MY FOLLOWERS

Wednesday, May 25, 2011

Artikel - Allah Suruh Bertudung

Credits to: email
Gambar ihsan: Family


Assalamualaikum....



Beberapa kali membaca terjemahan ayat 59 dari surah al-Ahzab, tidak ada yang samar atau meragukan. Bunyinya begitu lunak dan berhikmah sekali, kerana perintah itu disandarkan atas Nabi SAW terlebih dahulu, walaupun sasarannya memang untuk orang beriman sekaliannya. Cukup kuat untuk dipegang sebagai hukum; perintah suruh, bukan galakan atau sekadar anjuran kerana ia tidak disertakan dengan perkiraan tolak-ansur – kalau rasa boleh buat, buatlah. Kalau rasa tidak boleh, tidak payah. Kalau takut diganggu, pakailah. Kalau rasa tidak diganggu, tidak payah pakai. Samalah dengan perintah puasa umpamanya –

“…mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: ayat 183)

Kalau tidak mendapat taqwa? Tidak perlulah berpuasa? Atau kalau sudah mendapat taqwa…tidak payah berpuasa lagi? Bukan begitu. Jadilah seorang Islam yang benar-benar boleh memberi manfaat kepada orang Islam yang lain. Suatu masa dahulu ada satu golongan manusia yang suka sangat dengan tabiat putar belit iaitu kaum Bani Israil. Banyak sungguh dalihnya. Sehinggakan perihal seekor lembu pun hendak dipersoaljawabkan (surah al-Baqarah). Akhirnya terpaksalah bersusah payah menjelajah dari desa ke pekan, dari pekan ke hutan untuk mencari lembu yang dimaksudkan. Padahal, jika mereka menerima perintah dengan taat dan lapang hati, semuanya akan menjadi mudah. Tetapi sikap yang berdolak-dalih dengan niat kononnya apabila mereka meminta keterangan lebih khusus berkenaan lembu yang ingin disembelih, pasti tidak ada lembu seperti dimaksudkan. Maka terlepaslah mereka daripada perintah itu. Namun, muslihat kaum Bani Israil itu tidak berhasil. Allah lebih tahu isi hati mereka. Lalu diberitahulah ciri-ciri lembu terpilih yang mesti mereka cari. Asalnya kerja yang mudah, bertukar menjadi payah lagi menyukarkan. Siapa yang rugi? Mereka dan keluarga mereka. Dalam surah al-Ahzab ayat 59, Allah SubhanAllah Wa Taala berpesan kepada Nabi SAW,

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri engkau, kepada anak-anak engkau yang perempuan dan kepada sekalian wanita dari kaum Muslimin, hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab atas diri mereka. Demikianlah supaya lebih mudah orang mengenal mereka, maka tidak disakiti (diganggu) orang akan mereka.” (Surah al-Ahzab: ayat 59)

Mengikut terjemahan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, perkataan ‘jalaabiibihinna’ diterjemah sebagai “…pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa keluar)…”. Tetapi jika merujuk kepada maknanya lebih khusus, berasal dari perkataan ‘jilbab’. Menurut Kamus Dewan,  jilbab bererti pakaian longgar termasuk kerudung ataupun tudung yang memenuhi keperluan menutup aurat wanita, selain muka dan tapak tangan. Ini membawa makna, memakai tudung bukan perintah sunat yang boleh dibuat dan boleh tidak. Dikira tidak sah solat seorang wanita yang tidak memakai tudung, biarpun dia mengenakan jubah yang labuh meleret ke tanah. Nabi SAW menegaskan,

“Allah tidak akan menerima solat wanita yang telah berusia baligh kecuali dengan memakai tutup kepala.” (Riwayat Abi Daud, Tarmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah dari Sofiyah binti Harith dari Aisyah r.ha)



Di dalam kitab ‘Muhimmah pada ilmu hadis Nabi SAW karangan Syeikh Abdullah bin Abdur Rahim Fathani yang membicarakan tentang kewajipan serta tanggungjawab seorang isteri, ada menyatakan, “Dan jikalau derhakanya dengan sebab keluar rumah maka dipandang oleh lelaki yang lain akan rambutnya nescaya digunting rambut kepalanya di dalam api neraka. Demikianlah berbagai-bagai seksaan kerana berbagai-bagai derhakanya.” Pada baris berikutnya diselitkan secebis anekdot Nabi bercerita kepada Saiyidina Ali k.w. dan Saiyidatina Fatimah r.ha. tentang pengalaman Rasulullah SAW pada malam baginda dimikrajkan. Nabi SAW melihat wanita-wanita daripada kalangan umat baginda sedang diseksa dengan seksaan yang amat dahsyat. Ada yang digantung dengan lidahnya dengan dituangkan api neraka ke dalam mulutnya.  Ada yang digantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak di kepala. Ada yang digantung dengan buah susunya dan disumbatkan buah zakum ke dalam mulutnya. Ada yang digantung dalam keadaan dia memakan daging dirinya sendiri, manakala di bawahnya pula dinyalakan api. Bermacam-macam lagi bentuk seksaan dipertontonkan kepada Nabi SAW. Satu daripada bentuk seksaan yang dipertontonkan ialah perempuan yang digantung rambutnya hingga mendidih otak di kepala. Dosa apakah gerangan yang diseksa sedemikian rupa? Dinyatakan dalam kitab yang sama, merujuk kepada jawapan Nabi SAW, “Adapun perempuan yang tergantung dengan rambutnya itu maka bahawa sesungguhnya ia tidak mahu menutup rambutnya daripada lelaki lain yang haram memandang dia.”

Jika ditakdirkan lahir usaha-usaha jahat cuba membatalkan peraturan yang telah Allah wartakan ini, ia menjadi ujian bagi mereka yang benar-benar percaya dan yakin. Dengan ujian sebegitu, mudah-mudahan keyakinan bertambah kuat. Sudah menjadi resam hidup, apabila ada cabaran akan bangkitlah semangat untuk membela dan mempertahankan. Andai kata, ada suara-suara sumbang mempersoalkan perintah ini, kita menerimanya secara positif dan hati terbuka. 

Keimanan dan keyakinan kita terhadap peraturan Allah sedang diuji dan dicabar. Kedengaran juga ada yang mengatakan bertudung adalah budaya Arab kuno. Islam turun di Tanah Arab. Kalaulah ditakdirkan Allah, Islam turun di Asia Tenggara atau turun di China atau turun di Eropah, persepsi terhadap tudung tentu lain pula. Suruhan ini diletakkan di bawah bab berpakaian, bab yang penting kerana pakaian boleh melambangkan agama. Umpamanya seorang lelaki yang membotakkan kepala dan mengenakan lilitan kain (pakaian) kuning seluruh tubuhnya pergi dari rumah ke rumah dengan membawa sebuah bekas meminta makanan. Apa pendapat kita terhadap lelaki itu? Beranikah kita mengatakan dia seorang Islam jika kita terserempak. Apakah reaksi spontan kita terhadap lelaki itu? Tidak kecil peranan pakaian dalam kehidupan. Ada yang mengatakan bertudung sudah menjadi trend banyak agama di dunia, lantaran orang Yahudi dan Kristian juga bertudung. Tetapi kita memakai tudung kerana mematuhi perintah Allah. Beroleh pahala juga rahmat-Nya jika dilakukan dengan hati yang ikhlas..........

3 comments:

Kakzakie said...

Assalamualaikum,

Sebenarnya aurat wanita baligh adalah keseluruhan anggota seperti sewaktu solat. Oleh itu bukan saja bertudung kerana ramai bertudung tapi berbaju lengan pendik dan kaki berselipar hingga kelihatan kaki. Ini pun aurat yg perlu diambil kira. Wallahualam...

ain dzaya said...

jangan hanya membaluti aurat..
tapi tutupla aurat!

BLADE EDGE said...

kakzakie: itulah yg sebaik2nya (tutup aurat sbgmana dlm solat). tp malangnya, masyarakat hari ni ramai yg menjadikan menutup aurat itu sbg trend, ikut org. brapa ramai yg tutup aurat sbg memenuhi tuntutan agama?

ain: btul tu...