MY FOLLOWERS

Monday, August 16, 2010

Celoteh Ramadhan - Di manakah penghayatannya?

Credits to: - 



Salam...

Definisi puasa menurut syariah dan sebagaimana yang kita pelajari sejak dari zaman persekolahan ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga serta mengelakkan diri daripada semua perbuatan yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Senang cerita, dari imsak sehinggalah masuknya waktu maghrib.

Setiap kali Ramadhan kita juga sering diingatkan akan fadhilatnya, pahalanya, ganjarannya, tetapi bila dilihat dari kacamata realiti sejauh mana pula kita menghayati dan merasai fadhilatnya?

Apa yang kita lihat setiap kali Ramadhan? Orang sekeliling selalu kata bulan Ramadhan ialah peluang untuk tambah pendapatan atau peluang mencari rezeki. Bagi sang peniaga dan sesiapa yang bekerja sendiri, ya, memanglah ini peluang untuk tambah pendapatan. Yang menjual pakaian, akan buat promosi sempena raya (walhal baru jer puasa!) termasuk jual yang siap dan ambil tempahan, yang menjual perabot dan barangan rumah akan promosi akan tayang produk-produk yang tak kurang hebatnya. Paling tidak, bolehlah 'berlawan' dengan jiran sebelah rumah untuk tengok isi rumah siapa lebih 'grand'! Yang menjual makanan rasanya paling banyak diperhatikan. Bermacam-macam juadah dijual tidak seperti di bulan-bulan yang lain. Tak cukup di Bazar Ramadhan, buat jualan dari rumah pun boleh! Kuih-kuih raya mendapat tempahan dari merata-rata tempat..



Makan? Sudah sememangnya. Bila sebut saja makan, pasti ada yang terliur bila teringatkan bermacam-macam menu yang dihidangkan di Bazar Ramadhan. Ikan masak asam, ikan bawal masam manis, nasi ayam, air buah, cendol, ABC, laici kang, air jambu, dan banyak lagi..

Bagaimana pula yang bukan dari kalangan peniaga - guru, polis, tentera, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta, yang makan gaji dan yang seumpamanya, (barangkali termasuklah saya sendiri) ? Semuanya bertebaran di bazar-bazar untuk membeli juadah berbuka.. Astaghfirullah...ini sudah lari dari maksud sebenar penghayatannya. Bila ditanya, semuanya mengatakan faham (insaflah sekejap..) tetapi lain pula dibuatnya....Banyak yang dibeli tetapi belum tentu habis ketika berbuka. Justeru, kalau nak membeli juadah, cukuplah sekadar perlu dan tidak perlulah berlebih-lebihan..

Bukankah sepatutnya Ramadhan itu bulan untuk mendidik diri dan menundukkan nafsu? Mendidik diri dalam mengukuhkan iman, mengelakkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia serta berlumba-lumba menambah pahala ibadah. Peluang mengerjakan solat tarawih, qiamullail, dan malam lailatul qadar adalah sebaik-sebaik peluang yang mesti direbut oleh semua umat Islam setibanya Ramadhan, bukannya ke Bazar Ramadhan untuk membeli bermacam-macam menu untuk dijamu ke dalam perut ketika berbuka semata-mata. Berbanding kita di zaman sekarang, para sahabat di zaman Rasulullah dahulu sangat gembira setiap kali tibanya Ramadhan dan akan berasa sedih bila Ramadhan berlalu, dikhuatiri tidak berpeluang lagi menyambut Ramadhan yang seterusnya..

Bukankah kita sudah berniat bila bermulanya puasa dengan niat 'lillahi taala' sebagaimana kita bersolat. Sesungguhnya kita sudah sedia jelas bahawasanya setiap kebaikan akan diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t.

Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri Radhiallahu 'anhu berkata, aku mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun." (Hadith riwayat Bukhari)

Rasulullah s. a. w. bersabda; "Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. Aku ini puasa." - Sahih Bukhari

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: "Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia (orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku." (Hadith riwayat Muslim)




Tahukah anda kenapa nafsu itu harus ditundukkan? Kerana nafsulah, ramai manusia ditempatkan di dalam neraka. Sememangnya perkara-perkara yang disukai oleh nafsu itu adalah di neraka..Satu-satunya jalan bagi menundukkan nafsu itu adalah dengan berpuasa. 

Dari Jabir ra. bahwa Nabi saw. bersabda: "Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka." (HR Ahmad)

Ramadhan seharusnya mengajar kita untuk lebih insaf dan merasai kekurangan insan lain yang tidak berkemampuan. Cukup-cukuplah dengan berlebih-lebihan, perbanyakkanlah istighfar dan ibadah kepada Allah s.w.t. di samping berdoa memohon keampunan dan menambah pahala kebajikan.. 


Fikirkanlah... 

No comments: