain agak ketinggalan dalam menambah elemen realistik dalam pengajarannya, meneruskan mengajar seperti biasa, mengabaikan keadaan bagaimana penjenayah hari ini bertindak dan kalau ada pun, ia seperti mereka tidak pernah kenal apa itu pecah rumah, serangan senjata api dan pengganas. Orang ramai bukan sahaja perlu berlatih dalam situasi yang pelbagai dan menimbangkan semua kemungkinan tetapi juga 3 fasa dalam kitaran serangan (sebelum, semasa dan selepas konflik), debaran, penggunaan tenaga/daya, teknik rawatan dan sebagainya. Anda dan orang terdekat berpotensi menjadi mangsa keadaan tidak sehingga pendekatan ini diamalkan.




Apa yang dicari oleh orang ramai dalam mempelajari ilmu beladiri?

Ramai orang zaman sekarang ini sibuk dengan pelbagai urusan seperti kerjaya, sekolah, keluarga dan sebagainya. Kebanyakannya keberatan untuk meluangkan sebahagian masa mereka mempelajari seni beladiri. Satu-satunya masa mereka akan belajar ilmu perlindungan ini bila perkara buruk menimpa keluarga dalam masa terdekat. Penulis artikel ini yakin masyarakat kini bukanlah mencari sesuatu yang menjadi 'cara hidup', agama, meluangkan banyak masa mempelajari kata (pattern dalam karate) tetapi lebih kepada set kemahiran (skill set) yang efektif dan teknik dan taktik yang berkesan yang boleh digunakan bagi melepaskan diri daripada serangan ganas dengan serta-merta. _Jangan hanya fokus kepada melatih keperluan ketika konflik, tetapi latihan perlu juga ditambah dengan mengambil kira keadaan sebelum dan selepas konflik. Karate seperti juga seni tradisional lain hanya memberi tumpuan melatih pada keadaan bila berlakunya konflik dan mengabaikan keadaan sebelum dan selepasnya. Kaedah pengajarannya lebih bersifat 'menyuap'. Ia tidak mengajar pendekatan taktik defensif bila berdepan senjata api, situasi tebusan, rompakan kedai atau bank, dan melawan musuh yang ramai (multiple attackers); sedangkan inilah situasi sebenar hari ini.

Penjelasan dan perbezaan kategori tempur

Istilah seni beladiri adalah umum kepada semua jenis seni beladiri, namun ramai yang tidak tahu ia terbahagi kepada 3 kategori:
  • Berasaskan tradisional
  • Berasaskan sukan
  • Sistem berasaskan realiti

Sistem berasaskan tradisional 

Seni tradisional yang berasal dari Asia termasuk karate, judo, aikido, taekwondo, berbagai kungfu dan banyak lagi. Inilah yang dimaksudkan oleh ramai orang bila sebut sahaja istilah 'seni beladiri' seperti juga dilihat di tv. Ia menggabungkan penggunaan komponen seperti pakaian tradisional dan unsur falsafah serta keagamaan. Ramai mendakwa sistem berkenaan mungkin berusia ribuan tahun walhal ia ratusan tahun sahaja kecuali beberapa jenis kungfu dan karate Okinawa berusia 250 tahun. Ringkasnya seni tradisional adalah gaya kurang efektif di jalanan dalam era masakini dan ambil masa lama untuk dipelajari. Pun begitu bukanlah bermakna ahli berpengalaman itu tidak efektif.


Sistem berasaskan sukan 

Ia berasal dari gaya lama tetapi diubah dan dikemaskini supaya sesuai digunakan di gelanggang dan mengikut peraturan ditetapkan. Ia masih boleh digunakan di jalanan dalam keadaan tangan kosong. Contohnya gusti dan tinju adalah versi yang dikemaskini berasal dari kerajaan purba Greek dan Rom, Brazilian jiujutsu diambil dari jiujutsu Jepun dan muaythai berasal dari sistem digunakan pada abad ke-14. Ia mengambil masa yang lama untuk mahir dan dalam sesetengah kes, pelatih dengan mudahnya mengatasi seni tradisionalnya.

