MY FOLLOWERS

Thursday, January 21, 2010

Kamen Rider - Kenangan Hiburan Dahulu Hingga Kini

Siri Kamen Rider





Post saya yang ini adalah sekadar mengimbau kembali kenangan hiburan zaman kanak-kanak dahulu. Ya, saya akui ketika itu banyak juga kartun-kartun ditonton di kaca tv tetapi siaran siri superhero yang bukan dari jenis kartun ini adalah berbeza, menarik dan seronok ditonton hinggakan menjadi sebutan bila ke sekolah keesokan pagi. Seolah-olah keseronokan menonton episod yang ditayang petang semalamnya terbawa-bawa pula ke sekolah keesokan paginya.



Saya masih ingat, waktu itu tahun 1992 dan saya di darjah 5. Siri Kamen Rider BLACK disiarkan setiap hari Khamis pada pukul 4.30 petang dan diikuti pula dengan Space Cop Gavan setengah jam kemudian. Selalunya setiap kali pulang dari sekolah dan selepas waktu Zohor, saya akan ke kelas mengaji al-Quran sebelum ke rumah kawan untuk sama-sama bermain permainan video atau komputer. Masa itu komputer tak macam sekarang. Windows pun belum popular lagi. Kalau tingkap rumah, tahu sangat la. Semua rumah pun ada. Hahahaha... Kalau tak silap, komputer masa itu banyak menggunakan sistem Apple Macintosh. Nampak susah jer nak guna. Gambarnya pun hitam putih jer. Selalunya, bila waktu siaran rancangan Kamen Rider ini, kami akan berhenti bermain sebelum menyambung semula bermain sejam kemudian. Itu pun kalau masing-masing masih ada mood untuk bermain. Walaubagaimanapun, siri Kamen Rider BLACK ini disiarkan di televisyen bukan swasta hanya 'separuh jalan'. Jadi, tak dapatlah menonton apa yang jadi di akhir siri ini. Hal yang sama juga berlaku bila siri Kamen Rider Kuuga disiarkan sekitar tahun 2001 di kaca tv kita. Huhuhuuuu....



Riderman, V3, Stronger, Amazon, X, Rider 1


Adakah siri ini tidak disiarkan lagi di tv kita? Oh, tidak! Masih lagi disiarkan tetapi melalui saluran tv swasta. Kali ini saya agak berpuas hati kerana stesen tv swasta ini menyiarkannya secara complete series dari episod 1 hingga akhir. Setiap tahun siri Rider berlainan disiarkan, bermula dengan siri Kamen Rider Ryuki. Rasanya selepas ini giliran Den-O bakal mengisi slot siaran dengan pengembaraan masanya. (Ternyata stesen tv swasta tidak mengecewakan penontonnya di segenap lapisan masyarakat! Teruskan, stesen tv swasta!! Stesen tv bukan swasta?? HHmmmm... no komen.)



Umum


Kamen Rider adalah satu francais dalam industri tokusatsu Jepun yang menampilkan konsep superhero melawan raksaksa yang secara umumnya dipanggil kaijin. Berbeza daripada francais Ultraman, francais Kamen Rider mengambil skop tempat pertempuran yang lebih kecil iaitu di bumi tanpa mendatangkan kemusnahan kawasan perumahan atau bangunan-bangunan di bandar. Era pertama siri ini dikenali sebagai Era Showa.


Francais ini memulakan siaran pertamanya pada 3.4.1971 dengan tajuk sirinya Kamen Rider menampilkan kisah pengembaraan Takeshi Hongo/Kamen Rider 1 dalam usahanya menentang organisasi dipanggil Shocker. Saban tahun, francais Kamen Rider telah berkembang dan siri asalnya telah mewujudkan banyak lagi susulan untuk tayangan televisyen dan disiarkan di pawagam.




Kamen Rider era Showa (dari kiri): ZX, Skyrider, Amazon, Riderman, Rider 1, BLACK, Rider 2, V3, X, Stronger, Super-1



Sejarah


Karakter Kamen Rider adalah direka oleh Shotaro Ishinomori yang juga pencipta Cyborg 009 dan diterbitkan oleh Toru Hirayama. Pada asalnya, karakter ini adalah dirancang sebagai adaptasi kepada Skull Man, tetapi Ishinomori dan Hirayama telah membuat semula rekaan pakaian Kamen Rider ini menyerupai bentuk serangga belalang yang dikatakan dipilih oleh anak lelakinya. Ia juga dilengkapi dengan motorsikal dan juga tali pinggang untuk pertukaran dari bentuk manusia kepada Kamen Rider.


Semasa penggambaran siri ini untuk episod 10, Hiroshi Fujioka selaku stuntman tercampak dari motorsikalnya menyebabkan kedua kakinya retak. Karakter Fujioka dihentikan sementara sehingga episod 13 ketika Hayato Ichimonji/Kamen Rider 2 diperkenalkan dalam siri Kamen Rider.


Sepanjang siarannya dari April 1971 hingga Januari 1976, 5 siri telah dihasilkan - Kamen Rider, V3, X, Amazon, dan Stronger. Dengan berakhirnya siri Kamen Rider Stronger, siri ini kembali ke siaran televisyen pada Oktober 1979 selama 2 tahun dengan Kamen Rider Baru menampilkan Skyrider dan Kamen Rider Super-1. Siarannya berakhir pada sekitar 1980-an dengan menyiarkan Kamen Rider ZX Special Birth of the 10th! Kamen Riders All Together!! pada 1984. Ini juga sebagai projek terakhir dalam francais Kamen Rider ini dengan Hirayama bertindak sebagai penerbit.


Pada 1987, Kamen Rider BLACK muncul sebagai siri popular televisyen. Siri ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan siri-siri yang dihasilkan sebelumnya. Siri ini kemudiannya disambung pula dengan Kamen Rider BLACK RX dengan menampilkan watak utama yang sama iaitu Kotaro Minami.



BLACK dan BLACK RX


Pada 1990-an, francais ini 'hilang sepenuhnya' dari siaran televisyen tetapi masih kekal 'hidup' dengan membuat kemunculan dalam bentuk yang berbeza seperti di persembahan pentas, CD muzikal serta filem Kamen Rider Shin, J, dan ZO. Walaupun begitu, para peminatnya berpendapat filemnya adalah sebahagian daripada siri era Showa.






Era Heisei - Rider generasi baru, teknologi dan pengembaraan bentuk baru.


Kamen Rider era Heisei bermula dengan siaran Kamen Rider Kuuga pada 3.1.2000 dengan menampilkan corak jalan cerita dan logo serba baru dengan menampilkan pelakon Joe Odagiri sebagai Godai Yuusuke/Kuuga. Seterusnya diikuti dengan Kamen Rider Agito pada tahun berikutnya dan sekaligus sebagai siri ulangtahun. Siri Agito memulakan trend baru sepanjang siri untuk era Heisei dengan menampilkan beberapa Kamen Rider dalam satu siri yang sama. Siri Agito menampilkan Gills, G3 dan Another Agito. Mengisahkan Soichi Tsugami yang hilang ingatan yang mampu bertukar kepada bentuk Agito apabila makhluk yang dikelaskan pihak polis sebagai 'Unknown' muncul dan mengganggu ketenteraman bandar Tokyo. Pihak polis memperkenalkan satu unit powersuit G3 yang baru khusus untuk menghapuskan 'Unidentified Lifeforms' yang juga musuh kepada no. 4 (Kuuga). Kemunculan Kamen Rider Gills pula adalah untuk mencari jawapan mengapa bapanya membunuh diri.


Kamen Rider Ryuki yang ditayangkan pada 2002 menampilkan 13 orang Kamen Rider dengan salah seorangnya diperkenalkan dalam Episode Final iaitu Rider perempuan, Femme. Ini bukanlah kali pertama francais tokusatsu menampilkan Rider perempuan sejak diperkenalkan pada 1971 tetapi ia adalah yang pertama untuk siri era Heisei. Kamen Rider Ryuki menjadi yang pertama memperkenalkan kaedah transformasi/berubah dengan cara yang serba baru dengan penggunaan gadjet teknologi moden, iaitu slot kad pada tali pinggang. Petempuran antara Rider dan semua raksaksa adalah berlaku di dunia cermin (mirror world). Setiap Rider diberikan oleh Kanzaki Shiro satu unit tali pinggang atau Advent Deck yang membolehkan pengguna bertukar ke bentuk Rider dan masuk ke dunia cermin melalui mana-mana cermin di muka bumi. Setiap Rider juga akan bersama dengan raksaksa perjanjian masing-masing berdasarkan Advent Deck yang dimiliki. Setiap Rider yang menewaskan Rider lain akan dapat mengambil semua kad daripada Deck kepunyaan Rider yang ditewaskannya dan boleh mengawal raksaksa perjanjiannya sekali. Bukan setakat raksaksa perlu dihapuskan malah Rider lain juga perlu dihapuskan bagi memenangi perang antara Rider yang telah diaturkan oleh Kanzaki Shiro. Sesiapa yang memenangi perang ini akan dapat menunaikan satu hajat.




Kamen Rider era Heisei (dari atas kiri): Kuuga, Ryuki, Knight, Decade, 555, Blade, Kabuto, Gatack, Hibiki, Den-O, Agito, Gills, Kiva, Ixa


Siri ini diteruskan dengan Kamen Rider 555 pada 2003 dengan rekaan sut yang lebih canggih dan futuristik. Berbeza dengan siri-siri sebelumnya, siri ini langsung tiada rekaan motif serangga atau haiwan pada sut Rider. Sebaliknya, ia menggunakan simbol Greek sebagai logonya dan 'disembunyikan' pada rekaan sut Rider. Menampilkan Kaixa (913) dan Delta sebagai Rider lain dalam sirinya. Dua lagi Rider iaitu Saiga (315) dan Orga/Omega (000) diperkenalkan dalam filemnya 555: Paradise Lost. Jalan cerita yang sedikit complicated turut menjadikannya siri yang paling menarik untuk ditonton. Mengisahkan sebuah organisasi multimillionaire Smart Brain Corporation cuba menguasai dunia dengan menghapuskan manusia menggunakan Orphenoch, iaitu manusia yang telah melalui satu fasa dalam evolusi. Untuk mencapai cita-citanya, organisasi ini telah mencipta tiga unit tali pinggang atau Rider Gear iaitu 555, Kaixa, dan Delta yang menukar penggunanya dalam bentuk sut tempur berkuasa tinggi yang lengkap dengan sistem canggih. Selain itu, Rider Gear ini juga dicipta bertujuan untuk melindungi Raja Orphenoch yang dikatakan boleh membantu 'membaiki kesilapan' dalam struktur DNA yang boleh menyebabkan pengguna Rider Gear mati sekiranya terlalu kerap bertukar (henshin).


Pada 2004, siarannya diteruskan dengan Kamen Rider Blade dengan memperkenalkan sistem hologram dan motif serangga pada sut Rider. Mengambil konsep daun terup (Ace, Diamond, Heart, Club) sebagai logo pada sut Rider. 3 lagi Rider diperkenalkan melalui filemnya Missing Ace iaitu Lance, Glaive dan L'Arc dengan masing-masing menggunakan kad transformasi dengan logo yang sama - anjing berkepala tiga.


Sebagaimana Ryuki, pada 2005, siri Kamen Rider Hibiki turut memperkenalkan ramai Rider dalam satu siri dengan beberapa watak berfungsi sebagai watak utama - Hibiki, Ibuki, Todoroki, Zanki. Berkisar pada kehidupan guru dan murid, Adachi Asumu dan juga Oni bernama Hibiki. Asumu seorang pelajar yang masih terumbang-ambing dalam kehidupannya sebelum ke sekolah tinggi. Melalui Hibiki dan Oni yang lain, dia mempelajari untuk menjadi seorang dewasa. Selain itu, siri ini mengisahkan pertempuran antara Rider (juga dikenali sebagai Oni dalam siri ini) dan makhluk Makamou yang hanya boleh ditewaskan dengan bunyi yang asli (pure sound).


Siri Kamen Rider Kabuto memperkenalkan kembali motif serangga pada sut Rider tetapi dalam ertikata yang lebih moden. Ditambah dengan sistem Clock Up pada sut beserta beberapa Rider lain bersamanya menjadikan siri ini sedikit berbeza daripada yang lain. Pengembaraan masa menerusi pandangan Clock Up menambahkan lagi 'perisa' dalam siri ini selain menyuntik satu bentuk perspektif baru dalam siri Kamen Rider. Berkisarkan tentang kehidupan Tendou Souji yang berlatih selama 7 tahun sementara menanti kedatangan Kabuto Zecter iaitu serangga robotik berbentuk kumbang tanduk yang datang dari time hole supaya dia dapat menggunakan nama Kamen Rider Kabuto. Di samping mencipta lebih ramai musuh, dia juga bertemu dengan beberapa orang Rider lain yang tidak diketahui asalnya. Tendou cuba sedaya upaya mencapai matlamatnya untuk menghapuskan Worms dan menyelamatkan manusia daripada Worms yang telah datang ke bumi 7 tahun sebelum itu. Filem untuk siri Kabuto ini (God Speed Love) memaparkan kisah yang berlaku pada 7 tahun sebelum itu dan mengambil tempat sebelum siri ini bermula (prekuel).


Kamen Rider Den-O mengambil tempat siarannya di kaca tv pada tahun berikutnya dengan kisah pengembaraan masa dengan kenderaan keretapi perentas masa bullet train, DenLiner. Mengisahkan Ryotaro Nogami yang sentiasa berhadapan dengan nasib malang. Pada suatu hari, Ryotaro menemui sejenis pass dan tiket misteri dan cuba membawa 'barang misteri' berkenaan ke balai polis setelah dibuli sekumpulan samseng. Keadaan menjadi semakin pelik buat Ryotaro apabila dia tiba di suatu 'time hole' yang kelihatan seperti stesen keretapi apabila membuka pintu balai polis, dan disambut oleh gadis misteri dan keretapi DenLiner. Tanpa mengetahui dirinya Singularity Point, dia 'dirasuk' oleh sejenis entiti dari masa hadapan dipanggil Imagin yang cuba mengubah masa silam orang lain. Dengan bantuan Imagin, Momotaro yang panas baran, Ryotaro mengembara merentasi masa yang berbeza untuk menghapuskan semua Imagin yang jahat. Dia bertemu Yuto Sakurai yang mempunyai latar belakang misteri dan Imaginnya, Deneb. Bukan sekadar Rider, Yuto juga adalah penjelmaan semula tunang kakaknya, Airi; dengan usia yang sedekad lebih muda. Siri ini mempunyai beberapa buah filem termasuk crossover dengan Kamen Rider Kiva (Den-O Kiva: Climax Deka) dan Kamen Rider Decade (Cho Den-O Decade: The Onigaishima Battleship), serta beberapa siri OVA menjadikannya siri Kamen Rider dengan 'hasil sampingan' yang paling banyak pernah dihasilkan.




Ixa dan (Ixa Rising Form)


Kiva: 22 tahun selepas kehilangan bapanya, Kurenai Wataru tinggal di sebuah rumah berhantu setelah ditakdirkan menjadi Kamen Rider Kiva bagi menentang makhluk penghisap nyawa, Fangire yang pernah berlawan dengan bapanya sebelum menghilangkan diri. Dia disertai dengan Kamen Rider Ixa yang menjadi sebahagian daripada sebuah organisasi Aurora yang juga turut memerangi Fangire dan juga Kamen Rider Saga yang memihak kepada Fangire. Jalan ceritanya berkisarkan pada dua timeline iaitu pada waktu 2008 dan 1986, sekaligus mendedahkan hubungan antara puak Fangire dan Kiva sedikit demi sedikit.


Kamen Rider Decade/DCD adalah siri ke-10 untuk siri Rider era Heisei, yang telah bermula pada tahun 2000 dengan Kamen Rider Kuuga. Siarannya bermula sesudah tamatnya Kamen Rider Kiva. Masahiro Inoue memegang watak utama sebagai Tsukasa Kadoya/Kamen Rider Decade. Bermula dengan pertembungan sembilan dunia Rider era Heisei yang bertembung menjadi satu, sesuatu yang akan menyebabkan kemusnahan pada semua dunia Rider. Tsukasa perlu mengembara ke dunia Rider lain bersama Natsumi dan datuknya yang bekerja di kedai foto untuk menghalang kemusnahan dunia dalam peperangan antara semua Kamen Rider utama era Heisei, bersama Yuusuke Onodera (Kuuga), Daiki Kaitoh (Kamen Rider Diend), Narutaki yang misteri dan kelawar Kivala dari dunia Kiva. Siri ini hanya memaparkan sebanyak 31 episod di kaca tv sebelum disambung ke filem, Kamen Rider Decade: All Riders vs. Dai-Shocker. Filem ini turut menghimpunkan 26 Rider, dengan 10 daripadanya dari era Showa dan penampilan Kamen Rider era Heisei ke-11 iaitu Kamen Rider Double. Fielm ini bakal menjawab persoalan berkaitan masa silam Tsukasa dan kaitannya dengan organisasi Dai-Shocker yang keahliannya terdiri daripada penjahat dan raksasa yang perang ditewaskan dahulu.



No comments: