MY FOLLOWERS

Thursday, January 20, 2011

Paranormal - Apa Itu Saka?

Credits to: KOL
Gambar ihsan Yahoo Images


Salam...



Apa itu saka?

Saka ialah jin pendamping yang diturunkan dari satu generasi ke generasi secara langsung atau tidak langsung. Secara langsung ialah melalui pengijazahan atau penyerahan dari generasi terdahulu sama ada melalui ungkapan atau sebagainya. Secara tidak langsung pula, jin ini akan melilih mana-mana ahli keluarga untuk didampingi tanpa disedari oleh si empunya badan, sekiranya generasi terdahulu tidak sempat memberitahu atau menyerahkannya.

Perkataan SAKA asalnya daripada perkataan PUSAKA, bermaksud warisan yang diperolehi oleh seseorang yang hidup daripada ahli keluarga terdekat yang sudah meninggal dunia. Bila sebut PUSAKA, masyarakat akan memahaminya sebagai harta pusaka. Pastinya terlintas di fikiran akan harta benda yang diwarisi seperti rumah, tanah, kebun, sawah dan sebagainya. Manakala SAKA pula lebih merujuk kepada makhluk halus yang diwarisi daripada si mati kepada pewarisnya.

Ramai yang tidak boleh menerima hakikat apabila diberitahu bahawa penyakit mereka ada kaitannya dengan saka atau diberitahu bahawa mereka ada memiliki saka. Ini kerana kita tidak ada pengetahuan tentang saka dan apabila kita faham bagaimana hubungan saka dalam kehidupan generasi terdahulu, maka kita tidak boleh menafikan kewujudannya sehingga ke hari ini.


Kenapa saka diambil?

Ribuan tahun dahulu, ketika zaman pra-islam, ketika itu tidak ada mesin-mesin moden atau peralatan canggih, pengangkutan, telekomunikasi dan berkembangnya perebutan/persaingan untuk mendapatkan tempat tinggal atau makanan. Sekiranya sesebuah keluarga itu tidak mengambil saka, maka mereka akan ditindas. Maka dengan itu, saka diambil untuk kebajikan diri dan keluarga. Sebagai contoh, saka harimau dijadikan alat tunggangan atau kenderaan untuk memudahkan pergi ke sesuatu tempat yang jauh dalam sekelip mata, untuk menjaga kebun dan sebagainya. Saka hantu raya pula digunakan untuk membantu membuat kerja-kerja berat seperti menebas kebun dalam satu malam, meratakan tanah dan membajak bendang.

Saka biasanya diambil dan dikaitkan dengan bangsa Melayu kerana mereka menjadikan saka sebagai kawan tetapi bagi masyarakat Cina dan India, saka dijadikan sebagai Tuhan mereka. Disebabkan saka inilah orang Melayu amat terkenal dengan sikap hasad dengki dan iri hati. Sebelum saka ini diambil, ia tinggal di hutan-hutan, gua, laut, gunung-gunung, dan sebagainya.

Dalam al-Quran terdapat larangan kepada sesiapa yang menjadikan golongan jin dan syaitan sebagai kawan/sekutu/pelindung:

"Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga binatang-binatang ternak), bila mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubah. Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata (119).
Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari penipuan belaka." (120)

- Surah An-Nisa: ayat 119-120

Saka ini sememangnya termasuk dalam golongan jin, yang terbahagi kepada dua:
  1. Jin Islam - saka yang dimiliki oleh golongan hulubalang, para panglima perang dan pengamal perubatan.
  2. Jin kafir - saka yang dimiliki oleh tukang ubat atau bomoh yang merawat pesakit secara bukan Islam.



Jin ini diambil dengan amalan-amalan tertentu, pada waktu-waktu tertentu seperti bertapa pada hari-hari tertentu. Jin Islam lebih sukar diambil kerana memerlukan amalan zikir dan sebagainya diamalkan selama waktu tertentu ketika bertapa. Jin kafir lebih mudah kerana hanya perlu melakukan pemujaan dengan memberikan persembahan berupa makanan seperti ayam panggang, bertih jagung, pulut kuning, telur rebus dan seumpamanya.


Apabila jin ini secara rasminya diambil dengan akad sebagai kawan, maka barulah timbul istilah SAKA. Dari detik ini, wujudlah pertalian di antara saka dan penerima saka sehingga hari kiamat melalui akujanji kedua-dua belah pihak.


Siapakah pewaris saka?

Kebiasaannya di kalangan keluarga terdekat kepada pewaris seperti anak, adik, cucu dan anak saudara. Terdapat juga sesetengah kes si mati mencari ahli keluarganya yang jauh atau sesiapa sahaja yang sanggup menerimanya, seperti seorang kawan kepada kawannya, guru kepada muridnya, ataupun seorang bomoh (perawat) kepada pesakitnya yang pernah mendapatkan khidmat rawatannya.




Akujanji terbahagi kepada dua:
  1. Penerima saka - Wajib menyediakan jamuan pada waktu-waktu terntetu seperti setiap kali ada keramaian, kenduri, mendapat anak, dan seumpamanya.
  2. Saka - menjaga diri penerima saka dan keluarga, menjadi tunggangan/pengangkutan/kenderaan, menjadi alat telekomunikasi/perhubungan, sebagai sumber kekuatan fizikal dan mental (kebal dan kuat).



    Gangguan saka

    Gangguan saka bermula apabila syarat/akujanji tersebut tidak dipenuhi dan kebiasaannya penerima saka yang tidak mengikut syarat atau mungkir janji. ini kerana ilmu/pengetahuan tentang perjanjian tersebut tidak diturunkan ke generasi seterusnya, maka akan tercetuslah gangguan-gangguan yang akan dihuraikan kemudian. Saka ini akan mengamuk kerana tidak diberikan jamuan, yang berupa ayam panggang, pulut kuning, telur rebus, bertih jagung, darah ayam hitam dan sebagainya.




    Secara kasarnya, gangguan terbahagi kepada dua bentuk:
    1. Gangguan kepada pewaris
    2. Gangguan kepada orang lain.

    Gangguan kepada pewaris

    Pewaris sendiri akan menderia sakit yang berpunca daripada kemarahan jin tersebut akibat sama ada disedari atau tidak, memenuhi permintaan dan kehendak jin tersebut.


    Gangguan kepada orang lain

    Boleh jadi dalam bentuk penderitaan dan kesulitan yang dihadapi oleh seseorang akibat perselisihan atau permusuhannya dengan pewaris saka berkenaan. Mangsa akan diganggu dengan pelbagai bentuk gangguan, tidak disedari oleh mangsa sendiri ataupun pewaris saka. Mangsa hanya akan mengetahui punca sakitnya setelah melalui proses rawatan yang teliti dan panjang.




    3 sebab mengapa anda menjadi pilihan saka (salah satu, dua atau kesemua faktor yang dinyatakan di bawah):
    1. Kedudukan dalam keluarga - kebiasaannya, saka akan mengikut anak sulung dalam keluarga tersebut.
    2. Seseorang yang seringkali disakiti dan dizalimi secara sihir - saka akan hadir untuk memberikan pertolongan, namun begitu apabila usahanya tidak mendapat habuan seperti mana yang diharapkan seperti jamuan yang dinyatakan sebelum ini; maka keadaan orang yang disihir akan menjadi lebih teruk.
    3. Kesayangan keluarga.


    Gangguan saka terbahagi kepada enam:
    1. Gangguan fizikal
    2. Gangguan mental
    3. Kekeluargaan
    4. Zuriat
    5. Rezeki
    6. Keharmonian hidup

    Gangguan fizikal

    Terbahagi kepada dua:
    1. Nampak - kesan lebam, bengkak, kudis, keracunan darah.
    2. Tidak nampak - mengadu sakit di tempat-tempat tertentu, hati sentiasa berdebar-debar, gangguan haid (bagi wanita). Ada juga pesakit yang tidak datang haid bertahun-tahun atau menghadapi kitaran haid yang tidak normal.


    Sakit sebegini (berkaitan saka, sihir) apabila dirujuk ke hospital dan dilakukan ujian ke atas pesakit berkenaan, doktor tidak dapat mengesahkan puncanya. Contohnya sakit tiroid, apabila ujian dilakukan didapati keadaan darah dan hormon adalah seimbang.


    Gangguan mental
    1. Bagi lelaki, sikap panas baran yang melampau dan bagi perempuan, sikap cemburu yang keterlaluan.
    2. Halusinasi - boleh sampai ke tahap bercakap sendirian.
    3. Terdengar suara-suara halus menyuruh si empunya badan melakukan sesuatu.


    Jika tidak dirawat, akan berakhir dengan sakit mental/gila.


    Gangguan kekeluargaan


    Keluarga boleh menjadi berpecah-belah, sentiasa tidak sependapat, bermusuhan, dan panas. Hubungan suami isteri akan sentiasa bergelora. Hal-hal yang kecil boleh menjadi punca perbalahan. Suami/isteri saling berpandangan tanpa rasa cinta. Selalunya hubungan antara ibu dan anak sulung sentiasa tidak kena, seolah-olah si ibu sentiasa mencari salah si anak.




    Gangguan zuriat


    Bagi lelaki/perempuan yang belum berumahtangga, mereka mungkin sukar mendapatkan jodoh atau berhadapan risiko menjadi bujang terlajak. Hanya bertepuk sebelah tangan.
    Bagi yang sudah berkahwin, akan lambat mendapat anak atau mungkin ada yang mendapat anak yang cacat sama ada cacat fizikal atau mental.


    Gangguan sukar untuk hamil paling banyak terjadi kerana saka ini akan memusnahkan sperma si suami sebelum sempat disenyawakan. Adakalanya si isteri pula mungkin mengalami keguguran.




    Gangguan rezeki

    Rezeki sempit - setiap apa yang diusahakan bagaikan tidak menjadi. Rugi dalam perniagaan, kesukaran mendapatkan pekerjaan atau peluang.


    Gangguan keharmonian hidup


    Masalah pergaduhan, hati sentiasa berdebar-debar. Hubungan sesama rakan/jiran tidak mesra dan seumpamanya. Mempunyai sikap suka menyendiri dan tidak pandai bergaul. Sentiasa ada rasa tidak puas hati, iri hati dan dengki terhadap orang lain.




    Apakah penyelesaian terhadap masalah saka?

    Penyelesaiannya hanya dua:
    1. Bela - Sekiranya dibela, ia perlu diberi makan berupa persembahan. Jika tidak, ia akan mengganggu.
    2. Buang - Rawatan untuk membuang saka akan diatur bagi memilih untuk melepaskan diri dari masalah ini.
    Saka tidak disarankan untuk dibela kerana turut menyalahi syariat. Perbuatan membela saka menjurus kepada syirik dan khurafat. Ini kerana kebergantungan kepada saka membuatkan kita merasakan seolah-olah saka lebih berkuasa daripada Allah s.w.t. Anda boleh merujuk kepada ustaz-ustaz yang membuat rawatan secara Islam (perubatan Islam) atau kitab-kitab yang membincangkan/menghuraikan lebih lanjut berkaitan masalah ini.




    Bagaimana keadaan orang yang ada saka disihir?

    Jin yang dihantar oleh si tukang sihir akan datang mengganggu dan dalam masa yang sama, saka ini akan datang bersama dua tujuan:
    1. Melindungi dan memberi pertolongan kepada si penerima saka, itupun sekiranya mendapat habuan iaitu berbentuk makanan.
    2. Bersekongkol dan menyakiti secara zahir dan batin kepada si penerima saka jika tidak mendapat makanan.


    Apabila pesakit mendapatkan rawatan bagi memulihkan diri daripada sihir, sakitnya akan sembuh namun saka tidak akan pergi. Ini kerana perjanjian terdahulu yang dimeterai membolehkan ia terus mengikut si penerima saka sehingga ke hari kiamat kecuali si pesakit mengambil keputusan untuk membuat rawatan membuang saka. Dengan sebab itu, jika diperhatikan ramai yang berhabis duit sehingga ribuan ringgit bagi merawat penyakit tetapi hampa kerana sakitnya tidak juga sembuh. Akhirnya menyalahkan perawat dan menuduhnya menipu pula. Ilmu membuang saka adalah ilmu yang tinggi dalam bidang perubatan dan tidak semua perawat mempunyai ilmu untuk membuang saka. Tidak semua perawat telus dan jujur memberitahu keadaan sebenar si pesakit.

    Sekiranya pernah terjadi perjanjian antara jin dan keturunan seseorang yang terdahulu, maka keturunannya yang seterusnya tidak akan terlepas daripada saka. Walau sekuat mana pun penafian anda dengan mengatakan bapa saya alim ulama, ustaz dan sebagainya. Sekiranya kita menafikan kewujudan saka, maka kita juga menafikan kewujudan alam jin. Hampir 90% pesakit yang membuat rujukan ada melibatkan saka. Ramai juga yang sudah sedia mengetahui mereka ada memiliki saka tetapi masih ramai juga yang tidak tahu bahawa selama ini segala permasalahan yang timbul itu adalah berpunca daripada saka itu sendiri.


    Rujukan:

    1. Saka - Gangguan dan Rawatan, Hanafi Rahman El-Fesfanji, Ulul Albab Management Services, Cetakan Pertama Februari 2010.
    2. 300 Hadis Bimbingan, Ustaz Zahazan Mohamad & Ahmad Hasan Mohd Nazam, Telaga Biru Sdn Bhd., Cetakan Pertama Januari 2007.
    3. Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Terbitan Yayasan Restu, Cetakan Kedua 2006.

    3 comments:

    Amanie Khairunnisa said...

    bagus entry neh. tmbh ilmu yg kurang sket2 tu

    Cik Anita said...

    Salam.

    Entry yang sangat bagus dan ada kena mengena dengan kehidupan keluarga saya. Berulang kali saya membaca untuk memahaminya agar tidak tersalah kefahaman. Kebanyakannya ada kena mengena dan penuh dengan kebenaran. Tidak tahulah benda ni akan bermain sampai bila. Penat dah nak melalui situasi dan mempercayai perkara yang sukar untuk dipercayai. Menjadi seorang anak di dalam keluarga untuk taat dan mendengar kata hal seumpama ini amat sukar dan mencabar kesabaran. Sekiranya tidak mendengar kata, nanti dikata kita sudah terkena pula. Menangis pun tidak akan menyelesaikan masaaaalah. Tapi hanya mampu melegakan sekejap saja.
    Wallauhalam. H

    Anonymous said...

    Sudah lama mencari jawapan pada persoalan tentang kegagalan hidu berumahtangga, tapi hari ini aku telah temui jawapannya.Terima kasih atas perkongsian ini.