 
Sistem berasaskan realiti

Sistem ini diasaskan daripada taktik defensif digunakan polis dan tentera dan dikira paling realistik dan lebih menekankan teknik yang mudah dan efektif bagi serangan secara tangan kosong atau bersenjata. Sistem ini satu-satunya sistem yang memberi tumpuan pada semua 3 keadaan pra-konflik, ketika konflik dan paska konflik. Kebanyakan keadaan ketika konflik dalam sistem ini datang dari aspek kombat. Sistem ini dibentuk ketika WW2 oleh komando British dan tentera marin Amerika bertahun-tahun sebagai yang paling mudah dan efektif. Konsepnya seperti berlawan dalam tekanan, berjaga-jaga dengan situasi dan persekitaran merupakan perkembangan baru dalam ilmu ini. Kemudian ramai menyedari bahawa mereka tidak boleh lagi bergantung kepada seni tradisional. Sistem berasaskan realiti yang baik bukan sahaja menggabungkan penggunaan taktik defensif yang mampu melawan keganasan fizikal berseorangan atau berkumpulan, juga menggabungkan kemahiran dalam semua jenis serangan moden menggunakan senjata konvensional dan bukan konvensional dalam situasi diperlukan.

 

 Ringkasan

Karate dan seni tradisional yang seumpamanya, kelihatan hebat dalam filem, namun mengambil masa lama untuk mempelajarinya serta tidak menyediakan solusi yang efektif bagi berdepan konflik keganasan pada abad ke-21. Ia hanya fokus pada fasa konflik dan tidak pada situasi dan persekitaran semasa. Tempur berasaskan sukan melatih pada aspek kelajuan, kuasa, dan masa, namun ia mengambil masa lama untuk menguasainya; dan ia masih tidak cukup untuk membolehkannya digunakan dalam situasi sebenar disebabkan sifat semulajadinya sebagai sukan. Banyak sistem latihan berasaskan realiti hari ini melatih ahlinya untuk berdepan situasi semasa dalam semua 3 fasa berkenaan secara dengan atau tanpa senjata. Yang penting, sistem ini menyediakan pelatih dengan set pemikiran/mind set yang agresif. Kemahiran pertahanan asas boleh dilatih dalam jangka masa pendek seperti dalam latihan yang diterima oleh polis dan tentera.


Sejarah karate secara ringkas dan perkembangannya


Karate yang dipelajari hari ini berasal dari Okinawa sekitar 1750, 141 tahun selepas Tokugawa Ieyasu mengarahkan Shimizu Clan menyerang dan menguasainya. Karate sebenarnya tidak memberi sebarang kesan ke atas penjajah mereka kerana Okinawa masih lagi menjadi milik Jepun selepas 259 tahun. Sebelum WW2, karate diperkenalkan di Jepun dalam 1920-an dan mula berkembang kepada beberapa sub-stail. Penyumbang terbesar karate ialah Gichin Funakoshi (pengasas aliran Shotokan) dianggap bapa karate moden dan yang pertama mensistemkan karate dengan tujuan dan secara menyeluruh. Gogen Yamaguchi (Goju Ryu) pula membentuk tempur bebas cara moden pada 1936 dan nampak kaitan antara karate dan yoga. Beliau juga bertanggungjawab mengasaskan All Japan Karate-do Federation. Selepas era WW2, banyak perkembangan baru dalam karate muncul hasil usaha Mas Oyama (Kyokushinkai), dan Kazuyoshi Ishii (Seidokan). Ia adalah hasil pemerhatian pada seni muaythai. Mas Oyama memulakan gaya tempur keras. 




12 sebab kukuh kenapa karate tradisional tidak efektif untuk pertahanan diri (menurut artikel berkenaan)


1. The One-Strike Kill

Klise terbesar dalam karate - one-strike kill atau sekali pukulan. Langsung tidak wujud tetapi telah menipu ramai orang sejak sekian lama. Salah seorang pelajar Funakoshi, Shigeru Egami sendiri akui ia tidak wujud. Dalam kariernya, Egami pernah menghadapi tekanan selepas menyimpulkan kajiannya tentang seni mana yang mempunyai tumbukan paling kuat. Dia mendapati tumbukan tinju yang terkuat manakala karate sendiri lemah. Mempertaruhkan nasib pada satu tumbukan boleh membawa padah!

 
2. Tunggu serangan

Ingat pepatah Funakoshi mengatakan 'Jangan serang dulu' dan falsafah karate mengatakan 'Tunggu serangan'. Ini boleh menyebabkan nyawa anda melayang. Dalam situasi sebenar, yang menyerang dahulu akan sentiasa terlepas. Masyarakat yang terlalu dipengaruhi Hollywood tersilap bila menganggap anda kena terima dahulu serangan pertama dan mengabaikan hak sendiri dalam mempertahankan diri. Penjenayah ambil kesempatan atas sikap pemikiran ini. Jadi, sebaiknya kalau anda rasa keganasan bakal berlaku, serang dahulu!

 
3. Dengan kekuda

Karate selain seni lain menggunakan kekuda yang tidak efektif dalam beladiri. Kekuda rendah menjadikan anda tidak dapat bergerak selain menjadikan sukar bergerak pantas. Memanglah ia bagus untuk melatih otot tetapi bukan dalam situasi konflik. Dalam kickboxing, yang pertama sekali dilatih untuk dibuang ialah kekuda yang tidak efektif ini.

 
4. Karate sebagai cara hidup

Ringkasnya sebenarnya tiada masalah dari aspek spiritual dalam karate tetapi semua orang kena ingat bahawa ada masanya untuk berlawan dan berfikir.

 
5. Aspek spiritual dan meditasi

Bagi kebanyakan ahli karate Jepun, aspek agama dan beladiri adalah tidak dapat dipisahkan, yang dibentuk hasil budaya masyarakatnya. Meditasi pula tidak semestinya memberi manfaat kepada seni beladiri. Contohnya, pada sukan Olimpik di Korea 1983, Korea mempunyai skuad memanah terkuat di dunia. Bila ditanya apa rahsia kejayaannya, mereka kata meditasi di perkuburan dan sesungguhnya ia langsung tidak membantu mereka memenangi pingat. Amerika Syarikat pula yang tidak melakukan meditasi menang pingat emas. Apa mereka buat kalau bukan meditasi? Dengar lagu nyanyian Van Halen!

 
6. Suka pecahkan objek atau papan

Karate juga biasa pecahkan papan ketika demonstrasi, tetapi yang tidak belajar karate juga boleh melakukannya. Memecahkan batu dan papan tidak dapat diterjemah kepada kebolehan berlawan. Egami menyatakan memecahkan objek jauh beza dengan menyerang manusia. Tambahnya, latihan 'makiwara' dalam karate berbahaya kepada tubuh dan dia sendiri sudah tidak melakukannya sejak 1950an. Robert Smith dalam bukunya 'Martial Musings' menyatakan tangan Mas Oyama rosak teruk sehinggakan dia tidak dapat menarik selimut ketika hendak tidur! Berlatih pecahkan objek dalam jangka panjang boleh menjuruskan anda kepada artritis dan penyakit degeneratif lain. 

7. Latihan kata

Mungkin sesetengah karateka merasakan latihan kata membantu dalam aspek spiritual dan menghayati seni tempur itu. Kata sebenarnya tidak lebih daripada sejumlah teknik yang dihimpunkan bersama yang membantu pelatihnya memahami pergerakan sesuatu teknik. Bagi pelatih yang lama, ia menghadkan perkembangan anda dan tiada nilai tambah dalam kemahiran tempur. 


 


8. Karate tidak menyediakan anda untuk tempur jalanan

Tidak seperti di gelanggang, tiada apa-apa peraturan di jalanan dan tiada pengadil untuk halang perlawanan. Tempur jalanan bermula secara tiba-tiba dan tiada amaran awal. Penyerang tidak sekali-kali berhenti dengan mudah walau sekuat mana pun anda menjerit. Keadaan permukaan jalan berbeza daripada ruang lantai gelanggang yang selesa. Boleh jadi terdapat benda-benda kecil yang boleh mendatangkan bahaya kepada anda. Kesedaran pada persekitaran dan situasi, sebelum serangan, tindak balas bile dicederakan, dan menyelamatkan diri - itu antara perkara yang tiada dalam kurikulum karate. Teknik karate banyak menggunakan kemahiran motor, namun kemahiran inilah yang pertama sekali akan tertinggal dalam situasi sebenar bila dalam situasi tekanan. Untuk berdepan situasi tekanan, teknik mesti ringkas dan menggunakan hanya gross motor skills. Selepas beberapa ketika, biasanya orang akan menangkap dan akan jatuhkan lawan ke bawah dan akan berlakulah ground fighting. Berlatih dalam dojo tanpa alas kaki tidak membantu anda berdepan situasi lawan di tanah, kawasan berbatu, di pantai, atau atas ais.


9. Karate menjadikan anda kaku dan tegar

Ramai orang berasa takut untuk melakukan latihan berat, khuatir ia akan menjadikan mereka kaku atau keras. Sebenarnya itulah yang menjadikan mereka fleksibel dan mudah dilenturkan, tetapi karate sebaliknya menjadikan anda keras dan kaku. Ramai di kalangan jurulatih peninju, Brazilian Jiujitsu dan muaythai bersetuju bahawa karate menyebabkan ketegangan dan ketegaran yang tidak dapat dielakkan. Keadaan ini turut diakui sendiri oleh pelatih karate yang beralih kepada seni beladiri berasaskan realiti.

 
10. Karate tidak efektif berdepan dengan senjata moden

Fokus karate yang utama ialah pada tempur tanpa senjata. Latihan senjata pula menggunakan senjata seperti tonfa, sai, sabit tetapi tidak boleh dibawa ke mana-mana. Di zaman sekarang, serangan melibatkan penggunaan senjata api dan pisau. Kalau terdengar ada ahli karate cedera dalam serangan, ia biasanya melibatkan senjata seperti pisau dan pistol. Dalam situasi bersenjata, ahli karate yang paling mahir itulah paling cepat terbunuh!

 
11. Karate ambil masa lama sangat untuk dipelajari tetapi masih tidak boleh berlawan!

Dari aspek usaha untuk mendapatkan hasil yang efektif, karate tradisional merupakan sistem yang paling kurang efektif dalam semua seni tempur. Terlalu banyak masa diluang pada aspek ritual dan tatacara. Banyak kelab karate habiskan banyak masa pada kata atau tempur yang tidak penting dengan anggapan dapat menyediakan pelatihnya pada perlawanan sebenar tetapi sebenarnya ia tidak membantu langsung. Tempur tanpa alas kaki dalam dojo hanyalah untuk dalam dojo sahaja. Latihan kata adalah latihan tumbuk angin yang primitif (sebab kata memang tidak diubah atau ditambah sejak karate mula wujud lagi). Ia tidak menyediakan pelatih pada situasi bersenjata seperti pisau atau senjata api. Kalau diajar pun, ia adalah secara proses langkah ke langkah dan tiada kaitan dengan situasi sebenar.

 
12. Mengagungkan tuan gurunya

Tujuan belajar seni beladiri bukannya untuk berkhidmat kepada si tua dengan reputasi kukuh. Mungkin inilah sebab kenapa MMA menjadi begitu terkenal. Jurulatih seharusnya membantu atlet dalam sukan masing-masing dan matlamatnya adalah untuk memberi galakan, merangsang dan melatih anak buahnya sehingga berjaya. 


KLIK SINI untuk artikel penuh.

No comments: